Showing posts with label COVID-19. Show all posts
Showing posts with label COVID-19. Show all posts

Thursday, 24 June 2021

GURU MASUK KAMPUNG PEDALAMAN HANTAR BAHAN PdPR


KOTA KINABALU: "Saya bersama guru lain memandu 40 kilometer (km) ke kawasan kampung untuk ke rumah pelajar. Kita juga terangkan kepada ibu bapa jadual untuk setiap mata pelajaran, kerana apabila lama tidak datang sekolah, kadang-kadang pelajar hilang fokus dan peranan ibu bapa penting untuk membantu guru."

Begitulah kesungguhan Anuthra Sirisena, seorang guru yang mahu memastikan anak-anak didiknya tidak ketinggalan dalam pelajaran, apabila pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dilakukan berikutan sekolah terpaksa ditutup, kerana ancaman pandemik COVID-19.

Tindakan Anuthra dan rakan-rakan seperjuangan beliau, adalah antara contoh pengorbanan dan kesungguhan guru-guru di negara ini, dalam memastikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan lancar, walaupun perlu diakui agak sukar untuk dilaksanakan pada mulanya.

Ketika tanggapan umum PdPR adalah kaedah dalam talian, namun apabila kaedah ini tidak berjalan baik atas sebab-sebab tertentu, guru-guru tidak mudah menyerah kalah dan sebaliknya mereka berusaha pula dengan kaedah secara "offline".

Guru-guru ini gigih mencari rumah pelajarnya yang terletak di kampung, bagi menghantar sendiri bahan PdPR dan memberi penerangan.

Anuthra, 40, guru mata pelajaran Kimia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom mencari sendiri lokasi rumah pelajarnya, dengan bertanya kepada penduduk kampung seperti di Kampung Bamban dan Kampung Batu 14, yang terletak 40 km dari Pekan Tenom.

"Kawasan kampung biasanya tiada tanda nama (kampung), jadi kami terpaksa bertanya dengan orang-orang kampung kedudukan rumah keluarga pelajar itu, kerana sebelum ini biasanya ibu bapa yang datang ke sekolah jika ada apa-apa yang berkaitan dengan anak mereka," katanya kepada Bernama.

Anuthra yang telah 16 tahun bertugas di sekolah berkenaan berkata, ketika melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, tiada bas mahupun kenderaan awam masuk ke kampung berkenaan, yang menyukarkan penghantaran bahan PdPR.

Beliau yang gemar makanan tempatan Sabah seperti tuhau dan linopot berkata, beliau juga menghantar bahan PdPR menerusi aplikasi WhatsApp dan walaupun lambat diterima akibat kekangan akses internet, ia sedikit sebanyak membantu dalam usaha pembelajaran pelajarnya.

Guru dari Kuala Lumpur itu berkata, di sebalik pelbagai cabaran dibawa penularan COVID-19 bagi mendidik pelajarnya, beliau bersyukur kerana seramai 13 orang pelajar sekolah itu berjaya mendapat A bagi mata pelajaran Kimia, dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Sementara itu, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort II Ag Alli Ag Omar, 50, berkata, meskipun timbul perasaan takut risiko akan dijangkiti COVID-19 ketika menghantar bahan-bahan PdPR ke rumah pelajar, namun rasa tanggungjawab sebagai pendidik mengatasi semua perasaan itu.

Beliau yang merupakan guru Bahasa Melayu dan guru kelas tingkatan lima berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, memudahkan proses penghantaran bahan PdPR ke rumah pelajar sekolah berkenaan.

"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan hantar modul ke sekolah dan sekolah pula akan cetak (bahan), sebelum diagihkan kepada pelajar dengan bantuan semua guru sekolah dan ibu bapa pelajar," katanya yang telah bergelar guru sejak 1994.

Ag Alli yang berasal dari Membakut, Beaufort berkata, menghantar bahan-bahan PdPR secara manual ke rumah setiap pelajar, adalah pendekatan terbaik bagi membantu keluarga pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyediakan alat peranti kepada anak mereka, selain kekangan liputan internet.

Namun katanya, cabaran utama apabila menggunakan bahan bercetak ialah kelewatan para pelajar menyiapkan kerja-kerja sekolah berkenaan, sehubungan itu pendekatan psikologi perlu digunakan agar pelajar berkenaan lembut hati menyiapkan kerja sekolah.

"Selain itu hubungan baik antara guru-guru dan ibu bapa juga, banyak membantu memudahkan PdPR. Bagi pelajar (beragama Islam) pula sentiasa diingatkan menjaga solat lima waktu, solat hajat dan solat Dhuha," katanya sambil menjelaskan dua orang pelajarnya daripada 36 orang, berjaya mendapat gred A Bahasa Melayu pada SPM 2020.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 12 June 2021

GURU KELAS PEPERIKSAAN DIBERI KEUTAMAAN VAKSIN

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

KUALA LUMPUR: Guru kelas peperiksaan akan diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19 sekiranya situasi pandemik semakin pulih dan terdapat keperluan menghadiri pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata perkara itu sudah dibincangkan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

"Katakanlah kita nak buka sekolah dalam keadaan pandemik ini bertambah baik, kumpulan yang akan ke sekolah dahulu adalah pelajar kelas peperiksaan termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

"Dalam konteks ini selepas berbincang dengan menteri yang menguruskan PICK dan bersetuju supaya guru kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk menerima vaksin," katanya pada program Soal Rakyat Khas bertajuk 'Cabaran SPM Dalam Era Pandemik' yang disiarkan secara langsung hari ini.

BERITA HARIAN ONLINE




Monday, 17 May 2021

PERUBAHAN DUNIA PENDIDIKAN TUNTUT KESEDIAAN, KETERBUKAAN GURU

Era pandemik COVID-19 memerlukan guru bijak manfaat teknologi dalam sampaikan ilmu.

Pandemik COVID-19 mengajar banyak perkara, terutama dalam dunia pendidikan yang turut mengalami perubahan mendesak.

Melihat kembali sepanjang 2020, terdapat ciri pendidik kritikal memberikan implikasi terhadap perubahan dilaksanakan.

Pengetahuan dan kemahiran guru menjadi tunjang keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Namun, dua ciri utama amat perlu ialah kesediaan dan keterbukaan.

Pertama, kesediaan guru. Setiap guru memiliki jiwa pendidik tidak akan mampu membiarkan anak didik mereka melalui masa pandemik tanpa melalui proses PdP.

Penerokaan kepada aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) menjadi kemestian. Andai kata ciri kesediaan untuk meneroka, mencuba dan menggunakan pelbagai aplikasi tidak dimiliki, PdP tidak dapat diteruskan.

Tidak dinafikan masih ada murid menghadapi kekangan melalui proses PdP norma baharu dengan sempurna, namun ia tidak menghalang pendidik melaksanakannya.

Justeru, kita melihat ada guru melakukan pelbagai cara bagi memastikan murid terus belajar, termasuk meredah jalan tidak bertar atau melalui cuaca buruk hanya untuk memastikan bahan pembelajaran tiba kepada mereka.

Guru, pengurusan dan pentadbiran terus mengadakan pertemuan pembelajaran secara maya bagi memastikan proses persekolahan serta pengurusan pendidikan tidak terhenti.

Siapakah pernah menjangkakan penggunaan aplikasi akan menjadi budaya kerja? Pernahkah terfikir kesediaan yang sering menjadi kajian pendidikan, kini ialah kemestian dimiliki guru?

Kesediaan pengetahuan dan kemahiran untuk berubah kepada apa-apa sahaja situasi, amat diperlukan untuk memenuhi keperluan semasa. Apabila ciri kesediaan tertanam, proses pembelajaran kendiri akan menjadi lebih mudah dan pantas.

Guru yang sentiasa bersedia, boleh menimba pengetahuan dan memantapkan kemahiran seiring penggunaan aplikasi bila-bila masa serta menerusi apa jua kaedah. Ini termasuk belajar menerusi rakan sekerja dan internet, hatta dengan anak didik atau ahli keluarga sendiri.

Kedua, keterbukaan guru berkait rapat dengan ciri kesediaan. Sifat terbuka ialah ciri utama sebelum guru bersedia menerima, mempelajari, mencuba dan menggunakan apa jua cara melaksanakan PdP, walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Perkara baharu mungkin sukar awalnya, tetapi ia bukan halangan. Guru terbuka akan melihat segala sesuatu secara positif. Tidak ada perkataan bersifat negatif dapat menghalang mereka melakukan terbaik untuk anak didik.

Ketika akses pembelajaran secara maya tidak dapat sepenuhnya dilalui anak didik, guru akan menggunakan apa jua cara untuk memastikan PdP berlangsung. Mereka menerima kenyataan PdP bukanlah proses dilaksanakan secara bersemuka hingga tiada istilah 'PdP tidak dapat dilaksanakan.'

Pengetahuan guru berkaitan pembelajaran digital ialah sumber utama memastikan pembelajaran diteruskan. Tiada ada sesiapa boleh memastikan tahap kesediaan dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran pada setiap warga guru ketika itu.

Hakikatnya, situasi pandemik memperlihatkan tidak kira setakat mana pengetahuan dan kemahiran guru ketika sesuatu perubahan perlu dilaksanakan, ciri kesediaan dan keterbukaan sangat kritikal dalam memastikan perubahan boleh berlaku.

Perubahan itu dapat dilaksanakan pantas dan lebih berkesan apabila kedua-dua ciri ini dimanfaatkan dalam menimba pengetahuan dan meningkatkan kemahiran diperlukan.

Jika guru sering mengingatkan anak didik mengenai pentingnya untuk terus menuntut ilmu, pendidik juga perlu terus belajar dan mempelajari sesuatu baharu khususnya yang dapat menjadikan mereka sentiasa berkompetensi tinggi.

Inilah antara 10 kualiti tertinggi guru efektif, iaitu mereka sentiasa mempelajari sesuatu baharu setiap hari, di samping sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kompetensi diri seperti dalam buku Reading Horizon tulisan David Clark.

Kita semua terkesan dalam menghadapi waktu sukar. Justeru, kita perlu memahami hasil pembelajaran tercapai mungkin tidak sepenuhnya sama dengan hasil pembelajaran interaksi bersemuka secara fizikal.

Namun, warga pendidik juga sentiasa terbuka dan bersedia secara berterusan untuk berusaha memastikan apa dilakukan adalah terbaik untuk anak didik. Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu. Selamat Hari Guru 2021.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 12 May 2021

IPT LAKSANA PdPR SEPANJANG PKP


PUTRAJAYA: Semua institusi pendidikan tinggi (IPT) kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dikehendaki meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 7 Jun depan.

Kementerian itu menjelaskan, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara semalam.

"Semua aktiviti PdP secara bersemuka tidak dibenarkan kecuali kepada enam kategori pelajar yang berkeperluan.

"Peperiksaan antarabangsa, badan profesional dan aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal di IPT juga dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) IPT berkenaan.

"Pelajar IPT berkeperluan yang pulang sempena cuti Aidilfitri dibenarkan kembali semula ke kampus berdasarkan tarikh dan SOP yang diumumkan dengan menggunakan surat kebenaran pergerakan merentas negeri atau daerah dari IPT masing-masing," kata KPT dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, KPT menegaskan, pergerakan pensyarah atau tenaga pengajar bagi tujuan PdP juga dibenarkan dengan pengesahan daripada KPT atau IPT berkaitan.

"Pelajar diingatkan sentiasa mematuhi SOP atau arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," kata KPT.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 8 May 2021

CUTI SEKTOR PENDIDIKAN DISYOR DILANJUTKAN SEHINGGA HUJUNG BULAN


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan tempoh cuti bagi sektor pendidikan dilanjutkan sehingga hujung bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia antara langkah bagi mengelak sebarang perhimpunan besar-besaran yang berisiko menular luas jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, pelanjutan tempoh cuti itu membolehkan mereka duduk di rumah, sekali gus memutuskan rantaian jangkitan pandemik.

"Untuk sektor pendidikan mungkin akan disyorkan dipanjangkan cuti hingga ke akhir bulan ini supaya mereka duduk di rumah dan boleh putuskan rantaian.3

"Kita juga cadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk elakkan perhimpunan besar-besaran. Kalau tempat ada perhimpunan, kena sekat. Satu kebimbangan KKM kerana akan ada perhimpunan, lawatan sanak-saudara dan sebagainya.

"Kita kena elakkan rentas negeri dan pastikan tiada rentas daerah. Nasihat KKM kepada semua, duduk di rumah kalau tiada urusan penting. Kalau ada urusan penting, patuh prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada sidang media, hari ini.

Menyuarakan kebimbangan jika majlis perhimpunan besar-besar terus dianjurkan, Dr Noor Hisham berkata Malaysia perlu mengambil iktibar apa yang berlaku di India.

Katanya, penularan mendadak kes jangkitan COVID-19 di negara itu mengakibatkan 'tsunami' wabak dan Malaysia perlu mengelak episod berkenaan daripada berlaku di sini.

"Apakah yang boleh kita belajar dan elak tsunami di negara kita. Yang pertama, apabila 7 Mac, pemimpin mereka telah isytiharkan iaitu kawalan pandemik COVID-19 amat baik dan akan tamatkan di India. Jadi, apabila pengumuman itu telah dimaklumkan, ramai rakyat India sudah tidak patuh kepada SOP.

"Maka kelonggaran pun berlaku, perhimpunan pun telah berlaku. Perhimpunan berlaku di pantai, perhimpunan berlaku di upacara keagamaan dan sebagainya termasuk majlis perkahwinan, seterusnya jangkitan berlaku.

"Kedua, mereka adakan pilihan raya negeri dan ini juga satu kempen membabitkan 200,000 tindakan penjarakan fizikal, tiada pemakaian pelitup muka dan jangkitan berlaku.

"Kita kena belajar ambil iktibar di India untuk elakkan pilihan raya seperti kita lihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan sekarang kita bimbang kalau kita tak gunakan ordinan darurat, PRN Sarawak terpaksa diadakan iaitu pada Jun," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 29 April 2021

MANSUR UPSR CABARAN BAHARU IBUBAPA


KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermakna bermula cabaran baharu kepada ibu bapa untuk mempersiapkan murid ke sekolah menengah, khususnya memastikan penguasaan murid dalam empat mata pelajaran teras UPSR.

Ketua Biro Pembangunan dan Penyelidikan Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM), Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar, berkata pemansuhan UPSR adalah wajar supaya murid sekolah rendah tidak lagi dipaksa mengejar jumlah A dalam mata pelajaran.

"Cabaran utama yang akan dilalui ibu bapa susulan pemansuhan ini bukan saja perlu memastikan anak-anak berjaya menyiapkan kerja rumah, bahkan pada pada masa sama menjadi 'guru' di rumah.

"Umum mengetahui bilangan murid di dalam sebuah kelas adalah sekitar 35 hingga 40 orang, yang disebabkan oleh kepadatan penduduk di beberapa kawasan khususnya di bandar raya.

"Ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pemerkasaan penilaian bilik darjah yang dilihat sebagai medium baharu menentukan tahap penguasaan murid di sekolah.

"Justeru, ibu bapa yang mempunyai anak yang masih di bangku sekolah rendah diingatkan supaya tidak terkejut dengan pemansuhan ini dengan menamatkan kelas tuisyen secara drastik," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak ia dibatalkan tahun lalu, manakala pembatalan PT3 mengambil kira tempoh masa yang ada bagi pelajar membuat persediaan, khususnya secara bersemuka bersama guru di sekolah.

Susulan pemansuhan UPSR, Kementerian Pendidikan akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah, selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.

Pembatalan PT3 pula akan digantikan dengan pentaksiran yang sama seperti tahun lalu iaitu melalui PKSK dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Muhamad Huzaimi berkata, kesinambungan pembelajaran murid Tahun 6 di pusat tuisyen masih perlu diteruskan bagi memastikan tahap penguasaan mata pelajaran teras UPSR itu tidak terjejas.

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 25 April 2021

KETATKAN SOP DI SEKOLAH

Rina menyampaikan sumbangan kepada penduduk Tualang Sekah sempena Program Dapur Kita Wanita Perikatan Nasional di Jalan Tanjung Tualang.

BATU GAJAH: Kementerian Pendidikan mempunyai mekanisma sendiri untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) di sekolah, bagi mengekang jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata ibu bapa tidak perlu terlalu gusar kerana agensi kerajaan berusaha memastikan penularan wabak di sekolah dapat dibendung.

"Saya sangat memahami. Sebagai ibu bapa, sudah pasti kita akan merasa bimbang. Sayangkan anak kita dan hendak menjaga keselamatan anak apabila melihat beberapa kluster sekolah, akibat penularan COVID-19 ini.

"Saya yakin kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan akan mengambil SOP yang lebih ketat untuk mengurangkan kebimbangan ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Dapur Kita dan menyampaikan sumbangan barang mentah kepada 25 penduduk Tualang Sekah di Kapal Korek TT5, Jalan Tanjung Tualang.

Rina berkata, sekolah dibuka kerana Kementerian Pendidikan tidak mahu pelajar ketinggalan tetapi pada masa sama, pelaksanaan SOP akan mengurangkan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan mesti mempercepat kajian pemberian vaksin kepada kanak-kanak.

"Saya berharap agar pihak Kementerian Kesihatan juga akan memandang serius mengenai hal ini memandangkan kanak-kanak juga antara mereka yang berisiko.

"Saya menggesa agar vaksin untuk kanak-kanak ini dapat dipercepat kerana sekarang ini vaksin hanya untuk mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas.

"Vaksin kena ada dua-dua. Sebab kanak-kanak juga terdedah dengan COVID-19," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 24 April 2021

PdPR TUNTUT KOMITMEN LUAR BIASA PELAJAR, TENAGA PENGAJAR

PdPR tuntut komitmen luar biasa pelajar.

Negara berkemungkinan berdepan gelombang keempat penularan COVID-19 susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Justeru, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian masih menjadi kaedah terbaik perlu dilaksanakan ketika pandemik belum reda.

Menjadi keperluan kepada tenaga pengajar untuk melengkapkan silibus pembelajaran di sekolah dan universiti masing-masing. Jika negara maju, pelaksanaan pembelajaran dalam talian sudah lama dipraktikkan.

Meskipun berhadapan pelbagai cabaran dalam melaksanakannya, Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tetap komited merencanakan pelbagai kaedah dan strategi agar proses PdPR berjalan sempurna.

Kebolehcapaian internet sudah pasti antara perkara penting berkait kelas dalam talian. Oleh itu, perlu ada usaha mengenal pasti tahap kebolehcapaian internet setiap pelajar untuk membantu tenaga pengajar menentukan kaedah bersesuaian dapat diambil.

Tidak dapat dinafikan pelbagai kekangan timbul, terutama bagi pelajar di kawasan pedalaman yang kurang mendapat liputan rangkaian akses internet. Oleh itu, tenaga pengajar dan pelajar perlu menggunakan platform bersesuaian seperti media sosial supaya dapat berhubung tanpa gangguan.

Ini amat penting bagi mengelakkan pelajar tertinggal sesi pembelajaran, sekali gus berupaya merangsang sistem kognitif pelajar secara berterusan.

Selain itu, pembelajaran kokurikulum universiti antara terjejas dalam melaksanakan aktiviti secara bersemuka. Silibus ini menawarkan pelbagai teras seperti sukan, kebudayaan, uniform, seni, pengurusan, inovasi dan keusahawanan.

Setiap pelajar perlu mendaftar dua kursus kokurikulum berbeza dalam semester berlainan secara dalam talian. Mereka perlu lulus dalam dua kursus berjumlah dua jam kredit untuk membolehkan bergraduat.

Namun, dengan kecanggihan teknologi sedia ada, pembelajaran dan aktiviti kokurikulum berubah secara drastik dengan pengajar perlu turut sama menguasai ilmu teknologi maklumat dalam menangani kekangan masalah pembelajaran.

Kebelakangan ini, pelbagai aktiviti kokurikulum berjaya dilaksanakan universiti seperti program Webinar COVID-19 anjuran Majlis Kokurikulum Awam Malaysia (UniCC) dan Borak Santai Kopi O anjuran Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Program ini terbuka kepada semua penonton menggunakan Facebook sebagai medium agar pelajar mengikut aktiviti kokurikulum terus mendapat maklumat dan memenuhi jam kredit.

Tenaga pengajar melalui teras masing-masing menggunakan kreativiti dalam memberi tugasan kepada pelajar.

Justeru, universiti di negara ini diminta agar terus mengorak langkah dalam memperkukuhkan dan mempelbagaikan kaedah PdPR termasuk aktiviti kokurikulum.

Tiada mustahil jika kita sama-sama berganding bahu memastikan setiap halangan diselesaikan seperti pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Melihat penularan wabak COVID-19 secara positif, ia mencetuskan semangat dan usaha luar biasa bagi warga pendidik dalam memastikan semua pelajar tidak ketinggalan.

Tenaga pengajar berusaha menjadi kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran. Mereka tanpa segan silu berguru menggunakan pelbagai medium termasuk YouTube bagi meningkatkan keupayaan kendiri untuk mendidik pelajar seiring teknologi semasa.

Selari dengan norma baharu, PdPR secara dalam talian memerlukan komitmen dan sokongan tinggi.

Bagi tujuan itu, ibu bapa perlu memahami normal baharu pendidikan, melengkapkan pelajar dengan teknologi seperti komputer riba, telefon dan akses internet agar mereka dapat menghadiri kelas dalam talian tanpa risau.

Usaha luar biasa dan komitmen pelajar tidak berbelah bahagi juga penting dalam pelaksanaan PdPR.

Pembabitan mereka bukan sekadar mendengar syarahan pengajar, bahkan memberikan maklum balas dan menyiapkan tugasan diberikan dengan sempurna.

Sekiranya pelajar tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam aktiviti kokurikulum, ia hanya bertepuk sebelah tangan. Malah, ilmu disampaikan tidak menjadi pengetahuan kepada pelajar.

Tenaga pengajar perlu memberikan khidmat pendidikan terbaik ketika wabak COVID-19 kerana ia memerlukan daya usaha dan tenaga luar biasa semua pihak.

Dr Muhamad Saufi Che Rusuli
Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Malaysia Kelantan

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 17 April 2021

PANDEMIK DIDIK PELAJAR LEBIH CEKAL, KREATIF


Pandemik COVID-19 menyebabkan masyarakat terpaksa hidup dalam norma baharu termasuk mengubah pendidikan terutama pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki peperiksaan hujung tahun lalu.

Bagaimanapun, pelajar terbabit terpaksa mengambil peperiksaan itu awal tahun ini, sekali gus menyebabkan mereka turut digelar sebagai pelajar SPM Pro Max. Gelaran itu diambil daripada jenama telefon pintar.

Namun, ungkapan itu sebenarnya mengandungi seribu satu kisah suka duka terpaksa ditempuhi pelajar hingga menduduki SPM. Antaranya, pembelajaran dalam talian, tiada aktiviti sukan atas padang dan aktiviti kokurikulum tidak lagi dilakukan secara bersemuka.

Mereka juga terjejas apabila terpaksa melalui sesi pembelajaran dalam talian yang tentu kurang berkesan berbanding sesi konvensional seperti diakui pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Maluri, Musa Harith Al-Attas Syed Ahmad Zaki.

Baginya, masalah pencapaian jalur lebar atau internet dan kekurangan kelengkapan untuk belajar menjadi penghalang untuk memperoleh ilmu secara lancar.

Natijahnya, ilmu disampaikan tidak mampu diterima secara baik dan proses pelajaran dan pembelajaran (PDP) kurang lancar.

Sementara itu, pelajar SMK Seri Tangkak, Nur Aryn Sofeaa M Nor, sebahagian pelajar menghadapi tekanan untuk memahami pelajaran atau topik kerana terpaksa mengikuti pendidikan sendirian berbanding sebelumnya sering mengadakan kumpulan belajar.

Namun, ia tidak boleh dijadikan batu penghalang untuk melakar kejayaan dan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Sedar atau tidak mereka memiliki pengalaman pembelajaran dalam talian lebih awal daripada mahasiswa di universiti.

Pelajar terbabit turut dilatih mencari bahan rujukan tambahan dan merancang waktu belajar mengikut kesesuaian masa mereka.

Hal ini membentuk dan mendidik jiwa mereka lebih berdisiplin serta bijak menguruskan masa. Ini menjadikan mereka lebih siap siaga sebelum melangkah ke alam universiti jauh lebih mencabar dan lebih memerlukan usaha berlipat ganda.

Betapa hebatnya generasi pelajar yang mengambil SPM ini kerana sesi pembelajaran berbanding pelajar yang menduduki peperiksaan itu pada tahun sebelumnya. Anda ialah pelajar terhebat dan teruskanlah usaha mencipta serta melakar pelbagai kejayaan.

Anda bukan generasi kurang menikmati tempoh persekolahan, tetapi sentiasa bersiap siaga dan menyiapkan selangkah lebih dekat ke universiti.

Justeru, teruskan langkah ke menara gading, peluang diberikan kepada anda tetap sama seperti pelajar sebelum ini. Namun, anda jauh lebih hebat kerana mempunyai pengalaman pembelajaran luar biasa dan mungkin tidak mampu dilalui orang sebelum ini.

Pelbagai universiti awam dan swasta, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan martrikulasi tersedia untuk anda menyambung pendidikan.

Walaupun pengalaman pembelajaran dilalui berbeza, jalan terhadap visi dan misi kejayaan tetap sama. Jadikan cabaran ini sebagai titik permulaan kepada kejayaan, bukan batu penghalang untuk berjaya.

Rancang dan rangka jalan kejayaan seperti sebelum ini. Tidak bermakna penambahan satu lembaran dalam sebuah buku akan memusnahkan penceritaannya, sebaliknya ia akan menyerikan lagi jalan cerita hidup kita.

Siti Roseelyiza Arshad,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 9 April 2021

55,000 GURU TERIMA SUNTIKAN VAKSIN PADA FASA KEDUA

55,000 guru berusia dan berisiko tinggi dijangka dimasukkan dalam kelompok penerima fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

SUNGAI BESAR: Seramai 55,000 guru berusia dan berisiko tinggi dijangka dimasukkan dalam kelompok penerima fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya.

Beliau berkata, pemberian vaksin itu diharap dapat membantu mengekang peningkatan kluster COVID-19 khususnya membabitkan institusi pendidikan.

"Sebelum ini, empat guru tersenarai menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama ekoran berisiko tinggi mendapat jangkitan wabak itu.

"Mereka (guru) terbabit mengambil suntikan itu bersama Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin.

"Justeru, fokus kita sekarang ialah seramai 55,000 guru lagi akan menerima suntikan pada fasa kedua ini," katanya pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin: Taklimat Isu Semasa Kempen Kesedaran COVID-19 di Dewan Seri Bernam, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya

Muslimin berkata, guru yang tidak disenarai menerima suntikan pada fasa kedua dijangka menerima vaksin pada fasa ketiga dan empat selepas ini.

"Suntikan vaksin (dalam kalangan guru) bertujuan memastikan suasana selamat dan selesa ketika berada di sekolah.

"Jadi, kita berharap semua guru di seluruh negara segera mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin," katanya.

BETITA HARIAN ONLINE

DIDIK ANAK ILMU KESIHATAN, KESELAMATAN


DI sebalik kanak-kanak mudah terdedah dengan virus dan bakteria, masih ramai ibu bapa kurang menekankan Amalan Pendidikan Kesihatan dan Keselamatan untuk diterapkan di rumah dalam menangani pandemik COVID-19.

Ketidakseriusan itu ada kalanya mendedahkan anak kepada kemungkinan terkena jangkitan COVID-19.

Antara amalan perlu diberikan penekanan adalah meminta anak 'berkawan' dengan pelitup atau pelindung muka dan cecair pembasmi kuman.

Bahan ini perlu sentiasa disediakan di dalam beg, selain mengingatkan anak untuk membawanya apabila berada di luar kawasan rumah.

Ada segelintir kanak-kanak akan membuang pelitup muka di sekolah. Ini boleh meningkatkan risiko terkena jangkitan.

Virus ini mungkin dibawa dan disebarkan rakan mereka yang juga tidak mengenakan pelitup muka. Oleh itu, ibu bapa perlu menyediakan pelitup muka tambahan, selain sering mengingatkan anak terhadap kepentingannya.

Amalan penjarakan fizikal juga perlu ditekankan, terutama ketika berada dalam situasi berkumpulan di luar rumah. Jika diperhatikan, ibu bapa selalu menekankan anak untuk menjaga jarak fizikal di rumah akan menyebabkan mereka melakukan amalan terbabit di mana-mana sahaja termasuk sekolah.

Namun, kanak-kanak yang tidak diingatkan peraturan ini, akan cenderung bergaul dan bermain bersama kawan tanpa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini termasuklah tidak menggalakkan mereka berada bersama dengan ahli keluarga lain tanpa mengikuti standard dicadangkan.

Walaupun penekanan ini sukar dilakukan, amalan yang menjadi rutin harian akan mendorong mereka lebih berjaga-jaga apabila berada dalam komuniti luar.

Ibu bapa juga perlu menyediakan buku saintifik mempunyai elemen interaktif mengenai COVID-19 dan mendorong anak untuk mencari maklumat dalam usaha mencegah virus ini melalui pelbagai platform.

Walaupun nampak mudah dilaksanakan, ia sebenarnya mempunyai prosedur betul yang ibu bapa perlu membuat kajian dahulu kerana mengambil kira aspek kesesuaian perkembangan maklumat.

Contohnya, jika ibu bapa ingin berkongsi maklumat berkaitan simptom pandemik ini kepada anak berusia 5 hingga 6 tahun, mereka boleh menggunakan media seperti video yang mempunyai informasi mudah dan jelas.

Selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), teknologi juga antara item paling penting boleh diperkasakan ibu bapa dalam mendidik akan terhadap ilmu kesihatan dan keselamatan.

Hakikatnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat, manakala pencegahan terbaik adalah bermula daripada diri sendiri.

Nur Azam Ghazali
Felo Perdana 2020, Kementerian Pendidikan

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 5 April 2021

'PEMATUHAN SOP BUKAN SETAKAT DI SEKOLAH'

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin (kanan) pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berserta amalan norma baharu perlu diamalkan sepanjang masa dan tidak terhad di sekolah atau sektor pendidikan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan berlaku peningkatan kluster jangkitan COVID-19 dalam sektor pendidikan, yang kebanyakannya dikaitkan dengan rakan sekerja dan kontak sosial.

"Pemantauan berterusan oleh pihak pengurusan sekolah adalah penting kerana pematuhan SOP dan norma baharu mesti diamalkan oleh guru, murid, pekerja di sekolah, pengawal keselamatan dan di kantin," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, dua kluster jangkitan COVID-19 membabitkan sektor pendidikan mencatat jangkitan tertinggi, iaitu Kluster Paloh Rambai di Kelantan dan Kluster Jalan Hevea Scruciana di Selangor, membabitkan guru dan kakitangan sekolah serta kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Apabila kes positif dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di sektor pendidikan sama ada anak murid, guru atau kakitangan, katanya, pasukan kesihatan akan digerakkan untuk membuat siasatan kes atau kluster.

Beliau berkata, ia merangkumi pengesanan kes dan kontak, selain menyelia pihak sekolah dalam menjalankan pembersihan dan disinfeksi.

"Pihak PKD akan membuat penilaian risiko dan kesihatan secara menyeluruh bagi memastikan pengurusan kes dan kluster dapat dijalankan sebaik mungkin.

"Bagi tujuan langkah pencegahan dan kawalan, pihak PKD akan menasihatkan pihak pengurusan sekolah menutup sementara kelas yang terbabit dengan kes positif atau sekolah, bergantung kepada penilaian dijalankan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

PELAJAR, GURU PERLU PATUH SOP SETIAP MASA

Radzi melawat SMK dato' Abu Bakar Baginda, Bandar Baru Bangi

BANGI: Pelajar, guru dan warga sekolah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa bagi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan dengan selamat, kata Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, pelajar terutamanya perlu sentiasa mematuhi SOP ketika tiba di sekolah dan semasa proses penyuraian selepas tamat sesi persekolahan bagi mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan mereka dan warga sekolah.

"Kita sudah ada SOP cukup lengkap dan teratur, apa yang penting adalah pematuhan, malah ibu bapa juga perlu sentiasa mengingatkan anak supaya mematuhi SOP ditetapkan.

"Kita tekankan kepada pihak sekolah setiap SOP ditetapkan itu mesti dipatuhi dan murid perlu sentiasa diingatkan supaya mematuhi SOP," katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abu Bakar Baginda, Sungai Merab di Bandar Baru Bangi pada hari pertama pembukaan semula sekolah menengah untuk Kumpulan B, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Pembukaan semula sekolah menengah semalam membabitkan Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B memulakan persekolahan hari ini.

Sementara itu, Radzi berpuas hati dengan perjalanan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka membabitkan sekolah menengah hari ini. 

BERNAMA ONLINE

Sunday, 4 April 2021

SISTEM PENGGILIRAN KELUAR KELAS KURANG BERKESAN

Keadaan bersesak di luar pagar sekolah ketika pelajar menunggu ibu bapa

KUALA TERENGGANU: Sistem penggiliran keluar dari kelas selepas tamat sesi persekolahan dilihat kurang berkesan apabila pelajar berkumpul tanpa penjarakan fizikal ketika menunggu ibu bapa di luar kawasan sekolah.

Walaupun pelajar masih mengekalkan pemakaian pelitup muka, sikap ibu bapa yang berkumpul menunggu anak di luar sekolah tanpa penjarakan fizikal juga boleh mengundang kepada penularan pandemik COVID-19.

Tinjauan di beberapa sekolah menengah mendapati sikap ibu bapa yang menunggu anak mereka di hadapan pintu pagar sekolah punca utama keadaan sesak.

Keadaan bersesak di luar pagar sekolah dikatakan hanya berlaku di sekolah yang lokasinya di tepi jalan utama.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani, berkata pengurusan semua sekolah sudah diminta membuat penyusunan semula jadual, terutama selepas tamat sesi persekolahan.

Katanya, kesesakan di luar pagar sehingga berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dapat dielakkan jika ibu bapa dimaklumkan masa pelajar keluar dari sekolah.

"Tinjauan mendapati kebanyakan ibu bapa berhimpun di luar pagar kerana menunggu anak mereka keluar dari kelas secara bergilir.

"Pengurusan sekolah disaran menghantar jadual tamat sesi persekolahan bagi mengelakkan ibu bapa berkumpul di luar pagar sekolah," katanya.

Salim berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemantauan penyuraian balik sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, di sini, hari ini.

Salim berkata, pengurusan semua sekolah didapati mematuhi pelaksanaan proses penyuraian pelajar seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan.

"Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan tiada sebarang perhimpunan berlaku di luar sekolah," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 3 April 2021

COVID-19: DUA PERTIMBANGAN UNTUK TUTUP SEKOLAH

Radzi (kiri) melawat SMK Tasek Gelugor selepas majlis penyerahan kunci sekolah itu dan wang penyelenggaraan kepada 31 sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, hari ini.

TASEK GELUGOR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menutup mana-mana sekolah jika sebahagian besar guru terpaksa menjalani kuarantin akibat COVID-19 hingga menjejaskan kecekapan operasi sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan penutupan juga mengambil kira penilaian risiko dijalankan pejabat kesihatan daerah (PKD) selepas menerima laporan berhubung kes COVID-19 di sekolah terbabit.

"PKD adalah pihak yang pakar membuat penilaian dan mereka akan meneliti secara lebih mendalam mengenainya. Jika ada tingkat, bangunan tertentu atau keseluruhan sekolah perlu ditutup, ia akan dilakukan berdasarkan arahan itu.

"Bagi pihak KPM pula, kita melihat dari sudut operasi yang mana jika sebahagian besar guru terpaksa dikuarantin hingga menyebabkan kecekapan operasi sekolah terjejas, kita akan lihat sama ada sekolah itu boleh diteruskan atau ditangguh dulu," katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Gelugor dan Penyerahan Wang Penyelenggaraan Sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

Pada majlis itu, 31 sekolah menerima peruntukan antara RM20,000 hingga RM200,000 untuk penyelenggaraan dan baik pulih sekolah.

Baru-baru ini, Kerajaan Pulau Pinang menggesa supaya tindakan drastik diambil segera termasuk menutup sekolah yang melaporkan kes aktif jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Radzi turut meminta guru di seluruh negara segera mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 memandangkan mereka antara kumpulan penting yang diberi vaksinasi.

"Proses vaksinasi kepada guru sedang dijalankan dan kita meminta mereka membuat pendaftaran segera," katanya.

Sementara itu, Radzi dalam ucapannya berkata, KPM akan menyusun semula senarai sekolah yang layak menerima bantuan penyelenggaraan, baik pulih dan sebagainya mengikut keutamaan dalam usaha memastikan sekolah yang betul-betul layak menerima peruntukan terlebih dulu.

"Sekarang ada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dan kita perlu memberi keutamaan kepada sekolah yang betul-betul layak," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 17 March 2021

TEKS PENUH UCAPAN PERDANA MENTERI : PEMERKASA

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat wal-afiat.

1. Kini, genap setahun negara kita melaksanakan pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP untuk menangani wabak COVID-19. Sepanjang tempoh ini, Kerajaan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi.

2. Pada masa ini, negara kita sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu 'Revitalize' atau Memperkasa ekonomi. Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi, atau jump-start the economy.

3. Sehubungan itu, Kerajaan telah mengenal pasti 5 Fokus Utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021 iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.

PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI (PEMERKASA)

4. Bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi, sukacita saya umumkan Kerajaan akan melaksanakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau PEMERKASA bernilai 20 bilion ringgit, dengan suntikan fiskal baharu oleh Kerajaan berjumlah 11 bilion ringgit.


5. PEMERKASA akan menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

FOKUS PERTAMA: MENGAWAL PENULARAN COVID-19

Inisiatif Pertama: Program Imunisasi COVID-19

6. Bagi fokus pertama, iaitu mengawal penularan COVID-19, Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan kesihatan awam untuk membendung COVID-19 di samping memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Setakat ini, lebih 300 ribu rakyat telah pun menerima suntikan pertama vaksin.

7. Kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada 3 bilion kepada 5 bilion ringgit untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022.

8. Untuk mencapai sasaran ini, seramai 15 ribu petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di seluruh negara. Mengambil kira pertambahan tugas tersebut, Kerajaan bersetuju Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar 200 ringgit sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan.

Inisiatif Kedua: Tiada lagi Pelaksanaan PKP Menyeluruh

9. Kerajaan juga akan melaksanakan strategi kawalan penularan COVID-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara. Pada masa yang sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri. Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Inisiatif Ketiga: Penguatkuasaan Perundangan yang ketat dan telus

10. Selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

11. Bagi melindungi golongan pekerja, MITI akan melaksanakan inisiatif Safe@Work yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja. Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam "safe work bubble" sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19.

12. Sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program yang bersifat sukarela ini, Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja. Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada 50 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan telah lulus audit pematuhan Safe@Work. Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April 2021.

13. Selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021.

FOKUS KEDUA: MEMACU PEMULIHAN EKONOMI

14. Kerajaan juga komited untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan melalui pelaksanaan segera projek pembangunan, penyediaan insentif penggajian serta pemberian insentif percukaian dan kemudahan pembiayaan mikro kredit.

Inisiatif Keempat: Pelaksanaan Projek-Projek Kecil Seluruh Negara

15. Sehubungan itu, bagi terus merancakkan aktiviti projek-projek berskala kecil di peringkat akar umbi, Kerajaan bersetuju menambah peruntukan projek berskala kecil tahun 2021 daripada 2.5 bilion ringgit kepada 5 bilion ringgit.

16. Antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan PBT.

17. Kerajaan akan memudahkan tatacara perolehan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek. Sebagai contoh, kaedah kerja secara undian bagi pembaikan bencana banjir telah ditingkatkan daripada 100 ribu kepada 200 ribu ringgit. Di samping itu, kerja-kerja kecil bagi kontraktor tempatan akan dikhususkan kepada negeri dan daerah berkenaan.

Inisiatif Kelima: Geran Khas Prihatin 3.0

18. Kerajaan akan terus memberi sokongan untuk memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada PKS tempatan. Untuk itu, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Geran Khas Prihatin atau GKP 3.0 supaya perniagaan mendapat bantuan untuk beroperasi semula. Setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak 1,000 ringgit. Permohonan bagi GKP 3.0 akan dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini. Geran ini dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan.

Inisiatif Keenam: Kemudahan Mikro Kredit

19. Semasa pengumuman Belanjawan 2021 yang lalu, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah 1 bilion ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit. Prihatin dengan situasi yang mencabar ini, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp.

20. Melalui BSN, dana sebanyak 300 juta ringgit akan disediakan dengan had pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit, di mana kadar faedah telah dikurangkan daripada 3.5 kepada 3 peratus. Tempoh pinjaman adalah untuk 5 tahun dan bayaran ansuran hanya bermula selepas bulan keenam.

21. Bagi usahawan sektor informal, TEKUN Nasional akan menyediakan dana tambahan sebanyak 60 juta ringgit, terutamanya untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga 5,000 ringgit bagi perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah, pasar malam dan pasar tamu.

22. Selain itu, program TEKUN Mobilepreneur akan diperluaskan untuk pembiayaan membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga 10 ribu ringgit. Bagi melengkapi inisiatif ini, motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah akan diberi pengecualian 100 peratus duti eksais mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.

23. TEKUN juga akan memperkenalkan program TEKUN POS-preneur di mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan. Bantuan pembiayaan diberikan sehingga 20 ribu ringgit untuk tujuan baik pulih kenderaan, dan sehingga 50 ribu ringgit untuk pembelian van atau lori.

24. Melalui MARA, Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro akan dilaksanakan dengan keutamaan untuk membantu 1,000 PKS mikro Bumiputera untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. Sebanyak 50 juta ringgit disediakan dengan nilai pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit pada kadar faedah serendah 3 peratus.

25. Di samping itu, SME Corp. akan menyediakan 50 juta ringgit untuk membantu PKS tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga 250 ribu ringgit pada kadar faedah juga serendah 3 peratus.

Inisiatif Ketujuh: Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

26. Sejak pelancaran program PenjanaKerjaya 2.0 di bawah PERKESO, hampir 200 ribu pekerja dalam sektor formal berjaya ditempatkan. Bagi membantu golongan yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan, Kerajaan akan terus menambah baik program ini dengan memperluaskan skop insentif pengambilan pekerja untuk meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig, iaitu:

• Menyediakan peruntukan 300 juta ringgit yang akan memanfaatkan 60 ribu pekerja, di mana setiap pekerja akan menerima 600 ringgit sebulan selama tempoh maksimum 6 bulan; dan

• Bagi majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan PERKESO, mereka akan menerima 200 ringgit bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

27. Di samping itu, sehingga 5 Mac 2021, Kerajaan telah menyalurkan lebih daripada 14.4 bilion ringgit bagi membiayai program subsidi upah yang telah membantu 2.7 juta orang pekerja dan lebih daripada 330 ribu majikan.

28. Namun, Kerajaan sedar bahawa masih terdapat sektor yang terkesan. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan 700 juta ringgit bagi melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar. Ini terutamanya kepada sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, serta perniagaan lain yang ditutup semasa PKP seperti pusat sukan gimnasium dan spa. Inisiatif ini dijangka akan membantu 400 ribu pekerja dan 37 ribu majikan.

29. Di samping itu, program perantisan di bawah PenjanaKerjaya juga akan ditambah baik setelah mengambil kira maklumbalas daripada pihak industri yang mendapati tempoh 3 bulan program perantisan ini agak singkat dan tidak mencukupi. Oleh itu, Kerajaan akan melanjutkan tempoh program perantisan selama 6 bulan, di mana pelatih yang mengikuti program ini akan diberi insentif sebanyak 800 ringgit bagi tempoh perantisan 6 bulan.

30. Bagi menangani masalah pengangguran, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara, atau NEC. Bagi tahun ini, NEC menyasarkan pewujudan 500 ribu peluang pekerjaan, di mana sehingga akhir Februari, 66 ribu peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

31. Di bawah seliaan Perbadanan Sumber Manusia Berhad atau HRDF, beberapa inisiatif telah diperkenalkan. Ini termasuklah:

Pertama: Platform UpskillMalaysia yang berperanan sebagai pusat maklumat bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula; dan Kedua: Portal e-LATiH yang mengandungi lebih 300 kursus latihan dalam talian yang ditawarkan secara percuma.

Inisiatif Kelapan: Merangsang Semula Sektor Pelancongan dan Peruncitan

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

32. Industri pelancongan merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19. Bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor ini, Kerajaan akan:

• Melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember 2021;

• Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022;

• Membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 diberikan kepada

syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa;

• Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan;

• Memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 1,000 ringgit untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC; dan

• Memberi pengecualian levi HRDF bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021.

33. Selain itu, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak 3,000 ringgit kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.

34. Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara one-off sebanyak 600 ringgit kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC. Bantuan ini dijangkakan dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

35. Saya percaya, sedikit masa lagi apabila sudah ramai antara kita telah mengambil vaksin, Kerajaan sedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri secara berperingkat, malah mewujudkan special green lane bagi perjalanan sempadan yang melibatkan pengangkutan udara. Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak Kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil.

36. Untuk membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pengembaraan dan pelancongan, pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama 3 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021. Dengan pemanjangan tempoh diskaun ini, Kerajaan akan menanggung jumlah kos sebanyak 135 juta ringgit.

Inisiatif Kesembilan: Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi

37. Bagi memastikan pembiayaan alternatif terus berkembang, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menambah baik peraturannya berdasarkan perkembangan semasa. Antara lain, had pengumpulan dana akan dinaikkan daripada 10 juta kepada 20 juta ringgit serta Equity Crowdfunding akan diperluaskan kepada syarikat berhad yang tidak tersenarai.

38. Untuk terus menggalakkan syarikat mengumpul dana menerusi pasaran saham, fi berkaitan penyenaraian akan dikecualikan selama 12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di pasaran MAIN, LEAP atau ACE. Selain itu, rebat untuk fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 juga akan diberikan kepada syarikat tersenarai yang telah melaporkan kerugian berdasarkan laporan suku tahunan mereka.

39. Seterusnya, bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersetuju nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold dinaikkan daripada 10 kepada 50 ribu ringgit.

40. Pada masa yang sama, SSM juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

41. Kerajaan menyedari bahawa gerakan koperasi turut terjejas berikutan pandemik COVID-19. Susulan itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menyediakan insentif pembiayaan sehingga 100 ribu ringgit tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan. Permohonan pembiayaan ini akan dipermudahkan dan proses kelulusan akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan. Sejumlah 50 juta ringgit dari Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan diperuntukkan yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi.

42. Selain itu, Kerajaan telah meluluskan geran padanan sebanyak 30 juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi industri sawit. Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak

20 juta ringgit dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan. Ini dijangka memanfaatkan 65 koperasi dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil.

43. Geran Padanan Digitalisasi di bawah BSN yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat turut diperluaskan kepada koperasi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.

FOKUS KETIGA: MEMPERKUKUH DAYASAING NEGARA

44. Dalam memperkukuh daya saing negara, Kerajaan komited untuk menarik pelaburan, memperkasa perdagangan luar, meningkatkan adaptasi penggunaan teknologi digital dan menjamin pertumbuhan lestari.

Inisiatif Kesepuluh: Mengukuhkan Persekitaran Perniagaan

45. Untuk itu, Kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH sentiasa komited untuk memastikan peraturan yang tangkas atau agile regulation dilaksanakan bagi mendorong pelaburan semula perniagaan domestik. Ini termasuk perluasan program Authorised Economic Operator Nasional yang memberi kemudahan laluan hijau kepada syarikat yang layak bagi urusan eksport dan import dan pemendekan tempoh memproses permohonan pelaburan.

Inisiatif Kesebelas: Automasi dan Digitalisasi

46. Bantuan moratorium bersasar yang diumumkan oleh Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah berjaya mengurangkan beban 1.4 juta peminjam individu dan PKS yang terjejas, dengan kadar kelulusan sehingga 95 peratus. Saya ingin menekankan bahawa bantuan ini masih dibuka kepada orang ramai.

47. Bagi membantu PKS mendapatkan pinjaman, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak 2 bilion ringgit dan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi sebanyak 700 juta ringgit. Dengan penambahan ini, kemudahan yang disediakan oleh Bank Negara untuk manfaat PKS berjumlah 6 bilion ringgit.

48. Di bawah MIDF, sebanyak 200 juta ringgit disediakan untuk skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau. MIDF juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dari 5 kepada 3 peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021.

49. Di samping itu, dana tambahan sebanyak 50 juta ringgit bagi Geran Automasi Pintar di bawah MIDA turut disediakan supaya lebih banyak PKS dan Syarikat Tahap Pertengahan, atau Mid-Tier Companies dapat meningkatkan kecekapan operasi dan pembuatan menerusi teknologi tinggi. Selain itu, bagi menyokong IR4.0, peruntukan berjumlah 50 juta ringgit akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah MITI.

50. Bagi menggalakkan PKS meningkatkan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, SME Bank akan menyediakan dana pinjaman 200 juta ringgit untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.

Inisiatif Keduabelas: Mengurangkan Jurang Digital

51. Semasa Belanjawan 2021, Kerajaan telah mengumumkan Program Jaringan Prihatin bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada internet, merapatkan jurang digital golongan B40 dan menyokong agenda pendigitalan negara.

52. Jika Belanjawan 2021 sebelum ini telah mengumumkan subsidi pembelian telefon sebanyak 180 ringgit kepada semua penerima BPR, sukacita diumumkan Kerajaan akan menambah baik subsidi ini kepada 300 ringgit khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu. Dengan itu, peruntukan program ini akan ditingkatkan kepada 2 bilion ringgit dan insha-Allah, akan dilancarkan awal bulan Mei. Saya menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan.

53. Rangka kerja MyDIGITAL dan Ekonomi Digital Malaysia telah menggariskan perkhidmatan 5G komersil sebagai keperluan terpenting kerana internet kelajuan tinggi adalah perlu untuk mencetuskan inovasi dan peluang kerja baru dalam ekonomi digital negara. Oleh itu, perkhidmatan 5G dijangka akan beroperasi secara berperingkat mulai hujung tahun ini.

54. Selain itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar terutamanya di luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM telah memperuntukkan 3.2 bilion ringgit untuk tahun 2021 di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis-premis berkaitan.

55. Seterusnya, SKMM akan memperkenalkan program MyBAIKHATI dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif crowdsourcing peranti. Program ini akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada antara lain Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti.

Inisiatif Ketigabelas: Menggalakkan Pelaburan dan Pasaran Eksport

56. Sebagai pemboleh daya yang penting bagi program pemulihan negara, pelaburan asing dan perdagangan antarabangsa perlu diberi tumpuan khusus. Bagi tujuan ini, MITI akan terus meneroka potensi eksport baharu, serta menggalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi dalam kalangan pemain industri.

57. Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuklah inisiatif eBizLink, iaitu platform pemasaran digital secara maya dan hibrid, serta inisiatif Globepreneur yang bertujuan mengetengahkan lebih banyak syarikat PKS berpotensi ke pasaran antarabangsa.

58. Kerajaan juga akan menaikkan siling Geran Pembangunan Pasaran atau MDG daripada 300 ribu kepada 500 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang menyertai platform pameran antarabangsa. Bagi menjana sumber kekayaan baharu negara, geran padanan bernilai 50 juta ringgit akan disediakan untuk membangunkan industri aeroangkasa dan peranti perubatan.

Inisiatif Keempatbelas: Menggalakkan Pembiayaan Mampan

59. Program PEMERKASA akan menyokong agenda kelestarian negara, terutamanya ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG menjelang 2030. Kerajaan bersama PBB Malaysia akan menubuhkan Dana Amanah MySDG sebagai platform yang membolehkan pembiayaan dari pelbagai sumber untuk membiayai projek yang menepati kriteria SDG.

60. Bagi menyokong matlamat negara untuk menjadi hab kewangan lestari, Kerajaan akan melancarkan Sukuk Lestari berjumlah tidak kurang dari 1 bilion dolar Amerika. Hasil dari sukuk berkenaan akan membiayai program dan projek yang mempunyai elemen kelestarian di samping menangani kesan sosio-ekonomi akibat wabak COVID-19.

FOKUS KEEMPAT: MEMASTIKAN AGENDA KETERANGKUMAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

61. Dalam menghadapi cabaran wabak ketika ini, Kerajaan akan terus memelihara kebajikan rakyat terutamanya mereka yang masih terjejas. Inisiatif kali ini akan lebih tertumpu kepada golongan rentan, kurang upaya dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

Inisiatif Kelimabelas: Bantuan Kehilangan Pendapatan

62. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit kepada 2.4 juta penerima untuk mendapatkan bantuan seperti berikut:

• Bantuan tunai secara one-off sebanyak 500 ringgit diberikan kepada golongan B40 yang telah hilang pendapatan; dan

• Bayaran tambahan sebanyak 500 ringgit diberikan kepada penerima BPR yang berpendapatan 1,000 ringgit dan ke bawah.

63. Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO. Insha-Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing.

64. Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan Kerajaan. Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan.

65. Seterusnya, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac ini sehingga 30 Jun 2021. Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.

Inisiatif Keenambelas: Menambahbaik Program Bantuan Rentan Bandar

66. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan semua golongan masyarakat dapat dibantu semasa tempoh yang sukar ini termasuk golongan gelandangan. Oleh yang demikian, DBKL telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Anjung Kelana di Taman Desa Kuala Lumpur sebagai pusat perlindungan sementara.

67. Seterusnya, bagi mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin yang tinggal di bandar, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit bagi program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai. Program ini dijangka akan memanfaatkan 300 ribu isi rumah miskin di bandar-bandar utama di seluruh negara untuk membolehkan mereka membeli barangan makanan asas.

68. Mengenai kesihatan rakyat pula, inisiatif mySalam berhubung COVID-19 telah memanfaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran 40 juta ringgit. Bagi menambah baik skim ini, golongan B40 yang dibenarkan untuk dikuarantin di rumah atas sebab COVID-19 layak untuk menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan sebanyak 50 ringgit sehari selama maksimum 14 hari tertakluk kepada pengesahan oleh Pegawai Perubatan.

69. Selain itu, program klinik bergerak merupakan satu program melibatkan penyediaan rawatan asas dan pemeriksaan percuma kepada warga tempatan khususnya golongan rentan bandar bagi memperkasakan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Pada masa ini, MyMedic@Wilayah di bawah DBKL menyediakan perkhidmatan klinik bergerak meliputi kawasan PPR dan perumahan awam kepada golongan yang kurang berkemampuan serta rawatan secara terus kepada pesakit kronik dan uzur yang terlantar di rumah. Sehubungan itu, sejumlah 30 juta ringgit akan diperuntukkan bagi meluaskan perkhidmatan kesihatan ini ke seluruh negara melalui program KPT PRIHATIN, KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS) dengan kerjasama kumpulan pakar perubatan dari Hospital Pengajar Universiti.

70. Seterusnya, dalam melaksanakan proses verifikasi penerima bantuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melantik seramai 2,500 orang pegawai tambahan di bawah inisiatif MySTEP bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Inisiatif Ketujuhbelas: Prihatin Wanita

71. Bagi memperkasa usahawan wanita, Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro, serta Program Shop Malaysia Online, Kerajaan akan menyediakan dana 30 juta ringgit untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian. Sebagai tambahan, BSN juga akan menyediakan sejumlah 50 juta ringgit bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan.

72. Selain itu, peruntukan sebanyak 10 juta ringgit dalam bentuk dana padanan 70 peratus bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri turut disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.

Inisiatif Kelapanbelas: Prihatin OKU

73. Saya telah dimaklumkan golongan OKU yang bekerja turut terjejas dalam tempoh yang sukar ini. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada 1,200 kepada 1,500 ringgit sebulan. Untuk tujuan ini, sebanyak 26 juta ringgit akan disediakan di mana ia akan memanfaatkan seramai hampir 5,000 OKU.

74. Selain itu, bagi membantu program keusahawanan termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan oleh OKU dan warga emas,

Kerajaan bersetuju menambah 20 juta ringgit untuk memperkukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

75. Di samping itu, golongan OKU akan berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.

76. BSN telah menyediakan sebanyak 25 juta ringgit di bawah Skim Mikrokredit ISTIMEWA bagi golongan OKU menceburi bidang perniagaan dengan had pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit dan kadar faedah serendah 3 peratus.

Inisiatif Kesembilanbelas: Prihatin Belia

Seterusnya buat anak muda,

77. Kerajaan telah memperkenalkan program eBelia bagi menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai kepada golongan belia, khususnya mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar pendidikan tinggi sepenuh masa. Sukacita diumumkan bahawa program tersebut akan ditambahbaik dengan meningkatkan nilai kredit daripada 100 kepada 150 ringgit yang akan memanfaatkan 2 juta belia dengan jumlah peruntukan sebanyak 300 juta ringgit. Program ini akan dilaksanakan mulai bulan Jun 2021.

78. Bagi menggalakkan penyertaan anak muda bandar terlibat dalam projek-projek keusahawanan, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar atau PEKB akan diperluas dengan tambahan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit, menjadikan peruntukan keseluruhan tahun 2021 bagi program ini sebanyak 21 juta ringgit. Oleh itu, seramai 1,800 peserta akan mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai.

79. Selain itu, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera akan ditambah peruntukan bagi melahirkan seramai 250 usahawan belia Bumiputera baharu. Manakala, program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.

80. BSN juga menawarkan Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA dengan kadar serendah 3 peratus untuk membolehkan anak muda menceburi bidang perniagaan mendapatkan pembiayaan sehingga 50,000 ringgit.

Inisiatif Keduapuluh: Penerusan Subsidi bagi Meringankan Kos Sara Hidup

81. Berdasarkan trend semasa, adalah dijangkakan harga minyak dunia akan meningkat dan terus menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel.

82. Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak ini, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter. Kerajaan pada masa ini menanggung subsidi pada kadar hampir 30 sen seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai 3 bilion ringgit pada harga semasa.

83. Kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair petroleum atau LPG. Harga sebenar di pasaran setong gas LPG bersaiz 14 kg pada masa ini adalah sekitar RM50. Namun, harga runcit telah ditetapkan pada paras RM26.60 setong. Oleh itu, Kerajaan telah memberi subsidi hampir 50 peratus bagi setiap tong LPG 14 kg yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah. Kerajaan akan terus memberi subsidi berkenaan supaya harga barangan keperluan harian kekal berpatutan.

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

84. Setelah setahun Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara ini, kami terus merencana pelbagai strategi pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Kami telah berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.

PEMERKASA dengan nilai keseluruhan 20 bilion ringgit adalah satu lagi inisiatif Kerajaan Perikatan Nasional untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat, mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan.

85. Kerajaan Perikatan Nasional sebagai Kerajaan yang Prihatin akan sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib rakyat. InsyaAllah, amanah ini akan sentiasa kami pikul dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas, demi rakyat dan negara.

86. Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan pengorbanan seluruh petugas barisan hadapan dan penjawat awam yang sekian lama berdiri teguh dan setia sebagai tunjang pentadbiran Kerajaan. Saya juga menyanjung tinggi peranan sektor korporat, NGO dan para sukarelawan yang turut menyumbang kepada bantuan kewangan dan bantuan sosial kepada rakyat.

87. Saya juga ingin menyeru saudara dan saudari supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera. Jangan bertangguh, terus daftar sekarang. Lebih cepat kita mendaftar dan mendapat vaksin, lebih cepatlah kita dapat menikmati kembali kehidupan yang normal.

88. Lindung diri, lindung semua. Insha-Allah, kita terus berikhtiar dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Faiza 'azamta fa tawakkal 'ala Llah.

Teguh Kita, Menang Bersama.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

BERNAMA ONLINE