Monday 1 February 2021

SK PAYA BUNGOR EDAR MODUL KEPADA PELAJAR ORANG ASLI

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor, Kuantan (kiri) membuka bonet kereta ketika mengedarkan modul pembelajaran kepada pelajar Orang Asli Semoq Beri di Kilometer 56 Jalan Kuantan-Maran dan Kampung Gedung Siam

KUALA LUMPUR: Menyedari pentingnya semua pelajar mendapat akses kepada pendidikan mendorong pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor, di Kuantan, menyediakan modul pembelajaran bagi pelajar Orang Asli yang tidak mempunyai liputan internet.

Modul membabitkan lima subjek iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Agama Islam, dihantar sendiri guru SK Paya Bungor ke perkampungan Orang Asli Semoq Beri di Kilometer 56 Jalan Kuantan-Maran dan Kampung Gedung Siam, di sini.

Sejak dimulakan, inisiatif itu memanfaatkan hampir 100 pelajar Orang Asli di peringkat prasekolah serta Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah berkenaan.

Guru SK Paya Bungor, Noor Syazuan Zulkifli, 36, berkata kaedah pemberian modul itu lebih berkesan dalam memastikan tiada pelajar di pedalaman tercicir daripada mengikuti Pengajian dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya disebabkan capaian internet tidak stabil.

Selain edaran modul, katanya, pelajar juga diberi lembaran kerja untuk membuat latihan dan perlu dipulangkan melalui bakul disediakan di sekolah bagi memudahkannya disemak oleh guru.

Sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), modul disediakan akan diletakkan di dalam bonet kereta guru dan diambil secara bergilir-gilir oleh ibu bapa atau pelajar.


"Usaha ini juga mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) yang akan menghebahkan kedatangan guru ke perkampungan berkenaan.

"Disebabkan sambutan baik terhadap inisiatif ini, pengurusan SK Paya Bungor berhasrat memperluaskan edaran modul dan lembaran kerja ke kampung lain yang berdepan masalah capaian internet.

"Edaran ini akan dilakukan dengan ketat mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu, ibu pelajar, Sainon Li, mengucapkan terima kasih atas inisiatif SK Paya Bungor menghantar sendiri modul dan lembaran kerja ke perkampungan itu bagi memastikan tiada pelajar ketinggalan dalam mengikuti PdPR.

Ibu kepada dua anak yang menuntut di SK Paya Bungor itu berkata, capaian internet di Kampung KM56 Jalan Kuantan-Maran tidak menentu, sekali gus menyukarkan pelajar menumpukan kepada PdPR dalam talian.

"Sebagai ibu tentulah saya mengambil berat hal pembelajaran anak-anak tetapi jarak sekolah dan kampung yang jauh menyukarkan kami ke sekolah untuk mengambil modul pembelajaran, tambahan lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Justeru, kesanggupan guru memandu sendiri ke kampung ini bagi membantu pelajar adalah suatu usaha yang perlu dipuji," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment