Friday, 12 February 2021

DORONGAN IBU BAPA BANTU ANAK KUASAI ILMU BAHARU

Gambar hiasan

Ketika khusyuk menyelesaikan tugas pejabat, anak saya berusia setahun 10 bulan menghampiri. Kehadirannya kali ini sedikit berbeza kerana bukan untuk 'mengacau' seperti sebelumnya, tetapi membawa 'mesej.'

Dia tiba-tiba berkata dengan artikulasi pelatnya, 'main seorang-seorang.' Saya tersentak, terus sahaja tinggalkan kerja menggunung dan memeluknya, sebelum mengajaknya bermain bersama-sama.

Pastinya situasi itu bukan terjadi kepada saya sahaja, malah ramai ibu bapa yang bergelut untuk bekerja dari rumah dengan pandemik COVID-19 sudah lebih setahun di negara ini.

Rasa pening dan berbelah bahagi memilih antara desakan tugas daripada majikan dengan melayan kerenah anak sangat dahagakan perhatian. Hendak hantar ke pusat jagaan seperti sebelumnya, kita pula bimbang dengan sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, saya cukup yakin ibu bapa mempunyai daya tahan menghadapi semua ini. Ia adalah untuk memastikan anak tidak rasa terabai, walaupun kita berada di hadapan mata.

Saya terpanggil untuk mengupas teori pembelajaran diutarakan Lev Semenovich Vygotsky yang menekankan mengenai perkembangan daya kognitif kanak-kanak menjelaskan golongan ini membesar berdasarkan empat elemen utama iaitu perhatian, deria, persepsi serta memori.

Vygotsky menekankan sokongan, dorongan dan bantuan perlu diberikan kepada kanak-kanak dalam melakukan sesuatu perkara. Walaupun kita lihat anak hanya bermain dan tidak memikirkan masalah seperti kita, sebenarnya mereka memerlukan tokoh lain untuk menyokong apa sahaja yang mereka lakukan. Semestinya tokoh itu ialah kita sebagai individu paling rapat dengan mereka.

Sebenarnya, perkara itu bukan sahaja untuk masa bermain. Menariknya, apabila kanak-kanak mendapat sokongan orang dewasa atau ibu bapa, mereka akan melalui beberapa fasa dikenali zon perkembangan proksimal.

Dalam zon itu, kanak-kanak akan mengalami tiga proses, iaitu bimbingan, intersubjektiviti dan konstruktivisme.

Semua itu melihatkan bagaimana sokongan dan dorongan ibu bapa boleh melonjakkan kemampuan pemikiran kanak-kanak daripada tahap rendah kepada sesuatu sangat mengujakan.

Sebagai contoh, apabila ibu bapa menyertai anak membina replika robot menggunakan bongkah atau lego, kita perlu selalu memberi kata pujian dan semangat. Apabila anak berasa selalu dipuji, disokong dan diberi galakan, semangat mereka akan melonjak dan mahu membuat lebih daripada sedia ada.

Tidak mustahil sekiranya anak kita akan menjadikan aktiviti terbabit sebagai dorongan untuk menjadi jurutera suatu masa nanti dan menghasilkan robot sebenar. Ini semua hasil dorongan ibu bapa memberikan imaginasi ketika kanak-kanak.

Walau sibuk bekerja, carilah sedikit masa bersama anak supaya mereka rasa dihargai. Bantulah anak untuk memperoleh pengalaman sangat mengujakan ketika mereka meniti zon perkembangan proksimal ini.

Mohd Norazizi Samsudain
Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan, 
UNITAR International University
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment