Saturday, 6 February 2021

SESI SEKOLAH BERSEMUKA CALON SPM, SVM TAMAT SELASA INI

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) di seluruh negara akan berakhir Selasa ini.

Dalam satu pekeliling bertarikh 4 Februari lalu (Khamis), Ketua Pengarah Pelajaran memaklumkan sesi persekolahan ditamatkan lebih awal bagi memberi ruang kepada calon membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula 22 Februari ini.

Surat edaran dalaman itu turut memberitahu murid yang tinggal di asrama dikehendaki untuk terus kekal di sana.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan turut memberitahu, murid di asrama yang ingin menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga dibenarkan pulang sebaik sesi persekolahan tamat Selasa ini (9 Februari).

"Kebenaran ini tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa.

"Bagi murid yang ingin kembali semula ke asrama selepas Tahun Baharu Cina, mereka akan diasingkan selama sepuluh hari di asrama.

"Murid ini juga akan mengambil peperiksaan di bilik khas dalam tempoh berkenaan," katanya.

KPM berkata, bagi murid yang ingin kekal di rumah, mereka dibenarkan menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan berhampiran.

"Ibu bapa atau penjaga murid perlu memaklumkan perkara ini kepada pihak sekolah selewat-lewatnya Selasa ini.

"Ini bagi memastikan urusan peperiksaan murid dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.

Bulan lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020 dan 2021 dibenarkan mengikuti pembelajaran secara bersemuka, di sekolah dalam kawasan dikenakan PKP yang bermula pada 20 Januari lalu.

Mereka yang perlu ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran bersemuka ialah calon peperiksaan SPM, SVM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

Turut tersenarai, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment