Kuala Lumpur: Ibu bapa dan pelajar di luar bandar antara yang paling teruja menunggu siaran saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM yang bermula esok.
Mereka berharap dengan inisiatif diambil KPM itu, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, berbanding secara dalam talian yang sering terganggu disebabkan liputan internet yang lemah.
Di Sik, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir, Nurul Ain' Muhamad Nazri, 12, mengakui sangat teruja apabila mengetahui DidikTV KPM akan mula bersiaran, esok.
"Capaian internet di rumah saya kurang memuaskan untuk belajar secara maya. Saya juga kurang selesa belajar kerana saiz telefon saya kecil. Jadi, apabila ada DidikTV, saya lebih senang dan yakin akan lebih puas belajar sebab layar televisyen lebih besar.
"Kami murid di luar bandar pasti akan mendapat manfaat dengan saluran khusus diperkenalkan KPM ini dan tak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada internet," kata anak keempat daripada lima beradik ini.
Jumaat lalu, KPM mengumumkan akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari.
Majlis pelancaran saluran yang bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari itu, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada jam 8 pagi hari pertama siaran.
KPM memaklumkan, saluran DidikTV itu juga satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakai di Kuala Ketil, Baling, Habibah Md Tanziri, 33, juga mengakui inisiatif KPM itu akan memberi banyak manfaat dan dimensi baharu untuk pelajar mengikuti PdPR.
Katanya, sebagai pendidik di kawasan luar bandar, beliau melihat sendiri cabaran dihadapi pelajarnya disebabkan capaian internet yang perlahan.
"Sebelum ini, jika saya kongsi video tutorial, proses untuk memuat naik atau memuat turun video sangat lambat kerana masalah internet. Sekarang dengan DidikTV, pelajar akan lebih mudah untuk belajar tanpa gangguan.
"Sekiranya pelajar kurang faham subjek yang diajar menerusi tontonan TV, pasti guru akan lebih mudah memberi penerangan lanjut kerana kami juga melihat dan mendengar perkara yang sama di televisyen," katanya.
Bagi Tan Guang Cheong, 56, beliau sangat gembira apabila kerajaan memperkenalkan saluran khusus berkenaan selepas hampir setahun anaknya terpaksa belajar di rumah.
"Sekiranya anak dapat belajar menerusi televisyen, kami ibu bapa juga dapat duduk sekali untuk menghayati apa yang guru ajar, sama seperti belajar secara bersemuka. Anak akan lebih memberi tumpuan berbanding PdPR dalam talian.
"Apa yang saya lihat, apabila belajar dalam talian, anak kurang serius kerana tidak dipantau sepenuhnya, saya dan isteri pun bekerja. Apabila ada DidikTV, saya yakin anak akan lebih mudah faham setiap subjek yang diajar," katanya yang tinggal di Jitra.
Di Gua Musang, ibu bapa kepada murid Orang Asli di lapan sekolah pedalaman daerah ini menyambut baik usaha KPM yang diyakini memudahkan semua pelajar mengikuti pengajian lebih berkesan sepanjang sekolah ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lapan sekolah di perkampungan Orang Asli di Gua Musang adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Bihai, Tohoi, Pasik, Pasir Linggi, Hendrop, Pos Brooke dan Pulat.
Penghulu Orang Asli Pos Tuel, Halim Shariff mengakui murid Orang Asli di pedalaman sukar belajar dalam talian kerana capaian internet yang lemah, malah ada sesetengah kampung masyarakat itu langsung tiada liputan internet dan rata-rata penduduk tiada telefon pintar.
"Kami harap dengan adanya DidikTV, ia akan membawa perubahan dalam dunia pendidikan dan boleh ikuti di rumah," katanya.
Kamal Rami, 52, dari Pos Brooke, berkata beliau mahu melihat anak-anaknya belajar dalam keadaan sempurna, sekali gus melihat DidikTV sebagai langkah yang bijak demi memastikan tiada jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar .
Di Johor Bahru, pekerja swasta, R Chitra, 42, berharap DidikTV dapat memenuhi silibus pembelajaran takwim terbaru pelajar, selain mampu menarik minat pelajar mengikuti pembelajaran.
"Pembelajaran secara visual lebih digemari anak, teknik penyampaian perlu menarik perhatian supaya pelajar kekal di hadapan televisyen serta memahami subjek. Dalam keadaan semasa, saya yakin DidikTV boleh membantu dan menyokong kaedah PdPR.
"Ia dijangka mampu menyelesaikan 70 peratus masalah capaian internet yang digunakan dalam PdPR kerana semua rumah mempunyai siaran televisyen berbanding capaian internet," katanya.
Dua anaknya, P Sacheen, 11, dan P Rovan, 9, juga berharap DidikTV dapat memberi kefahaman lebih mendalam mengenai sesuatu subjek kerana pembelajaran di televisyen lebih mudah dan menyeronokkan.
"Kalau guna telefon, skrin agak kecil dan capaian internet perlahan. Mungkin pembelajaran di televisyen berbeza, menarik dan lebih selesa. DidikTV antara pilihan yang perlu ada bagi menyokong PdPR, selain latihan," kata mereka.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment