Sunday, 14 February 2021

'PAKCIK' RADZI NASIHAT CALON TENANG JAWAB SOALAN SPM

Radzi berharap calon SPM lakukan yang terbaik bagi menghadapi peperiksaan.

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Radzi Jidin berharap calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya sentiasa tenang dan terus berusaha untuk menjawab yang terbaik dalam setiap subjek diambil.

Menteri Kanan (Pendidikan) itu berkongsi rasa calon SPM kali ini berdepan dugaan besar dalam menghadapi peperiksaan berikutan kekangan akibat pandemik COVID-19 yang menyaksikan sesi persekolahan terpaksa dilanjutkan sehingga tahun ini.

Sambil membahasakan dirinya sebagai 'pakcik', Radzi mahu calon peperiksaan menjadikan kisahnya sebagai 'budak kampung' yang berupaya belajar ke luar negara dan berjaya dalam pelajaran sebagai inspirasi untuk menghadapi peperiksaan.

"Kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan SPM, pakcik amat memahami pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi sepanjang tempoh setahun lalu.

"Lakukanlah yang terbaik dalam ruang lingkup kekangan yang ada. Selebihnya sama-sama kita berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa.

"Apabila tiba hari peperiksaan untuk sesuatu kertas, maka tamatlah tempoh kita berusaha. Ketika itu, tenangkanlah perasaan kerana ruang untuk kita berusaha sebelum peperiksaan telah selesai.

"Ruang seterusnya untuk berusaha ialah sewaktu menjawab peperiksaan. Ikhtiarlah yang terbaik semasa menjawab soalan. Selesai menjawab, maka selesailah ikhtiar kita untuk mata pelajaran itu. Selebihnya kita berserah dan bertawakal.

"Begitulah rutin untuk mata pelajaran berikutnya. Apa yang penting, ketika berusaha dan berikhtiar itu, kita mestilah sentiasa tenang," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada November tahun lalu, Kementerian Pendidikan meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada 22 Februari ini.

Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak ke 8 Mac 2021.

Seramai 400,445 calon mendaftar untuk SPM tahun ini, manakala bagi SVM, 14,492 calon semester dua dan 8,371 calon di semester empat.

Radzi berkata, kementerian akan terus berusaha memastikan peperiksaan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

"Pakcik anak kampung, membesar di kampung, merantau mencari ilmu dan diamanahkan membangunkan pendidikan generasi pewaris negara. Pak Cik tidak sempurna, tapi yakinlah anak-anak, kami di KPM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik," katanya.

Katanya, kementerian akan lancarkan saluran khusus TV Pendidikan pada Rabu ini serta menambah slot untuk pelajar yang bakal menduduki SPM mengikuti kelas yang diajar guru berpengalaman.

Radzi turut berkongsi kisah hidupnya sebagai anak kampung kelahiran Ketereh, Kelantan yang terpaksa berjauhan dengan keluarga serta merantau ke luar negara untuk menyempurnakan pendidikannya.

Malah, katanya beliau tidak dapat berada di sisi ayahnya yang meninggalkan dunia, namun pasrah dengan ketentuan itu yang menguatkan lagi semangatnya untuk menimba ilmu serta menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.

"Aku akan sentiasa ingat pesan arwah abah, 3B!". Inilah azimat yang dipegang siang dan malam. Alhamdulillah, budak kampung ini mendapat keputusan yang baik pada semester dua.

"Tanpa dijangka, budak ini mendapat surat daripada pihak universiti. Budak ini terpilih menerima anugerah sebagai salah seorang daripada tiga orang pelajar antarabangsa terbaik di dalam fakulti beliau.

"Ini adalah sebahagian daripada coretan perantauan budak kampung yang lahir daripada sistem pendidikan kebangsaan. Budak kampung ini bukanlah ingin bercerita mengenai kejayaannya.

"Ini menceritakan setiap daripada kita melalui halangan, cabaran dan dugaan berbeza. Apa yang penting, kita terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik.," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment