Monday 22 February 2021

GURU BERISIKO TINGGI AKAN DIUTAMAKAN TERIMA VAKSIN COVID-19 - MUSLIMIN

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya (dua, kanan) merangkap Ahli Parlimen Sungai Besar beramah mesra bersama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pua Chiao Xuan, (tiga, kanan) dan Pua Won Hui, (kanan) di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan, Sekinchan, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya, berkata KPM sedang berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya guru dipertimbang sebagai penerima vaksin fasa pertama memandangkan sesi persekolahan akan bermula Mac ini.

"Sekiranya permohonan ini diluluskan, kementerian akan memberi keutamaan kepada guru-guru yang berisiko tinggi untuk mendapat suntikan vaksin itu," katanya kepada pemberita selepas tinjauan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata pihaknya menerima banyak permohonan daripada pihak yang mahu mereka dipertimbang sebagai penerima vaksin fasa pertama termasuk golongan pendidik.


Permohonan berkenaan katanya dilihat munasabah memandangkan sekolah akan dibuka semula pada Mac ini.

Bagaimanapun Khairy yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata pihaknya berdepan kekangan kerana bekalan vaksin bagi fasa pertama hanya berjumlah kira-kira satu juta dos dengan sebahagian pendaftaran membabitkan 500,000 barisan hadapan dalam sektor kesihatan dan bukan kesihatan.

Oleh itu, Khairy meminta supaya KPM menyenaraikan guru-guru berisiko tinggi supaya mereka menerima vaksin menjelang pembukaan sekolah Mac ini.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment