Sunday, 14 February 2021

GURU MUDA PERLU BANTU, BUKAN AMBIL ALIH TUGASAN PdPR GURU SENIOR

Siti Nur Alisha Dania Mohd Rashdan, 12, pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5 (1) mengikuti hari pertama kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada 20 Januari lalu. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Guru muda yang lebih terdedah kepada teknologi komunikasi maklumat terkini perlu memainkan peranan membantu rakan sekerja lebih berusia yang mungkin kurang mahir sehingga berdepan masalah mengendalikan pembelajaran secara dalam talian yang dilaksanakan ketika ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata bantuan dan sokongan guru muda amat diperlukan untuk menurunkan ilmu penggunaan teknologi maklumat (ICT) yang asas kepada tenaga pendidik kurang mahir, majoritinya yang berusia 50-an dan bakal bersara beberapa tahun lagi.

Bagaimanapun, katanya, sokongan guru muda dalam membantu penyediaan bahan mengajar dalam talian bagi program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mestilah mengikut etika kerja yang betul.

"Ini bukan bermaksud mereka (guru muda) disuruh menyiapkan tugasan sepenuhnya tetapi mengajar kemahiran asas untuk memudahkan proses menyediakan kandungan pembelajaran dalam talian.

"Pembelajaran secara dalam talian ini adalah perkara baharu, jadi guru lama akan hadapi masalah untuk menggunakan pelbagai aplikasi canggih berbanding guru muda yang membesar dengan kemudahan teknologi," katanya kepada BH.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang

Namun demikian, Aminuddin berkata, setakat ini NUTP tidak menerima sebarang aduan daripada guru muda yang mendakwa terpaksa menyiapkan tugas PdPR bagi warga pendidik senior.

"Sekiranya ada, ia berkemungkinan masalah dalaman di pihak sekolah berkaitan cara pengendalian," katanya.

Beliau mengulas keluhan guru muda di laman sosial antaranya menerusi kumpulan tertutup di Facebook 'Kami Guru Malaysia' berikutan ada yang mendakwa terpaksa menyiapkan modul PdPR rakan sekerja, khususnya dalam kalangan guru senior.

Sehubungan itu, Aminuddin berkata, NUTP menyarankan guru menghasilkan kandungan PdPR mengikut ruang lingkup kemahiran dan kemampuan mereka sahaja.

"Jika ada yang cuba hasilkan kandungan terlalu canggih, ini yang akan menyusahkan bukan sahaja di pihak guru tetapi perlu difikirkan bagaimana ibu bapa dan murid terutama di peringkat sekolah rendah untuk mengikutinya," katanya.

Beliau turut menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan latihan khusus untuk guru sebaik sekolah dibuka nanti bagi memastikan mereka lebih bersedia dan mampu menguasai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat.

Guru-guru tidak mendapat latihan formal (berkaitan teknologi maklumat) daripada KPM. Jadi kementerian perlu sediakan latihan tambahan kepada mereka kerana kemahiran ini sudah menjadi elemen penting dalam sistem pendidikan negara.

Bagaimanapun, pelancaran saluran khusus TV Pendidikan yang bersiaran dari 7 pagi hingga 12 tengah malam mungkin dapat meredakan sedikit pelbagai masalah dihadapi guru berikutan mereka tidak perlu lagi melaksanakan 100 peratus proses PdPR tanpa bantuan luar.

"Saya menjangkakan saluran TV Pendidikan ini akan menyediakan kandungan yang lebih menyeluruh dan mampu membantu pendidik, terutama yang kurang berkemahiran dalam aspek teknologi terkini," katanya.

Aminuddin berkata, penguasaan kemahiran teknologi di pihak guru bukan isu besar, sebaliknya kerajaan disaran mengambil tindakan serius bagi membantu ibu bapa dan murid yang terus berdepan kekangan terutama capaian internet yang terhad dan ketiadaan peranti untuk menjalani PdPR.

Semalam, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM akan bersiaran mulai 17 Februari ini dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Inisiatif mewujudkan saluran khusus itu adalah usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid di seluruh negara.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment