Friday, 19 February 2021

DidikTV KPM KUKUH PELAKSANAAN PdPR

MAISARAH Sofea bersama adiknya Maira Syamimah menonton DidikTV KPM di rumah mereka di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Inisiatif DidikTV KPM adalah satu anjakan positif dan nilai tambah dalam sistem pendidikan negara, selain berfungsi sebagai platform memperkukuh kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bagi ibu tunggal kepada dua anak bersekolah, Norli Mastura Mohamad Nor, 46, berkata DidikTV KPM adalah antara alternatif terbaik membantu anak lelaki bongsunya, Mohamad Arsyad Razali, 10, yang mempunyai masalah pembelajaran.

"Setiap kali mengikuti kelas dalam talian, dia cepat lupa dan sukar fokus. Dengan DidikTV KPM, tidaklah dia hanya melekat di telefon tetapi boleh mengulang kaji subjek yang tidak dipelajari dengan menonton semula rancangan disiarkan di televisyen," katanya ketika ditemui, semalam.

Kakitangan swasta, Azi Mastura Che Mohd Ayob, 40, yang mempunyai enam orang anak berkata, DidikTV KPM amat melegakan kerana sekurang-kurangnya semua anaknya yang masih menuntut dapat memanfaatkan masa di rumah dengan fokus kepada pembelajaran.

"Sebelum ini mereka mengikuti kelas dalam talian dengan skrin telefon pintar yang kecil dan saya perlu memantau kerana ada yang kurang mahir menggunakan aplikasi dalam talian.


"Apabila ada DidikTV KPM, tiga anak saya yang masih di sekolah rendah dan dua lagi yang menuntut di peringkat menengah tidak perlu menunggu giliran untuk menggunakan telefon pintar, sebaliknya dapat memanfaatkan masa dengan mengikuti pengajian menerusi televisyen," katanya.

Saluran DidikTV KPM yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, turut mendapat reaksi positif pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, S Maharanjeni, 15, yang teruja mengikuti pembelajaran menerusi televisyen.

"Pengalaman belajar di depan televisyen menyeronokkan kerana tidak perlu memerhatikan gajet setiap masa yang memenatkan mata.

"DidikTV KPM tidak membosankan dan saya dapat bahagikan masa kerana ada jadual disediakan bagi subjek yang akan diikuti," katanya.

Bagi golongan pendidik pula, pelancaran DidikTV KPM tepat pada masanya ke arah membudayakan corak pembelajaran dalam norma baharu yang sangat serba mencabar.

Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Kebangsaan Taman Keramat 1, Noraini Mohd Zain, melihat pengisian menerusi Didik TV KPM antara medium terbaik menyokong perkembangan ilmu ke arah lebih meluas dan tidak hanya tertumpu kepada kaedah PdPR yang diselia guru.

"DidikTV KPM berperanan besar dalam memenuhi pelbagai lompong dalam sistem pembelajaran sedia ada.

"Murid dapat mengikutinya pada bila-bila masa, manakala tontonan kandungan di televisyen dilakukan dalam suasana santai berserta pelbagai pengisian yang mendidik.

"Murid bukan hanya melihat guru mengajar, tetapi ada ikon selebriti yang boleh menarik perhatian dan slot didik hibur," katanya.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Petaling Utama, Khairul Anuar Abdul Azid, berkata pelancaran DidikTV KPM melakar sejarah tersendiri dalam pendidikan norma baharu, sekali gus menggambarkan keprihatinan kerajaan bagi memastikan tiada masyarakat yang tercicir.

"Warga pendidik amat menghargai komitmen Kementerian Pendidikan (KPM), lebih-lebih lagi dalam keadaan ia amat diperlukan oleh murid terutama di kawasan mempunyai akses kepada rangkaian televisyen sahaja," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment