DidikTV KPM memberi manfaat kepada golongan pelajar tanpa mengira di mana mereka berada.
Kuala Lumpur: Dari satu sisi, saluran DidikTV KPM dilihat sebagai medium proaktif menghimpunkan guru berbakat dalam berkongsi idea, ilmu, pengajaran serta pengetahuan dalam suasana norma baharu kepada pelajar.
Dalam masa singkat, tugas guru tidak lagi terhad kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka, tetapi bercambah kepada mendidik secara dalam talian dan rakaman untuk siaran DidikTV KPM.
Di Johor Bahru, Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Me'didik), Mohd Ridhwan Othman, berkata bukan mudah mendapat dan mengumpulkan guru berpengalaman serta berkemahiran dalam teknik pengajaran.
Katanya, guru bukan personaliti televisyen yang petah mengacara atau bercakap di hadapan ribuan penonton, namun mereka tetap cuba menyampaikan ilmu dalam cara yang mudah difahami murid.
"Kami yakin DidikTV KPM memberi manfaat kepada golongan pelajar tanpa mengira di mana mereka berada.
"Mutu rancangan boleh ditambah baik ke arah menepati aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memberi pengisian terbaik buat murid," katanya yang juga guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari Kampung Melayu, di sini.
Di ibu negara, ibu kepada tujuh anak, Mona Sudirman, 37, berkata sebelum ini masanya banyak diperuntukkan untuk memantau pembelajaran anak bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.
"Hampir setiap hari dari pagi ke malam saya memeriksa telefon kerana bimbang anak terlepas tugasan kelas.
"Apabila ada DidikTV KPM, saya lega kerana anak tidak perlu berebut menggunakan gajet dan boleh belajar di hadapan televisyen," katanya.
Ramli Mahidin, 55, berkata dua anaknya kerap terlepas kelas dalam talian kerana capaian internet di kawasan rumah yang kurang memuaskan.
"Dengan adanya DidikTV KPM, mereka boleh mengikuti mata pelajaran dengan selesa dan saya atau isteri tak perlu risau, walaupun kami keluar bekerja," katanya yang juga seorang penjawat awam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Nur Maisara Balqis Mohd, 17, bersyukur kerana pengisian rancangan SPM Road to Success di DidikTV KPM memenuhi keperluannya.
"Formatnya mudah difahami dan saya dapat mengutip apa yang tertinggal selama ini sebagai ulang kaji akhir, memang amat memanfaatkan," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment