Wednesday, 17 February 2021

DidikTV KPM PELENGKAP PdPR


KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV KPM yang mula bersiaran hari ini, mampu mengatasi banyak isu dalam proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Antara lain, inisiatif berkenaan akan dapat membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan miskin yang berdepan masalah mengikuti PdPR kerana tiada gajet atau masalah capaian internet.

Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli juga percaya, DidikTV bakal merapatkan jurang di antara pelajar di bandar dan luar bandar, selain menjadi pelengkap kepada PdPR.

"Saluran TV pendidikan memang ditunggu-tunggu ibu bapa dan guru kerana ia boleh meliputi seluruh negara, membantu mengatasi isu pelajar keciciran atau ketinggalan ketika tempoh pandemik kerana faktor gajet dan internet.

"Kandungannya biasanya menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), bermakna KPM dapat memastikan kurikulum pelajar di seluruh negara dalam tempoh pandemik ini adalah selaras.

"Saluran itu juga menggunakan guru cemerlang dan mahir menggunakan kaedah pengajaran yang boleh diterima semua, sekali gus memastikan standard pengajaran yang sama di seluruh negara.

"Melalui TV Pendidikan, konsep kesamarataan dalan pendidikan dapat diterjemahkan dan tiada jurang yang terlalu besar antara golongan bandar dan luar bandar," katanya ketika dihubungi BH.


Abdul Rahim berkata, kebiasaannya, kandungan TV Pendidikan adalah sama dengan sukatan pelajaran yang diajar di sekolah, sekali gus membantu murid untuk lebih faham apa yang diajar guru dalam PdPR.

"Jika sesi persekolahan secara bersemuka kembali pada masa depan, guru boleh terus menyambung daripada apa yang dipelajari melalui PdPR dan DidikTV KPM kerana kandungannya selaras DSKP dan buku teks," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik, berkata pihaknya turut menyokong penuh usaha KPM memperkenalkan saluran DidikTV dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk murid di seluruh negara.

"Tepat pada masanya, saluran TV pendidikan seperti ini diperlukan demi membantu murid seluruh negara mendapat akses pembelajaran melalui televisyen di rumah ketika wabak COVID-19 melanda seluruh dunia.

"Mengikuti pendidikan secara dalam talian memang bagus, tetapi terdapat kekangan dalam kalangan sesetengah murid dan keluarga yang tidak mampu menyediakan peranti. Pada masa sama, ada beberapa kawasan alami liputan internet tidak stabil, malah ada langsung tiada internet," katanya.

Beliau berkata, DidikTV memudahkan pengajaran kerana rata-rata setiap keluarga memiliki televisyen dan mudah mendapat capaian siaran.

Jasni berharap ibu bapa dapat membimbing anak-anak mereka mengikut penjadualan yang bakal disediakan DidikTV dan apabila sesi persekolahan dibuka semula kelak, guru masih boleh menjadikan DidikTV sebagai nilai tambah kepada PdP di kelas.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bangsar, Mohd Yazid Mohd Yasin, yakin DidikTV akan memberi banyak manfaat kepada pelajar.

Sambil menyambut baik inisiatif KPM itu, beliau berharap saluran berkenaan akan membantu mengatasi isu pembelajaran dalam talian dihadapi sesetengah pelajar, ibu bapa dan guru.


"Yang penting, kandungannya perlu menjurus pada silibus KPM. Ini memang harapan ibu bapa kerana jika pengisian hanya bersifat pengetahuan umum, ia tidak memberi impak mendalam. DidikTV akan melengkapkan pendidikan pelajar dalam tempoh pandemik ini," katanya.

Bagi Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Nazri Ahmad, DidikTV ditunggu-tunggu ibu bapa yang berdepan kekangan kos untuk membeli data internet dan gajet kepada anak-anak untuk mengikuti PdPR.

Katanya, ramai pelajar, sama ada di bandar atau luar bandar, ketinggalan pelajaran apabila terpaksa bergantung pada PdPR dalam talian semata-mata kerana terpaksa berkongsi penggunaan telefon pintar atau peranti lain dengan adik-beradik atau ketika ibu bapa keluar bekerja.

"Saya yakin usaha ini tidak akan menjadi pembaziran dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita kena cuba dulu. Mungkin ia boleh menjadi siaran yang ditunggu-tunggu pelajar seperti zaman dahulu," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment