Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi
Jidin, menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech, hari ini.
PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, bersama empat guru menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, di sini, hari ini.
Radzi ketika ditemui pemberita selepas menerima vaksin itu berkata, empat individu terbabit adalah antara 55,539 guru berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 yang tersenarai menerima suntikan dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Beliau sekali gus meminta rakyat Malaysia, termasuk lebih 500,000 guru di seluruh negara, agar segera mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.
"Ketika disuntik (vaksin), tidak rasa apa-apa. Alhamdulillah, semuanya baik.
"Semua rakyat Malaysia perlu mengambil ruang ini untuk mendaftar segera melalui MySejahtera supaya proses vaksinasi dapat berjalan lancar," katanya.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula Isnin ini, justeru suntikan vaksin itu bertujuan membantu keadaan selamat dan selesa bagi pelajar serta guru di seluruh negara.
Katanya, Kementerian Pendidikan juga akan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, dipatuhi di sekolah seluruh negara supaya pembelajaran dapat berlangsung dalam keadaan selamat dan lancar.
Ditanya sama ada kehadiran bersemuka itu diwajibkan, beliau berkata, ibu bapa harus menulis surat kepada pihak sekolah berserta dokumen sokongan untuk rekod jika tidak dapat menghantar anak ke sekolah atas sebab tertentu seperti kesihatan.
"Kementerian akan sedaya upaya memastikan sesi persekolahan yang bermula Isnin ini, berjalan dengan selamat dan menjadi satu ruang untuk anak-anak kembali belajar secara bersemuka," katanya.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment