Showing posts with label Rencana/ Laporan Khas. Show all posts
Showing posts with label Rencana/ Laporan Khas. Show all posts

Monday, 28 June 2021

TEKS UCAPAN PENUH PAKEJ PERLINDUNGAN RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI (PEMULIH)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

1. Izinkan saya memulakan bicara pada hari ini, dengan mengangkat setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah Subhanahu wa Taala bahawa Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui atas segala-galanya, serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

2. Mengambil ibrah petikan doa yang sering diungkapkan dalam ayat ke-10, Surah al-Kahfi,

رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَٓ رَحۡمَة وَهَيِّئٓۡ لَنَا مِنۡٓ أَمۡرِنَا رَشَ دا

"Sesungguhnya kami memohon rahmat dari sisi-Mu Ya Allah, kami memohon dipermudahkan atas segala urusan dan kami memohon keselamatan atas segalanya".

Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

3. Pada 15 Jun yang lalu, saya telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara atau PPN sebagai suatu panduan atau roadmap peralihan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan secara berfasa. Pelan ini membolehkan saudara dan saudari membuat perancangan yang sejajar dengan langkah-langkah Kerajaan untuk melawan COVID-19 dan memulihkan negara.

4. Peralihan secara berperingkat ini merangkumi empat fasa dan bersandarkan kepada tiga indikator: pertamanya bilangan kes harian COVID-19, kedua, kadar penggunaan katil di wad ICU, dan ketiga, peratusan rakyat yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

5. Sehingga kini, ketiga-tiga indikator ini masih belum mencapai nilai ambang untuk kita beralih daripada fasa pertama ke fasa kedua. Kes harian COVID-19 masih berada pada paras melebihi 4 ribu kes sehari atau bersamaan dengan 12 kes bagi setiap 100 ribu penduduk.

6. Namun begitu, walaupun secara keseluruhan nilai ambang nasional belum tercapai, pelaksanaan PPN fasa pertama telah menunjukkan beberapa perkembangan positif. Bilangan kes harian COVID-19 telah berada di bawah paras 12 kes bagi setiap 100 ribu penduduk di sembilan negeri dan hampir semua negeri setakat ini lebih 10 peratus penduduknya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

7. Mengambil kira situasi semasa terutamanya kemunculan varian baharu yang lebih ganas, Kerajaan sedar bahawa kapasiti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK perlu ditingkatkan supaya lebih ramai lagi boleh divaksin dengan segera. Sementara itu agenda prihatin dan keselamatan rakyat akan diteruskan, dan sektor perniagaan perlu terus disokong.

8. Yang saya boleh janjikan hari ini, biarpun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan saudara dan saudari semua. Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi COVID-19. Hari ini, saya ingin menyampaikan beberapa pengumuman penting dan insha-Allah akan ada beberapa perkhabaran baik buat semua.

PAKEJ PERLINDUNGAN RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI - PEMULIH

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

9. Saya tahu dan saya faham bahawa ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan pada masa ini kerana kehilangan pekerjaan dan tidak dapat berniaga atau bekerja seperti biasa. Pengusaha kedai makan dan restoran menanggung rugi kerana ketiadaan pelanggan. Tukang rumah dan pekerja kontrak hilang pendapatan kerana sektor pembinaan bukan kritikal tidak dibenarkan beroperasi. Begitu juga pemilik kedai gunting rambut, kedai pakaian, pusat cuci kereta, peniaga pasar malam dan lain-lain yang tidak boleh menjalankan perniagaan. Banyak individu, syarikat dan perniagaan yang terjejas kerana sektor mereka tidak dibenarkan beroperasi.

10. Kerana itu, sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita, Kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah 380 bilion ringgit. Setakat ini, sebanyak lebih 200 bilion ringgit telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan. Belanjawan 2021 pula bernilai 322.5 bilion ringgit dan masih berbaki 100 bilion ringgit untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini.

11. Maka, pada hari ini pula, sukacita saya ingin umumkan pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau PEMULIH.

12. Nilai keseluruhan pakej PEMULIH berjumlah 150 bilion ringgit merangkumi suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak 10 bilion ringgit. PEMULIH bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

FOKUS PERTAMA: MENERUSKAN AGENDA PRIHATIN RAKYAT

Saudara dan saudari yang dikasihi,

13. Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat, sukacita saya mengumumkan bahawa sehingga hujung tahun ini, Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Tunai langsung kepada rakyat berjumlah 10 bilion ringgit. Bantuan Tunai langsung ini merangkumi:

14. Pertama, Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR. Semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, Kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga 500 ringgit pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun. Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara 100 hingga 1,400 ringgit akan dibayar pada bulan September nanti. Bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR. Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah 4.9 bilion ringgit.

15. Kedua, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, sukacita saya umumkan, pemberian Bantuan Khas COVID-19 atau BKC dengan kadar dan kategori seperti berikut:

 Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos, 500 ringgit pada bulan November, dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan November;

 Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos; dan  Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak 250 ringgit, manakala bujang kategori M40 akan menerima 100 ringgit pada bulan Ogos nanti.

 Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.

16. Ketiganya ialah Bantuan Kehilangan Pendapatan. Pada bulan Oktober nanti, sebanyak 500 ringgit akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021. Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan 500 juta ringgit.

17. Dengan ketiga-tiga bantuan tunai ini, bagi setiap bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini, golongan yang memerlukan akan mendapat bantuan yang sewajarnya. Saya berharap bantuan tunai ini dapat membantu saudara dan saudari untuk meneruskan kelangsungan hidup pada bulan-bulan mendatang, insya-Allah.

18. Saya sedar kehidupan ramai di kalangan saudara-saudari yang terjejas teruk akibat lebih setahun berperang dengan pandemik COVID-19. Walaupun berjuta rakyat Malaysia telah menerima manfaat bantuan tunai dari Kerajaan sejak Mac 2020 dan ramai lagi menerima bantuan kerajaan dalam bentuk yang pelbagai, saya faham bantuan perlu terus dipertingkat selagi kemelut ini berlanjutan.

19. Ada yang terpaksa meminjam beras dari jiran, diusir dari rumah sewa, makan sekali sehari mengikat perut. Ada yang meminjam wang dari saudara mara dan sahabat yang lebih berkemampuan untuk membeli barangan dapur. Semuanya untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga. Kerajaan mencuba sedaya upaya membantu meringankan beban yang dipikul saudara-saudari sekalian dan tidak pernah putus terus membantu sedaya mampu.

20. Seterusnya, Kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal. Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya 300 ringgit.

21. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan 125 juta ringgit melalui HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan. Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30 ribu orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. Pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20 ribu pencari pekerja dalam ekonomi gig.

Saudara dan saudari,

22. Kerajaan sedar bahawa barangan keperluan asas amat penting bagi golongan yang memerlukan. Maka, sebagai tambahan kepada program Bantuan Bakul Makanan sedia ada, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak 300 ribu ringgit kepada setiap ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen Pembangkang, untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing. Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan politik. Baik Ahli Parlimen Kerajaan atau Pembangkang, semuanya mestilah memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang sedang menanggung kesusahan. Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing. Selain itu, 10 juta ringgit juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

23. Kerajaan komited untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup. Kita akan meneruskan dasar pengawalan harga barang perlu. Walaupun harga komoditi di peringkat global meningkat, Kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang dijangka melibatkan subsidi melebihi enam bilion ringgit tahun ini. Seterusnya, untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram hingga 5 kilogram, Kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil. Melalui program ini, sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi 30 ringgit sebotol.

24. Selain itu, dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1 kilogram terjamin, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak satu bilion ringgit. Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram pada harga bersubsidi RM2.50.

25. Sejak dilanda pandemik ini, kita banyak mendengar mengenai masalah sosial. Antaranya termasuklah masalah tekanan mental dan emosi. Kerajaan akan memperluaskan sokongan psikososial melalui saluran seperti talian kasih. Sebagai tambahan, Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan 15 juta ringgit kepada badan-badan bukan Kerajaan atau NGO dalam membantu Kerajaan menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

Saudara dan saudari,

26. Bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat, Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara 5 hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan. Antaranya, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan. Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah 346 juta ringgit dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021.

27. Selain itu, bagi sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021. Dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, Kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak 1 bilion ringgit.

28. Selanjutnya berkaitan kesalinghubungan digital. Ketika ini kemudahan internet boleh dianggap utiliti keperluan asas bagi hampir semua aktiviti harian, termasuklah bagi pembelajaran, bekerja dari rumah, pembelian barangan secara dalam talian dan perkhidmatan Kerajaan serta swasta. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021. Kemudahan ini yang dianggarkan bernilai 500 juta ringgit bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara.

29. Selain itu, perkhidmatan bank bergerak telah dilancarkan pada bulan ini di Sarawak dan Bank Simpanan Nasional akan memulakan kemudahan tersebut di Sabah pada bulan Julai. Bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendapatkan perkhidmatan perbankan, Kerajaan akan menawarkan peruntukan sebanyak 18 juta ringgit untuk bank tempatan menyediakan kira-kira 30 unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang bakal merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar. Melalui inisiatif ini, saudara dan saudari boleh mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan termasuk pembukaan akaun; penyimpanan, pengeluaran dan pemindahan wang; pembayaran bil serta perbankan digital.

FOKUS KEDUA: MENYOKONG PERNIAGAAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

30. Fokus kedua dalam pakej PEMULIH ini ialah Menyokong Perniagaan. Kerajaan sedar, dalam fasa pertama dan kedua PPN, kebanyakan premis perniagaan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Oleh itu, Kerajaan akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan perniagaan dalam kedua-dua fasa-fasa ini. Melalui fokus kedua ini, beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

31. Pelaksanaan Geran Khas Prihatin atau GKP telah berjaya menyokong kelangsungan perniagaan atau business survival dalam kalangan peniaga kecil, terutamanya mereka yang masih tidak dibenarkan beroperasi. Secara keseluruhan Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 5.1 bilion ringgit melalui inisiatif GKP. Terkini, di bawah PEMERKASA Tambahan, penerima yang layak telahpun mendapat bayaran GKP 3.0 mereka sebanyak 1 ribu ringgit kira-kira dua minggu lepas, dan bakal mendapat 500 ringgit lagi pada pertengahan bulan Julai nanti.

32. Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada masa ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak 500 ringgit akan dibayar pada bulan September dan 500 ringgit lagi pada bulan November 2021.

33. Kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira 1 juta usahawan PKS mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik workshop, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan, dan lain-lain dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka, Insya-Allah. Apa yang penting, kepada usahawan mikro yang masih belum pernah mendapat bantuan ini, pendaftaran akan mula dibuka pada pertengahan Julai nanti.

Saudara dan Saudari,

34. Sejak Program Subsidi Upah atau PSU diperkenalkan, Kerajaan telahpun membelanjakan lebih 15 bilion ringgit bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja. Memandangkan respon positif berhubung program ini, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak 3.8 bilion ringgit yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

35. Melalui inisiatif PSU 4.0, Kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak 600 ringgit setiap pekerja selama tempoh empat bulan, iaitu dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN, dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti.

36. Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di bawah 4 ribu ringgit, sukacita saya umumkan bahawa di bawah PSU 4.0, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan. Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih 4 ribu ringgit.

37. Selanjutnya, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan akan diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa PKP. Selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini dianggarkan bernilai sebanyak 425 juta ringgit.

38. Seterusnya, saya ingin menyentuh mengenai penciptaan pekerjaan, penawaran latihan dan peningkatan pendapatan pekerja. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, lebih 243 ribu peluang pekerjaan berjaya diwujudkan. Di bawah Majlis Pekerjaan Negara atau NEC, Kerajaan akan mencipta peluang-peluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan pemain industri.

39. Melalui program PenjanaKerjaya oleh PERKESO, Kerajaan telah menyediakan insentif kewangan kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan baharu. Sehingga kini, sebanyak 170 juta ringgit telah disalurkan yang telah dimanfaatkan lebih 10,600 majikan dan 75,800 pekerja.

40. Memandangkan PenjanaKerjaya ini dijadual berakhir pada akhir Jun ini, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program ini dan dijenamakan sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan. Ini antaranya mengurangkan had kelayakan gaji daripada 1,500 ringgit kepada 1,200 ringgit untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan. Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada 6 bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan OKU dan bekas banduan.

Saudara dan saudari,

41. Seterusnya, program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di bawah pakej PENJANA tahun lalu telah berjaya membantu lebih 200 ribu usahawan tempatan meningkatkan jualan mereka melalui platform e-Dagang dengan nilai transaksi mencecah 1.8 bilion ringgit.

42. Sehubungan itu, bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, Kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan 200 juta ringgit untuk PMKS dan 100 juta ringgit untuk PKS.

Pertama: Meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai;

Kedua: Menambah peruntukan sebanyak 100 juta ringgit di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga 5 ribu ringgit untuk pembelian sistem atau langganan platform digital;

Ketiga: Menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM. Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital;

Keempat: Memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian. Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.

43. Saya juga mendengar keluhan golongan karyawan, artis, pemuzik, pelakon, penggiat teater, penulis dan krew produksi yang turut terkesan ekoran syarat PKP yang tidak membenarkan mereka terlibat dalam aktiviti seni dan persembahan ketika ini.

44. Maka, bagi membantu lebih 8 ribu penggiat seni dan terus menyokong industri seni dan kreatif tempatan, Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan. Peruntukan ini antaranya meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu.

45. Di samping itu, Kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula. Sehubungan itu, Kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah 3 ribu ringgit kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8 ribu pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.

46. Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika.

47. Kerajaan juga mendengar suara pengusaha kantin di sekolah yang masih ditutup dan menyebabkan mereka hilang mata pencarian. Kerajaan bersetuju bantuan kewangan sebanyak 1 ribu ringgit diberikan kepada semua pengusaha kantin berdaftar.

48. Selanjutnya, Kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada mereka.

49. Bagi membantu golongan kurang upaya yang telah kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan 500 ringgit seorang untuk tempoh tiga bulan. Untuk itu, 30 juta ringgit diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU.

50. Kerajaan juga akan melaksanakan Program Jaringan Inisiatif Umum atau JITU bagi tujuan menyediakan bantuan asas modal perniagaan dan membimbing golongan OKU dan gelandangan dalam perniagaan. Sejumlah 20 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan ini dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 40 ribu individu.

Saudara dan Saudari,

51. Saya juga ingin memaklumkan di sini, Kerajaan akan memudah cara prosedur Perolehan Kerajaan seperti berikut:

Pertama: Membenarkan perubahan harga atau variation of price (VOP) bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan sehingga 31 Disember 2021;

Kedua: Membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga, dengan penggunaan jadual kadar kerja kejuruteraan awam dan bangunan yang baharu serta jadual kadar kerja elektrik;

Ketiga: Membenarkan lanjutan masa atau extension of contract (EOT) projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP tertakluk kepada klausa kontrak.

52. Seterusnya kepada 9 ribu usahawan MARA yang turut terjejas akibat COVID-19, Kerajaan bersetuju untuk membenarkan mereka membuat permohonan penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan.

53. MARA juga akan melanjutkan pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh lima bulan lagi iaitu sehingga Disember 2021. Lebih 5,700 penyewa dijangka memperoleh manfaat daripada inisiatif ini. Saya menyarankan agar lebih banyak badan berkanun, syarikat GLC dan PBT turut memberi kemudahan pengecualian dan menawarkan diskaun sewa, lesen atau menangguhkan bayaran komitmen bulanan.

54. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pemilik-pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus kepada peniaga dalam tempoh sehingga 31 Disember 2021 layak mendapat potongan khas cukai.

Saudara – saudari yang dikasihi,

55. Sebagai langkah berterusan untuk membantu sektor PKS kekal relevan dan berdaya saing, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad atau SJPP telahpun meningkatkan had siling pembiayaan skim jaminan kerajaan di bawah SJPP sebanyak 10 bilion ringgit bagi tahun 2021 kepada 36.5 bilion ringgit. Sehingga 24 Jun 2021, SJPP telah memberikan jaminan bagi pembiayaan bernilai 33.4 bilion ringgit kepada lebih 45 ribu buah syarikat.

56. Bagi terus menyokong sektor PKS mendapat kemudahan pembiayaan dan bangkit semula dalam fasa pemulihan, Kerajaan akan meningkatkan lagi had siling jaminan di bawah SJPP sebanyak 20 bilion ringgit menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 56.5 bilion ringgit.

57. Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga komited dalam menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS. Sehingga kini, masih terdapat 6.6 bilion ringgit baki sedia ada daripada keseluruhan 25.1 bilion ringgit yang telah disediakan oleh BNM untuk manfaat pemohon baharu. Melalui pakej PEMULIH hari ini, BNM bersetuju untuk menambah dua bilion ringgit lagi menjadikan baki dana ini berjumlah 8.6 bilion ringgit. Diharapkan dana ini dapatlah memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan mereka.

58. Bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga 1.1 bilion ringgit. Pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah 500 juta ringgit, dan TEKUN sebanyak 100 juta ringgit. Ini bermakna, termasuk peruntukan sedia ada untuk 2021 sebanyak 3 bilion ringgit dana mikrokredit masih tersedia untuk usahawan mikro.

59. Institusi koperasi juga disokong dalam tempoh yang sukar ini melalui peruntukan 20 juta ringgit bagi program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi. Program ini membolehkan usahawan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi, termasuk memasarkan produk melalui platform dalam talian serta menggalakkan pembelian barangan di kedai koperasi.

60. Di samping itu, sektor pelancongan merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini. Sebagai pendorong atau kick-start, apabila negara beralih ke fasa ketiga PPN kelak, Kerajaan akan menyediakan bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar.

61. Kerajaan juga telah bersetuju untuk menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini. Seterusnya, apabila negara beralih ke fasa keempat PPN, Kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiatkan semula aktiviti pelancongan.

Pelaksanaan i-Citra and Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Bank

Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang dikasihi,

62. Kerajaan inilah yang mula-mula sekali mencadangkan pelaksanaan program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19. Kita telah menjadi antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan inisiatif seumpama ini. Alhamdulillah, ia memberi kesan positif dan amat membantu aliran tunai rakyat sehingga kini.

63. Maka dengan itu, bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yang terjejas akibat PKP, KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra. Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga 5 ribu ringgit dengan kadar bayaran tetap 1 ribu ringgit sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli. Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.

64. Hakikatnya ini merupakan keputusan sukar kerana Kerajaan sedar, ini adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.

65. Selanjutnya, saya ingin mengumumkan beberapa inisiatif berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman yang boleh dimanfaatkan oleh semua dalam tempoh yang sukar ini.

66. Bagi membantu para peminjam pendidikan, sukacita saya umumkan bahawa beberapa agensi Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran antaranya:

Pertama: memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN;

Kedua: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan;

Ketiga: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah 100 ringgit selama 12 bulan;

Keempat: menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.

Nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah 400 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.

67. Selanjutnya, pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas juga boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan takaful (secara opt-in) yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Inisiatif ini merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat dan takaful keluarga. Lebih 1 juta rakyat dijangka memperoleh manfaat daripada pelanjutan ini. Jumlah keseluruhan nilai premium dan sumbangan yang ditangguhkan dianggarkan sebanyak 2.6 bilion ringgit.

68. Akhir sekali, tentunya berhubung pelaksanaan moratorium bayaran balik pinjaman bank. Semasa pengumuman pakej bantuan PEMERKASA Tambahan, Kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan pihak bank telah melaksanakan inisiatif bayaran balik pinjaman secara bersasar. Setakat ini, lebih daripada 250 ribu peminjam yang layak telah mendapat kelulusan secara automatik. Mereka hanya perlu memilih sama ada untuk mendapatkan moratorium selama 3 bulan atau pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.

69. Kerajaan faham keresahan rakyat pada masa ini. Ramai yang terjejas dan ini bukanlah melibatkan golongan B40 sahaja. Saya banyak mendengar dan membaca rintihan yang sama daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara mara yang terjejas akibat COVID-19.

70. Oleh itu, sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro. Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan. Anda Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.

71. Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini. Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain.

FOKUS KETIGA: MENINGKATKAN VAKSINASI

Saudara-saudari yang dikasihi,

72. Fokus ketiga kerajaan ini mempercepatkan program vaksinasi. Statistik sehingga 26 Jun 2021 menunjukkan, sejumlah 7 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi 5 juta orang. Sebanyak 15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir 2 juta orang atau 6 peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

73. Alhamdulillah, kita juga telah berjaya mengekalkan kadar pemberian vaksin secara purata melebihi 200 ribu sehari dalam tempoh 7 hari lalu. Selain itu, seramai 16.3 juta orang telah berdaftar untuk mendapatkan bekalan vaksin setakat ini.

74. Melihat kepada pencapaian ini, Kerajaan optimis bahawa segala usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat. Sehubungan itu, bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK akan terus diperkasa.

75. Justeru, sukacita saya umumkan beberapa inisiatif tambahan yang akan dilaksanakan seperti berikut:

76. Pertama: Bagi mempercepat jadual pelaksanaan PICK, sejumlah 400 juta ringgit diperuntukkan untuk menambah bekalan vaksin negara. Ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

77. Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun. Anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini akan diutamakan.

78. Saya juga ingin tegaskan, Kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus. Ia telah menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan.

79. Kedua: Sehingga hari ini, Kerajaan telah membuka sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan (8) PPV IPT. Bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin harian, Kerajaan bersetuju untuk membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to-Home dengan peruntukan keseluruhan berjumlah 200 juta ringgit.

80. Sebagai contoh, saya telah mengunjungi program MyMedic @ Wilayah Mobile Vaccination di PPR Sri Johor, Kuala Lumpur yang menumpukan warga emas dan gelandangan serta penggunaan beberapa unit bas bergerak ke kawasan luar bandar yang melibatkan program imunisasi Orang Asli dan beberapa PPV pandu-lalu di IPTA. Baru-baru ini, saya juga berkesempatan mengunjungi PPV OKU-pandu lalu OKU Sentral di Ara Damansara, yang pertama seumpanya di dalam negara

.

81. Ketiga: Beberapa hari yang lalu, saya telah umumkan kenaikan bayaran sagu hati daripada 50 ringgit kepada 100 ringgit sehari bagi sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun 2021. Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin. Saya juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat.

82. Sebagai tambahan, sukacita daya umumkan, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14 ribu barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada 200 ringgit kepada 600 ratus ringgit selama enam bulan bermula Julai 2021. Kedua-dua inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak 200 juta ringgit. Peruntukan ini merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta.

83. Keempat: MITI telah menyelaras Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta atau PIKAS sebagai galakan kepada syarikat dan industri untuk menggunakan premis mereka sebagai PPV dan menjalankan program imunisasi kepada pekerja. Kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara urusan logistik yang berkaitan. Kerjasama ini penting untuk membolehkan kita mempertingkatkan kadar vaksinasi dengan segera supaya penularan berterusan di tempat-tempat kerja dapat diputuskan dan dikawal dengan lebih baik.

84. Sehubungan itu, bagi menggalakkan pelaksanaan PIKAS dan mengurangkan tanggungan syarikat, sejumlah 150 juta ringgit akan disediakan. Di bawah inisiatif ini, antara lainnya:

 Kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (atau HRD Corp), boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID-19;

 Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan. Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV; dan Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin.

85. Kelima: Bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti juga akan disegerakan. Antaranya, pendaftaran untuk vaksinasi serta pemberian subsidi sehingga 30 ringgit atas kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan OKU dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mendapatkan vaksin pada hari temu janji mereka.

86. Nilai keseluruhan bagi fokus ketiga ini berjumlah 1 bilion ringgit.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

87. Saya amat memahami keresahan yang dirasai oleh saudara dan saudari ketika ini. Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri sentiasa memikirkan keluh-kesah dan kesusahan yang dialami oleh anda semua dan mencari jalan untuk mengatasinya.

88. Kerajaan tetap terus bergerak, berjuang dan berusaha keras setiap masa, sekalipun dalam keterbatasan, untuk memastikan negara kekal berada pada landasan pemulihan yang tepat dan nasib anda semua terus terbela. Biarpun diuji setiap segi, Kerajaan berikrar akan terus cekal memberikan khidmat terbaik buat anda semua.

89. Saya ingin tegaskan, Kerajaan sentiasa mendengar dan menerima pandangan semua pihak dengan hati terbuka, memperbaiki sistem penyampaian kerajaan, berusaha dan berikhtiar mencari jalan keluar dari kemelut pandemik ini. Percayalah, kerajaan akan terus membantu sedaya mampu supaya rakyat dan negara kita terus dilindungi.

90. Program vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan kita melawan COVID-19. Bagi mereka yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, segeralah menunaikan kewajipan anda untuk kebaikan kita bersama. Berilah kerjasama penuh dan juga sedikit masa bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, supaya Pelan Pemulihan ini berjaya dilaksanakan. Lindung diri, lindung semua.

91. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Kepada-Mu jualah kami memohon pertolongan dan Engkau lah sebaik-baik pelindung.

BERNAMA ONLINE

Wednesday, 17 March 2021

TEKS PENUH UCAPAN PERDANA MENTERI : PEMERKASA

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat wal-afiat.

1. Kini, genap setahun negara kita melaksanakan pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP untuk menangani wabak COVID-19. Sepanjang tempoh ini, Kerajaan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi.

2. Pada masa ini, negara kita sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu 'Revitalize' atau Memperkasa ekonomi. Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi, atau jump-start the economy.

3. Sehubungan itu, Kerajaan telah mengenal pasti 5 Fokus Utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021 iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.

PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI (PEMERKASA)

4. Bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi, sukacita saya umumkan Kerajaan akan melaksanakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau PEMERKASA bernilai 20 bilion ringgit, dengan suntikan fiskal baharu oleh Kerajaan berjumlah 11 bilion ringgit.


5. PEMERKASA akan menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

FOKUS PERTAMA: MENGAWAL PENULARAN COVID-19

Inisiatif Pertama: Program Imunisasi COVID-19

6. Bagi fokus pertama, iaitu mengawal penularan COVID-19, Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan kesihatan awam untuk membendung COVID-19 di samping memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Setakat ini, lebih 300 ribu rakyat telah pun menerima suntikan pertama vaksin.

7. Kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada 3 bilion kepada 5 bilion ringgit untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022.

8. Untuk mencapai sasaran ini, seramai 15 ribu petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di seluruh negara. Mengambil kira pertambahan tugas tersebut, Kerajaan bersetuju Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar 200 ringgit sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan.

Inisiatif Kedua: Tiada lagi Pelaksanaan PKP Menyeluruh

9. Kerajaan juga akan melaksanakan strategi kawalan penularan COVID-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara. Pada masa yang sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri. Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Inisiatif Ketiga: Penguatkuasaan Perundangan yang ketat dan telus

10. Selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

11. Bagi melindungi golongan pekerja, MITI akan melaksanakan inisiatif Safe@Work yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja. Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam "safe work bubble" sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19.

12. Sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program yang bersifat sukarela ini, Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja. Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada 50 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan telah lulus audit pematuhan Safe@Work. Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April 2021.

13. Selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021.

FOKUS KEDUA: MEMACU PEMULIHAN EKONOMI

14. Kerajaan juga komited untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan melalui pelaksanaan segera projek pembangunan, penyediaan insentif penggajian serta pemberian insentif percukaian dan kemudahan pembiayaan mikro kredit.

Inisiatif Keempat: Pelaksanaan Projek-Projek Kecil Seluruh Negara

15. Sehubungan itu, bagi terus merancakkan aktiviti projek-projek berskala kecil di peringkat akar umbi, Kerajaan bersetuju menambah peruntukan projek berskala kecil tahun 2021 daripada 2.5 bilion ringgit kepada 5 bilion ringgit.

16. Antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan PBT.

17. Kerajaan akan memudahkan tatacara perolehan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek. Sebagai contoh, kaedah kerja secara undian bagi pembaikan bencana banjir telah ditingkatkan daripada 100 ribu kepada 200 ribu ringgit. Di samping itu, kerja-kerja kecil bagi kontraktor tempatan akan dikhususkan kepada negeri dan daerah berkenaan.

Inisiatif Kelima: Geran Khas Prihatin 3.0

18. Kerajaan akan terus memberi sokongan untuk memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada PKS tempatan. Untuk itu, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Geran Khas Prihatin atau GKP 3.0 supaya perniagaan mendapat bantuan untuk beroperasi semula. Setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak 1,000 ringgit. Permohonan bagi GKP 3.0 akan dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini. Geran ini dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan.

Inisiatif Keenam: Kemudahan Mikro Kredit

19. Semasa pengumuman Belanjawan 2021 yang lalu, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah 1 bilion ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit. Prihatin dengan situasi yang mencabar ini, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp.

20. Melalui BSN, dana sebanyak 300 juta ringgit akan disediakan dengan had pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit, di mana kadar faedah telah dikurangkan daripada 3.5 kepada 3 peratus. Tempoh pinjaman adalah untuk 5 tahun dan bayaran ansuran hanya bermula selepas bulan keenam.

21. Bagi usahawan sektor informal, TEKUN Nasional akan menyediakan dana tambahan sebanyak 60 juta ringgit, terutamanya untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga 5,000 ringgit bagi perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah, pasar malam dan pasar tamu.

22. Selain itu, program TEKUN Mobilepreneur akan diperluaskan untuk pembiayaan membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga 10 ribu ringgit. Bagi melengkapi inisiatif ini, motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah akan diberi pengecualian 100 peratus duti eksais mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.

23. TEKUN juga akan memperkenalkan program TEKUN POS-preneur di mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan. Bantuan pembiayaan diberikan sehingga 20 ribu ringgit untuk tujuan baik pulih kenderaan, dan sehingga 50 ribu ringgit untuk pembelian van atau lori.

24. Melalui MARA, Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro akan dilaksanakan dengan keutamaan untuk membantu 1,000 PKS mikro Bumiputera untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. Sebanyak 50 juta ringgit disediakan dengan nilai pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit pada kadar faedah serendah 3 peratus.

25. Di samping itu, SME Corp. akan menyediakan 50 juta ringgit untuk membantu PKS tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga 250 ribu ringgit pada kadar faedah juga serendah 3 peratus.

Inisiatif Ketujuh: Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

26. Sejak pelancaran program PenjanaKerjaya 2.0 di bawah PERKESO, hampir 200 ribu pekerja dalam sektor formal berjaya ditempatkan. Bagi membantu golongan yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan, Kerajaan akan terus menambah baik program ini dengan memperluaskan skop insentif pengambilan pekerja untuk meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig, iaitu:

• Menyediakan peruntukan 300 juta ringgit yang akan memanfaatkan 60 ribu pekerja, di mana setiap pekerja akan menerima 600 ringgit sebulan selama tempoh maksimum 6 bulan; dan

• Bagi majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan PERKESO, mereka akan menerima 200 ringgit bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

27. Di samping itu, sehingga 5 Mac 2021, Kerajaan telah menyalurkan lebih daripada 14.4 bilion ringgit bagi membiayai program subsidi upah yang telah membantu 2.7 juta orang pekerja dan lebih daripada 330 ribu majikan.

28. Namun, Kerajaan sedar bahawa masih terdapat sektor yang terkesan. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan 700 juta ringgit bagi melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar. Ini terutamanya kepada sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, serta perniagaan lain yang ditutup semasa PKP seperti pusat sukan gimnasium dan spa. Inisiatif ini dijangka akan membantu 400 ribu pekerja dan 37 ribu majikan.

29. Di samping itu, program perantisan di bawah PenjanaKerjaya juga akan ditambah baik setelah mengambil kira maklumbalas daripada pihak industri yang mendapati tempoh 3 bulan program perantisan ini agak singkat dan tidak mencukupi. Oleh itu, Kerajaan akan melanjutkan tempoh program perantisan selama 6 bulan, di mana pelatih yang mengikuti program ini akan diberi insentif sebanyak 800 ringgit bagi tempoh perantisan 6 bulan.

30. Bagi menangani masalah pengangguran, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara, atau NEC. Bagi tahun ini, NEC menyasarkan pewujudan 500 ribu peluang pekerjaan, di mana sehingga akhir Februari, 66 ribu peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

31. Di bawah seliaan Perbadanan Sumber Manusia Berhad atau HRDF, beberapa inisiatif telah diperkenalkan. Ini termasuklah:

Pertama: Platform UpskillMalaysia yang berperanan sebagai pusat maklumat bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula; dan Kedua: Portal e-LATiH yang mengandungi lebih 300 kursus latihan dalam talian yang ditawarkan secara percuma.

Inisiatif Kelapan: Merangsang Semula Sektor Pelancongan dan Peruncitan

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

32. Industri pelancongan merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19. Bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor ini, Kerajaan akan:

• Melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember 2021;

• Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022;

• Membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 diberikan kepada

syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa;

• Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan;

• Memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 1,000 ringgit untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC; dan

• Memberi pengecualian levi HRDF bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021.

33. Selain itu, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak 3,000 ringgit kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.

34. Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara one-off sebanyak 600 ringgit kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC. Bantuan ini dijangkakan dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

35. Saya percaya, sedikit masa lagi apabila sudah ramai antara kita telah mengambil vaksin, Kerajaan sedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri secara berperingkat, malah mewujudkan special green lane bagi perjalanan sempadan yang melibatkan pengangkutan udara. Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak Kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil.

36. Untuk membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pengembaraan dan pelancongan, pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama 3 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021. Dengan pemanjangan tempoh diskaun ini, Kerajaan akan menanggung jumlah kos sebanyak 135 juta ringgit.

Inisiatif Kesembilan: Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi

37. Bagi memastikan pembiayaan alternatif terus berkembang, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menambah baik peraturannya berdasarkan perkembangan semasa. Antara lain, had pengumpulan dana akan dinaikkan daripada 10 juta kepada 20 juta ringgit serta Equity Crowdfunding akan diperluaskan kepada syarikat berhad yang tidak tersenarai.

38. Untuk terus menggalakkan syarikat mengumpul dana menerusi pasaran saham, fi berkaitan penyenaraian akan dikecualikan selama 12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di pasaran MAIN, LEAP atau ACE. Selain itu, rebat untuk fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 juga akan diberikan kepada syarikat tersenarai yang telah melaporkan kerugian berdasarkan laporan suku tahunan mereka.

39. Seterusnya, bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersetuju nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold dinaikkan daripada 10 kepada 50 ribu ringgit.

40. Pada masa yang sama, SSM juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

41. Kerajaan menyedari bahawa gerakan koperasi turut terjejas berikutan pandemik COVID-19. Susulan itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menyediakan insentif pembiayaan sehingga 100 ribu ringgit tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan. Permohonan pembiayaan ini akan dipermudahkan dan proses kelulusan akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan. Sejumlah 50 juta ringgit dari Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan diperuntukkan yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi.

42. Selain itu, Kerajaan telah meluluskan geran padanan sebanyak 30 juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi industri sawit. Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak

20 juta ringgit dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan. Ini dijangka memanfaatkan 65 koperasi dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil.

43. Geran Padanan Digitalisasi di bawah BSN yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat turut diperluaskan kepada koperasi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.

FOKUS KETIGA: MEMPERKUKUH DAYASAING NEGARA

44. Dalam memperkukuh daya saing negara, Kerajaan komited untuk menarik pelaburan, memperkasa perdagangan luar, meningkatkan adaptasi penggunaan teknologi digital dan menjamin pertumbuhan lestari.

Inisiatif Kesepuluh: Mengukuhkan Persekitaran Perniagaan

45. Untuk itu, Kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH sentiasa komited untuk memastikan peraturan yang tangkas atau agile regulation dilaksanakan bagi mendorong pelaburan semula perniagaan domestik. Ini termasuk perluasan program Authorised Economic Operator Nasional yang memberi kemudahan laluan hijau kepada syarikat yang layak bagi urusan eksport dan import dan pemendekan tempoh memproses permohonan pelaburan.

Inisiatif Kesebelas: Automasi dan Digitalisasi

46. Bantuan moratorium bersasar yang diumumkan oleh Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah berjaya mengurangkan beban 1.4 juta peminjam individu dan PKS yang terjejas, dengan kadar kelulusan sehingga 95 peratus. Saya ingin menekankan bahawa bantuan ini masih dibuka kepada orang ramai.

47. Bagi membantu PKS mendapatkan pinjaman, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak 2 bilion ringgit dan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi sebanyak 700 juta ringgit. Dengan penambahan ini, kemudahan yang disediakan oleh Bank Negara untuk manfaat PKS berjumlah 6 bilion ringgit.

48. Di bawah MIDF, sebanyak 200 juta ringgit disediakan untuk skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau. MIDF juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dari 5 kepada 3 peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021.

49. Di samping itu, dana tambahan sebanyak 50 juta ringgit bagi Geran Automasi Pintar di bawah MIDA turut disediakan supaya lebih banyak PKS dan Syarikat Tahap Pertengahan, atau Mid-Tier Companies dapat meningkatkan kecekapan operasi dan pembuatan menerusi teknologi tinggi. Selain itu, bagi menyokong IR4.0, peruntukan berjumlah 50 juta ringgit akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah MITI.

50. Bagi menggalakkan PKS meningkatkan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, SME Bank akan menyediakan dana pinjaman 200 juta ringgit untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.

Inisiatif Keduabelas: Mengurangkan Jurang Digital

51. Semasa Belanjawan 2021, Kerajaan telah mengumumkan Program Jaringan Prihatin bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada internet, merapatkan jurang digital golongan B40 dan menyokong agenda pendigitalan negara.

52. Jika Belanjawan 2021 sebelum ini telah mengumumkan subsidi pembelian telefon sebanyak 180 ringgit kepada semua penerima BPR, sukacita diumumkan Kerajaan akan menambah baik subsidi ini kepada 300 ringgit khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu. Dengan itu, peruntukan program ini akan ditingkatkan kepada 2 bilion ringgit dan insha-Allah, akan dilancarkan awal bulan Mei. Saya menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan.

53. Rangka kerja MyDIGITAL dan Ekonomi Digital Malaysia telah menggariskan perkhidmatan 5G komersil sebagai keperluan terpenting kerana internet kelajuan tinggi adalah perlu untuk mencetuskan inovasi dan peluang kerja baru dalam ekonomi digital negara. Oleh itu, perkhidmatan 5G dijangka akan beroperasi secara berperingkat mulai hujung tahun ini.

54. Selain itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar terutamanya di luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM telah memperuntukkan 3.2 bilion ringgit untuk tahun 2021 di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis-premis berkaitan.

55. Seterusnya, SKMM akan memperkenalkan program MyBAIKHATI dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif crowdsourcing peranti. Program ini akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada antara lain Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti.

Inisiatif Ketigabelas: Menggalakkan Pelaburan dan Pasaran Eksport

56. Sebagai pemboleh daya yang penting bagi program pemulihan negara, pelaburan asing dan perdagangan antarabangsa perlu diberi tumpuan khusus. Bagi tujuan ini, MITI akan terus meneroka potensi eksport baharu, serta menggalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi dalam kalangan pemain industri.

57. Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuklah inisiatif eBizLink, iaitu platform pemasaran digital secara maya dan hibrid, serta inisiatif Globepreneur yang bertujuan mengetengahkan lebih banyak syarikat PKS berpotensi ke pasaran antarabangsa.

58. Kerajaan juga akan menaikkan siling Geran Pembangunan Pasaran atau MDG daripada 300 ribu kepada 500 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang menyertai platform pameran antarabangsa. Bagi menjana sumber kekayaan baharu negara, geran padanan bernilai 50 juta ringgit akan disediakan untuk membangunkan industri aeroangkasa dan peranti perubatan.

Inisiatif Keempatbelas: Menggalakkan Pembiayaan Mampan

59. Program PEMERKASA akan menyokong agenda kelestarian negara, terutamanya ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG menjelang 2030. Kerajaan bersama PBB Malaysia akan menubuhkan Dana Amanah MySDG sebagai platform yang membolehkan pembiayaan dari pelbagai sumber untuk membiayai projek yang menepati kriteria SDG.

60. Bagi menyokong matlamat negara untuk menjadi hab kewangan lestari, Kerajaan akan melancarkan Sukuk Lestari berjumlah tidak kurang dari 1 bilion dolar Amerika. Hasil dari sukuk berkenaan akan membiayai program dan projek yang mempunyai elemen kelestarian di samping menangani kesan sosio-ekonomi akibat wabak COVID-19.

FOKUS KEEMPAT: MEMASTIKAN AGENDA KETERANGKUMAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

61. Dalam menghadapi cabaran wabak ketika ini, Kerajaan akan terus memelihara kebajikan rakyat terutamanya mereka yang masih terjejas. Inisiatif kali ini akan lebih tertumpu kepada golongan rentan, kurang upaya dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

Inisiatif Kelimabelas: Bantuan Kehilangan Pendapatan

62. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit kepada 2.4 juta penerima untuk mendapatkan bantuan seperti berikut:

• Bantuan tunai secara one-off sebanyak 500 ringgit diberikan kepada golongan B40 yang telah hilang pendapatan; dan

• Bayaran tambahan sebanyak 500 ringgit diberikan kepada penerima BPR yang berpendapatan 1,000 ringgit dan ke bawah.

63. Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO. Insha-Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing.

64. Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan Kerajaan. Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan.

65. Seterusnya, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac ini sehingga 30 Jun 2021. Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.

Inisiatif Keenambelas: Menambahbaik Program Bantuan Rentan Bandar

66. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan semua golongan masyarakat dapat dibantu semasa tempoh yang sukar ini termasuk golongan gelandangan. Oleh yang demikian, DBKL telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Anjung Kelana di Taman Desa Kuala Lumpur sebagai pusat perlindungan sementara.

67. Seterusnya, bagi mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin yang tinggal di bandar, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit bagi program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai. Program ini dijangka akan memanfaatkan 300 ribu isi rumah miskin di bandar-bandar utama di seluruh negara untuk membolehkan mereka membeli barangan makanan asas.

68. Mengenai kesihatan rakyat pula, inisiatif mySalam berhubung COVID-19 telah memanfaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran 40 juta ringgit. Bagi menambah baik skim ini, golongan B40 yang dibenarkan untuk dikuarantin di rumah atas sebab COVID-19 layak untuk menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan sebanyak 50 ringgit sehari selama maksimum 14 hari tertakluk kepada pengesahan oleh Pegawai Perubatan.

69. Selain itu, program klinik bergerak merupakan satu program melibatkan penyediaan rawatan asas dan pemeriksaan percuma kepada warga tempatan khususnya golongan rentan bandar bagi memperkasakan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Pada masa ini, MyMedic@Wilayah di bawah DBKL menyediakan perkhidmatan klinik bergerak meliputi kawasan PPR dan perumahan awam kepada golongan yang kurang berkemampuan serta rawatan secara terus kepada pesakit kronik dan uzur yang terlantar di rumah. Sehubungan itu, sejumlah 30 juta ringgit akan diperuntukkan bagi meluaskan perkhidmatan kesihatan ini ke seluruh negara melalui program KPT PRIHATIN, KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS) dengan kerjasama kumpulan pakar perubatan dari Hospital Pengajar Universiti.

70. Seterusnya, dalam melaksanakan proses verifikasi penerima bantuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melantik seramai 2,500 orang pegawai tambahan di bawah inisiatif MySTEP bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Inisiatif Ketujuhbelas: Prihatin Wanita

71. Bagi memperkasa usahawan wanita, Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro, serta Program Shop Malaysia Online, Kerajaan akan menyediakan dana 30 juta ringgit untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian. Sebagai tambahan, BSN juga akan menyediakan sejumlah 50 juta ringgit bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan.

72. Selain itu, peruntukan sebanyak 10 juta ringgit dalam bentuk dana padanan 70 peratus bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri turut disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.

Inisiatif Kelapanbelas: Prihatin OKU

73. Saya telah dimaklumkan golongan OKU yang bekerja turut terjejas dalam tempoh yang sukar ini. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada 1,200 kepada 1,500 ringgit sebulan. Untuk tujuan ini, sebanyak 26 juta ringgit akan disediakan di mana ia akan memanfaatkan seramai hampir 5,000 OKU.

74. Selain itu, bagi membantu program keusahawanan termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan oleh OKU dan warga emas,

Kerajaan bersetuju menambah 20 juta ringgit untuk memperkukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

75. Di samping itu, golongan OKU akan berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.

76. BSN telah menyediakan sebanyak 25 juta ringgit di bawah Skim Mikrokredit ISTIMEWA bagi golongan OKU menceburi bidang perniagaan dengan had pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit dan kadar faedah serendah 3 peratus.

Inisiatif Kesembilanbelas: Prihatin Belia

Seterusnya buat anak muda,

77. Kerajaan telah memperkenalkan program eBelia bagi menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai kepada golongan belia, khususnya mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar pendidikan tinggi sepenuh masa. Sukacita diumumkan bahawa program tersebut akan ditambahbaik dengan meningkatkan nilai kredit daripada 100 kepada 150 ringgit yang akan memanfaatkan 2 juta belia dengan jumlah peruntukan sebanyak 300 juta ringgit. Program ini akan dilaksanakan mulai bulan Jun 2021.

78. Bagi menggalakkan penyertaan anak muda bandar terlibat dalam projek-projek keusahawanan, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar atau PEKB akan diperluas dengan tambahan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit, menjadikan peruntukan keseluruhan tahun 2021 bagi program ini sebanyak 21 juta ringgit. Oleh itu, seramai 1,800 peserta akan mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai.

79. Selain itu, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera akan ditambah peruntukan bagi melahirkan seramai 250 usahawan belia Bumiputera baharu. Manakala, program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.

80. BSN juga menawarkan Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA dengan kadar serendah 3 peratus untuk membolehkan anak muda menceburi bidang perniagaan mendapatkan pembiayaan sehingga 50,000 ringgit.

Inisiatif Keduapuluh: Penerusan Subsidi bagi Meringankan Kos Sara Hidup

81. Berdasarkan trend semasa, adalah dijangkakan harga minyak dunia akan meningkat dan terus menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel.

82. Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak ini, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter. Kerajaan pada masa ini menanggung subsidi pada kadar hampir 30 sen seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai 3 bilion ringgit pada harga semasa.

83. Kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair petroleum atau LPG. Harga sebenar di pasaran setong gas LPG bersaiz 14 kg pada masa ini adalah sekitar RM50. Namun, harga runcit telah ditetapkan pada paras RM26.60 setong. Oleh itu, Kerajaan telah memberi subsidi hampir 50 peratus bagi setiap tong LPG 14 kg yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah. Kerajaan akan terus memberi subsidi berkenaan supaya harga barangan keperluan harian kekal berpatutan.

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

84. Setelah setahun Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara ini, kami terus merencana pelbagai strategi pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Kami telah berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.

PEMERKASA dengan nilai keseluruhan 20 bilion ringgit adalah satu lagi inisiatif Kerajaan Perikatan Nasional untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat, mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan.

85. Kerajaan Perikatan Nasional sebagai Kerajaan yang Prihatin akan sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib rakyat. InsyaAllah, amanah ini akan sentiasa kami pikul dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas, demi rakyat dan negara.

86. Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan pengorbanan seluruh petugas barisan hadapan dan penjawat awam yang sekian lama berdiri teguh dan setia sebagai tunjang pentadbiran Kerajaan. Saya juga menyanjung tinggi peranan sektor korporat, NGO dan para sukarelawan yang turut menyumbang kepada bantuan kewangan dan bantuan sosial kepada rakyat.

87. Saya juga ingin menyeru saudara dan saudari supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera. Jangan bertangguh, terus daftar sekarang. Lebih cepat kita mendaftar dan mendapat vaksin, lebih cepatlah kita dapat menikmati kembali kehidupan yang normal.

88. Lindung diri, lindung semua. Insha-Allah, kita terus berikhtiar dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Faiza 'azamta fa tawakkal 'ala Llah.

Teguh Kita, Menang Bersama.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

BERNAMA ONLINE

Monday, 15 February 2021

SEGERAKAN PEMERKASAAN KURIKULUM PdPR

Langkah lebih proaktif dalam PdPR perlu dilaksanakan segera


ISU keciciran murid sememangnya sudah lama wujud. Ini disebabkan banyak faktor seperti akses pendidikan terhad selain faktor kemiskinan.

Namun, akibat pandemik COVID-19, kadar keciciran murid sekolah semakin meningkat. Perhatian khusus harus diberikan, terutama kepada murid Tahun Satu.

Malaysia mula melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. Selepas itu, sesi pembelajaran bersemuka bertukar kepada mod dalam talian sepenuhnya.

Merujuk kepada manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), ada tiga kaedah PdPR, iaitu secara dalam talian (online), luar talian (offline) atau off-site.

Namun, selepas hampir setahun diguna pakai, masih ada isu berkait yang perlu perhatian KPM. Banyak sekali dibincangkan aspek kualiti dan prestasi pencapaian pelajar melalui kaedah PdPR.

Kasihan murid Tahun Satu pada tahun ini yang baru melangkah ke alam persekolahan. Lebih kasihan kepada murid Tahun Satu tahun depan.

Melihat kepada kenaikan statistik kes COVID-19, dapat dijangka sekolah secara bersemuka masih belum dapat dijalankan. Maka, pelajar ini bergantung sepenuhnya kepada PdPR.

Justeru, KPM harus mencari penyelesaian tuntas agar mereka ini tidak menyumbang kepada kenaikan kadar keciciran pada tahun berikutnya. Langkah lebih proaktif melalui pemerkasaan kurikulum PdPR perlu dilaksanakan segera.

Huraizah Arshad,
Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, 
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 12 February 2021

DORONGAN IBU BAPA BANTU ANAK KUASAI ILMU BAHARU

Gambar hiasan

Ketika khusyuk menyelesaikan tugas pejabat, anak saya berusia setahun 10 bulan menghampiri. Kehadirannya kali ini sedikit berbeza kerana bukan untuk 'mengacau' seperti sebelumnya, tetapi membawa 'mesej.'

Dia tiba-tiba berkata dengan artikulasi pelatnya, 'main seorang-seorang.' Saya tersentak, terus sahaja tinggalkan kerja menggunung dan memeluknya, sebelum mengajaknya bermain bersama-sama.

Pastinya situasi itu bukan terjadi kepada saya sahaja, malah ramai ibu bapa yang bergelut untuk bekerja dari rumah dengan pandemik COVID-19 sudah lebih setahun di negara ini.

Rasa pening dan berbelah bahagi memilih antara desakan tugas daripada majikan dengan melayan kerenah anak sangat dahagakan perhatian. Hendak hantar ke pusat jagaan seperti sebelumnya, kita pula bimbang dengan sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, saya cukup yakin ibu bapa mempunyai daya tahan menghadapi semua ini. Ia adalah untuk memastikan anak tidak rasa terabai, walaupun kita berada di hadapan mata.

Saya terpanggil untuk mengupas teori pembelajaran diutarakan Lev Semenovich Vygotsky yang menekankan mengenai perkembangan daya kognitif kanak-kanak menjelaskan golongan ini membesar berdasarkan empat elemen utama iaitu perhatian, deria, persepsi serta memori.

Vygotsky menekankan sokongan, dorongan dan bantuan perlu diberikan kepada kanak-kanak dalam melakukan sesuatu perkara. Walaupun kita lihat anak hanya bermain dan tidak memikirkan masalah seperti kita, sebenarnya mereka memerlukan tokoh lain untuk menyokong apa sahaja yang mereka lakukan. Semestinya tokoh itu ialah kita sebagai individu paling rapat dengan mereka.

Sebenarnya, perkara itu bukan sahaja untuk masa bermain. Menariknya, apabila kanak-kanak mendapat sokongan orang dewasa atau ibu bapa, mereka akan melalui beberapa fasa dikenali zon perkembangan proksimal.

Dalam zon itu, kanak-kanak akan mengalami tiga proses, iaitu bimbingan, intersubjektiviti dan konstruktivisme.

Semua itu melihatkan bagaimana sokongan dan dorongan ibu bapa boleh melonjakkan kemampuan pemikiran kanak-kanak daripada tahap rendah kepada sesuatu sangat mengujakan.

Sebagai contoh, apabila ibu bapa menyertai anak membina replika robot menggunakan bongkah atau lego, kita perlu selalu memberi kata pujian dan semangat. Apabila anak berasa selalu dipuji, disokong dan diberi galakan, semangat mereka akan melonjak dan mahu membuat lebih daripada sedia ada.

Tidak mustahil sekiranya anak kita akan menjadikan aktiviti terbabit sebagai dorongan untuk menjadi jurutera suatu masa nanti dan menghasilkan robot sebenar. Ini semua hasil dorongan ibu bapa memberikan imaginasi ketika kanak-kanak.

Walau sibuk bekerja, carilah sedikit masa bersama anak supaya mereka rasa dihargai. Bantulah anak untuk memperoleh pengalaman sangat mengujakan ketika mereka meniti zon perkembangan proksimal ini.

Mohd Norazizi Samsudain
Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan, 
UNITAR International University
BERITA HARIAN ONLINE