PENULARAN wabak COVID-19 menjadi saksi masyarakat dunia terpaksa melalui hari membingungkan dengan norma baharu perlu dipatuhi.
Peristiwa tidak pernah dijangka ini memberi kesan besar kepada semua pihak terutama mereka terbabit dalam sektor ekonomi dan pendidikan.
Di negara ini, pelbagai langkah tegas diambil kerajaan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak ini daripada terus menular dan melumpuhkan negara.
Tindakan itu juga penting untuk memastikan survival masyarakat di negara ini untuk meneruskan kelangsungan hidup, selain perlu membiasakan diri dengan norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Institusi pendidikan tidak terlepas daripada tempias penularan wabak COVID-19 hingga sekolah, kolej dan universiti awam (UA) serta swasta terpaksa ditutup bagi mengelak kesan lebih besar.
Walaupun institusi pendidikan ditutup, pendidik tetap perlu meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada semua pelajar tidak kira peringkat sekolah, kolej atau universiti.
Matlamat kerajaan untuk melahirkan generasi cemerlang dan berakhlak tetap perlu diteruskan walaupun ancaman COVID-19 menjejaskan keadaan.
Arahan untuk meneruskan pengajaran dari rumah perlu digalas rapi dan amanah tersebut perlu dilaksanakan dengan baik supaya tidak ada mana-mana pelajar yang tercicir atau ketinggalan dalam pelajaran.
Pelbagai usaha dilakukan semua pihak dalam merealisasikan pembelajaran tanpa bersemuka secara dalam talian dan semestinya pelbagai cabaran terpaksa dihadapi untuk melaksanakannya.
Sebelum penularan wabak COVID-19, institusi pendidikan mengambil langkah sederhana untuk menggalakkan golongan pendidik khususnya di UA dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) untuk memulakan pengajaran menggunakan kaedah dalam talian.
Saranan itu mendapat sambutan baik daripada golongan pendidik namun begitu kaedah pelaksanaan pengajaran secara dalam talian ini memerlukan kreativiti, usaha dan ilmu mencukupi terutama kecekapan menggunakan teknologi canggih, selain pemilihan platform bagi menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Pada peringkat awal, pengajaran dalam talian yang terpaksa dilakukan secara drastik ini, sukar dilaksanakan kerana masyarakat sendiri sudah terbiasa dan selesa menerima serta menyampaikan ilmu melalui kaedah bersemuka.
Keadaan menjadi agak mencabar apabila timbul beberapa permasalahan daripada pihak tertentu seperti kekurangan data untuk melayari internet, kekurangan ilmu dalam melaksanakan kelas dalam talian dan komitmen ibu bapa serta pelajar untuk memastikan proses pembelajaran berjalan baik.
Namun, isu ini tidak mematahkan semangat golongan pendidik daripada terus menyampaikan ilmu bahkan permasalahan ini diambil sebagai cabaran perlu ditangkis daripada terus menjadi penghalang kepada pelaksanaannya.
Kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada orang ramai bahkan turut menyediakan data internet secara percuma kepada setiap rakyat untuk memudahkan tenaga pengajar dan pelajar di seluruh negara.
Azam pendidik sama sekali tidak pernah luntur ini menjadi penguat dan hasilnya kaedah pembelajaran dalam talian berjaya dilaksanakan dengan baik.
Kebanyakan institusi pendidikan menyediakan pelbagai latihan bagi membimbing guru dan pensyarah untuk mengendalikan kelas secara dalam talian. Walaupun pada peringkat awal agak sukar dilakukan, hari ini hampir kesemua tenaga pengajar di negara ini mahir mengendalikan kelas secara maya bahkan ramai berjaya mempertingkatkan kualiti pembelajaran mengikut kreativiti tersendiri.
Benar seperti pepatah Melayu mengatakan di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalannya.
Dr Syaimak Ismail dan Dr Mohamad Zaim Isamail
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment