Thursday 30 September 2021

TERAP TEKNOLOGI MODEN DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA - DR MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Kerajaan perlu bersifat lebih terbuka dan mula beralih kepada penggunaan sistem teknologi moden dalam pelbagai bidang khususnya dalam sistem pendidikan negara bagi memberi anjakan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran di negara ini.

Dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) berkata ketika ini terdapat banyak teknologi moden yang boleh membantu dan memudah cara pengajaran agar lebih efektif, namun ia tidak digunakan.

Bekas Perdana Menteri itu menarik perhatian bahawa beliau sendiri mempelajari banyak perkara hanya melalui YouTube yang menawarkan pelbagai kandungan dan bahan pelajaran yang disampaikan pakar.

“Dalam YouTube boleh belajar macam-macam pelajaran, kerana dalam YouTube pengajaran yang cukup baik disampaikan pakar, sebab itu saya cadangkan supaya kita gunakan teknologi baharu dalam mengajar anak-anak kita di sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan ketika ini terdapat kemudahan untuk merakam pelbagai jenis ilmu yang boleh dimainkan berulang kali, dengan kerja guru boleh menjadi lebih mudah dengan hanya perlu mengendalikan bahan itu.

Bagaimanapun katanya walaupun terdapat beberapa syarikat telah memperkenalkan kaedah baharu itu, namun malangnya kebanyakannya ditolak dan menyaksikan kebergantungan terhadap guru masih lagi tinggi.

“Teknologi lama iaitu dengan mengadakan seorang guru mengajar di bilik darjah tidak cukup lagi dan tidak sesuai dengan zaman ini kerana kita perlu dapatkan lebih banyak ilmu berbanding dahulu.

“Kalau dulu ilmu sedikit sudah cukup, tapi sekarang ini kita perlu lebih banyak terutama di zaman teknologi maklumat, artificial intelligence (kecerdasan buatan) dan sebagainya yang memerlukan banyak ilmu dalam bidang sains dan teknologi,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday 28 September 2021

TINGKAT FASILITI, KUALITI PENDIDIKAN DALAM RMK12 - AHLI PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Usaha meningkatkan fasiliti dan kualiti pendidikan negara merupakan antara perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semasa membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mencadangkan supaya kerajaan segera meningkatkan infrastruktur di sekolah daif dan kawasan pedalaman khususnya di Sarawak bagi memastikan keselamatan murid diutamakan.

Beliau berkata ini termasuk memindahkan sekolah yang terletak di sepanjang tebing sungai dan sering dilanda banjir ke kawasan lebih tinggi bagi memastikan murid tidak berdepan risiko hakisan tanah serta banjir yang boleh membawa maut.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula berharap setiap sekolah dapat dilengkapi dengan liputan Internet yang tinggi menerusi Pelan Pendidikan Digital di bawah RMK12.

Beliau berkata liputan Internet di sekolah juga tidak seharusnya dihadkan sebaliknya kapasiti penggunaan dipertingkat agar boleh dinikmati warga sekolah secara serentak tanpa gangguan kelajuan kemudahan itu.

“Penambahbaikan sistem pendidikan negara ini sebagai usaha lonjakan untuk Malaysia beralih kepada negara berpendapatan tinggi serta mewujudkan pembangunan bakat,” katanya.

Tony Pua (PH-Damansara) mencadangkan supaya kerajaan merombak semula kesemua asas dan corak pemikiran dalam melaksanakan pelan pendidikan negara selari dengan hasrat membangunkan bakat masa depan.

Beliau berkata kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan, perlu memberi tumpuan kepada usaha melahirkan bakat muda berkualiti berbanding kuantiti kejayaan seperti statistik keputusan peperiksaan atau jumlah kemasukan ke universiti.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan merombak semula dasar pengambilan guru supaya hanya pemohon yang mempunyai kelulusan tinggi dan cemerlang diterima.

Katanya di negara maju seperti Singapura, sejumlah besar penerima biasiswa kerajaan setiap tahun akan menjadi seorang guru di sekolah menengah manakala ramai yang lain diserap dalam perkhidmatan awam.

“Akan tetapi di Malaysia, pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam kebanyakannya dilepaskan daripada keperluan untuk berkhidmat sebagai guru atau di dalam perkhidmatan awam.

“Akibatnya, bakat negara terbazir dan anak-anak kita tidak dapat menikmati mutu pendidikan serta pentadbiran yang lebih baik,” katanya.

Bagi Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan), RMK12 antara lain wajar menumpukan kepada pewujudan peluang pekerjaan berasaskan sukatan pelajaran, kemahiran, ilmu serta menepati kehendak pasaran.

“Kita memerlukan kecekapan yang berasaskan sukatan pelajaran berlandaskan ilmu, kemahiran, pembangunan dan penguasaan kemahiran,” katanya sambil menambah ini kerana kadar pengangguran negara melebihi 4.8 peratus.

BERNAMA ONLINE

Monday 27 September 2021

RMK12 TAMBAH BAIK SELURUH SISTEM PENDIDIKAN, TANGANI ISU PASARAN PEKERJAAN

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik seluruh sistem pendidikan negara serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.

Antara langkah utama yang akan dilaksana bagi menambah baik sistem pendidikan negara termasuk memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk Revolusi Industri 4.0 (4IR).

“Persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah RM1.6 bilion pada tahun 2021 dan 2022; dan sebanyak empat kompleks sekolah dan lima sekolah baharu akan dibina melibatkan kos RM848 juta.

“Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET. Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET akan dibangunkan,” katanya semasa membentangkan RMK12 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai pendidikan tinggi, Ismail Sabri berkata sistem yang lebih fleksibel akan diwujudkan selain meningkatkan kerjasama dengan industri bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri.

Katanya naik taraf kemudahan beberapa universiti awam akan dilaksanakan, antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

RMK12 juga akan memperkenalkan pelan pendidikan digital di peringkat sekolah dan pengajian tinggi bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti.

Sementara itu perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif seperti menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi.

Inisiatif lain termasuk menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi; mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah; dan memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia.

“Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh. Selain itu Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Friday 24 September 2021

PENGOPERASIAN INSTITUSI PENDIDIKAN ALAMI PERALIHAN FASA BERKUAT KUASA SELEPAS DUA MINGGU - KPM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi negeri-negeri yang mengalami peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan berkenaan.

Menurut KPM dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter hari ini, keputusan itu terpakai untuk negeri-negeri seperti Johor, Pahang dan Negeri Sembilan yang mengalami peralihan fasa PPN berkuat kuasa hari ini.

Di Johor, pembukaan institusi pendidikan bermula pada 10 Okt mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Dua PPN, sebaliknya di Pahang pembukaan kekal pada 4 Okt mengikut ketetapan Fasa Dua, namun akan berubah mengikut ketetapan Fasa Tiga bermula 11 Okt.

Pembukaan institusi pendidikan di Negeri Sembilan kekal pada 4 Okt mengikut ketetapan Fasa Tiga sebelum pengoperasian berubah mengikut ketetapan Fasa Empat bermula 18 Okt.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara memberi kebenaran untuk pelajar Tingkatan Enam Semester Dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa Satu untuk hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Okt untuk kumpulan pelajar berkenaan manakala pelajar lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Pengoperasian institusi pendidikan di Pulau Langkawi bermula 3 Okt mengikut ketetapan Fasa Empat susulan pengumumannya sebagai kawasan gelembung pelancongan.

Menurut KPM, pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri-negeri yang tidak terlibat dengan peralihan fasa hari ini adalah kekal berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti diumumkan pada 12 Sept.

Institusi pendidikan di bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru, serta institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

Ketetapan berkenaan turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

BERNAMA ONLINE

Monday 20 September 2021

KEBERKESANAN KAEDAH PDPR PADA TAHAP SEDERHANA - KPM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.

“Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar. Bagi RPT pula 46.2 peratus guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1 peratus guru di luar bandar.

“51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah… daripada kumpulan itu 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia hari ini.

Jawapan oleh KPT itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh Pandemik COVID-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.

Menurut kementerian itu 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

Pada suku pertama tahun ini, KPM turut menjalankan Tinjauan Pelaksanaan PdPR melibatkan 500 sekolah melalui pemerhatian terhadap PdPR yang dilaksanakan dalam talian atau gabungan dalam dan luar talian.

Sebanyak 1,053 pemerhatian terhdap Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru melalui kehadiran Nazir Sekolah dalam kelas PdPR mendapati 97.4 peratus berjaya membimbing murid memahami isi, konsep dan fakta yang diajar.

BERNAMA ONLINE

Sunday 12 September 2021

PENGGILIRAN MURID HADIR SEKOLAH SECARA MINGGUAN - RADZI


PUTRAJAYA: Pembukaan semula sesi persekolahan tahun ini yang akan dilanjutkan sehingga Februari tahun depan, akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan, bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan COVID-19.

Katanya, langkah itu juga bagi pengawalan murid dan guru akan memastikan murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Dengan penggiliran itu, murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus," katanya dalam sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Radzi berkata, enam kategori pelajar dikecualikan daripada penggiliran dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Murid yang dikecualikan itu adalah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK)/Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional(SMPKV)/Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas(SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Turut disenarai pelajar Tingkatan Enam Semester 2 dan The International Baccalaureate®️ Diploma (IBD) Tahun 2, murid sekolah asrama sepenuhnya, pelajar peperiksaan antarabangsa, murid prasekolah, tadika swasta dan pusat perkembangan minda (4-6 tahun).

Sekolah kurang murid iaitu di bawah 150 orang juga dikecualikan penggiliran.

Radzi berkata, sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan sehingga Februari tahun depan bagi membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan semua pelajar, khususnya yang ketinggalan, bersedia untuk masuk ke kelas berikutnya.

Beliau berkata, lanjutan itu bermakna semua pelajar akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan, sebelum dibenarkan naik ke peringkat seterusnya bermula Mac 2022.

Katanya, bagi sesi persekolahan secara bersemuka akan kekal dilaksanakan mulai 3 Oktober hingga Mac tahun depan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dilakukan secara penggiliran.

Beliau turut menjelaskan semua sekolah di negeri fasa satu, iaitu Kedah dan Johor akan kekal ditutup buat masa ini, sekali gus semua pelajar di dua negeri berkenaan akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi negeri di Fasa Dua PPN, semua institusi pendidikan ditutup dan dilaksanakan sesi PdPR tetapi hanya kelas peperiksaan boleh kembali ke sekolah.

"Bagi Fasa Tiga, semua institusi pendidikan dibuka secara berperingkat tertakluk kepada ketetapan Kementerian Pendidikan dan penilaian risiko manakala Fasa Empat PPN, semua institusi pendidikan dibuka sepenuhnya tertakluk kepada penilaian risiko semasa, " katanya.

Bagi sekolah yang termasuk dalam Program Gelembung Pelancongan seperti Langkawi semua sekolah akan dibuka mengikut fasa empat PPN walaupun Kedah kini berada di Fasa Satu.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media pengoperasian sekolah, hari ini. 

BERITA HARIAN ONLINE

Friday 3 September 2021

DASAR PENDIDIKAN BAGI KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS PERLU DITAMBAH BAIK

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Dasar pendidikan khas nasional perlu ditambah baik dalam usaha menangani aspek pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas, yang merupakan antara kumpulan rentan dalam komuniti.

Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Hasnah Toran, berkata seharusnya terdapat hubungan kait yang baik kepada pasca pendidikan sekolah menengah yang akan membolehkan kanak-kanak meneruskan pembelajaran selepas menamatkan alam persekolahan.

"Ia menuntut usaha menghubungkan anak-anak ini dengan latihan vokasional dan pekerjaan," katanya pada simposium maya baru-baru ini bagi menangani keperluan masyarakat di Malaysia semasa pandemik COVID-19.

"Kita perlu melakukan intervensi awal yang komprehensif," katanya ketika mengulas topik "Pendidikan: Cabaran Pembelajaran Dalam Talian untuk Kanak-kanak Berkeperluan Khas," pada simposium yang dianjurkan oleh Yayasan RYTHM - inisiatif impak sosial Kumpulan QI.

Dr Hasnah dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Perancangan dan Dasar Pendidikan Universiti Malaya Dr. Donnie Adams Paramasivam yang bercakap mengenai pendidikan berkeperluan khas, bersetuju bahawa "kesedaran mengenai sains dan ciri-ciri pendidikan khas sangat diperlukan terutama bagi ibu bapa."

Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Sri Umayal Eswaran berkata ibubapa, guru dan pelajar belum bersedia berhadapan dengan cabaran pandemik, tidak ada komunikasi bersemuka, apa lagi berurusan dengan isu-isu tingkah laku dan dan keperluan khas.

"Kanak-kanak ini tercicir daripada pembelajaran selama lebih dari setahun, dan mereka juga tidak dapat menghadiri terapi, sekolah, dan struktur pembelajaran yang sempurna.

Katanya beberapa guru dan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman seperti di Sabah tidak dapat berurusan dalam talian kerana masalah kelemahan liputan internet.

“Pihak berkuasa perlu melihat semua kelemahan bagi komuniti segmen rentan ini untuk kebaikan Malaysia dalam pembentangan belanjawan 2022, dan juga Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Beliau berkata simposium hari ini diadakan bagi melihat keperluan komuniti di Malaysia semasa pandemik, menggesa pemegang taruh untuk memberi tumpuan kepada komuniti rentan, terutama kumpulan B40 yahg kini dikenali sebagai kumpulan B60, berhubung cara yang lebih baik dan berkesan dalam menghadapi krisis yang belum pernah diharungi sebelum ini yang menimbulkan kebimbangan ramai.

Fokus utama simposium itu adalah untuk menggariskan posisi Yayasan berkenaan - yang termasuk berkaitan isu-isu ekonomi, untuk dibawa kepada pembuat dasar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ia bertujuan membantu usaha-usaha kerajaan menangani kesan terus dan tidak langsung pandemik terhadap kumpulan rentan seperti kanak-kanak berkeperluan khas, dan juga kemuniti secara keseluruhan, menerusi penjanaan idea-idea serta cadangan bernas oleh pemegang taruh, dangan penyelesaian jangka panjang dan sederhana.

“Kanak-kanak berhadapan dengan risiko menjadi mangsa secara tersembunyi. Krisi yang kita hadapi bukan hanya melibatkan mereka yang menjadi mangsa serangan atau kumpulan rentan yang tidak mampu mempertahankan diri, tetapi juga keatas seluruh negara,” katanya.

BERNAMA ONLINE