Monday, 17 May 2021

PERUBAHAN DUNIA PENDIDIKAN TUNTUT KESEDIAAN, KETERBUKAAN GURU

Era pandemik COVID-19 memerlukan guru bijak manfaat teknologi dalam sampaikan ilmu.

Pandemik COVID-19 mengajar banyak perkara, terutama dalam dunia pendidikan yang turut mengalami perubahan mendesak.

Melihat kembali sepanjang 2020, terdapat ciri pendidik kritikal memberikan implikasi terhadap perubahan dilaksanakan.

Pengetahuan dan kemahiran guru menjadi tunjang keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Namun, dua ciri utama amat perlu ialah kesediaan dan keterbukaan.

Pertama, kesediaan guru. Setiap guru memiliki jiwa pendidik tidak akan mampu membiarkan anak didik mereka melalui masa pandemik tanpa melalui proses PdP.

Penerokaan kepada aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) menjadi kemestian. Andai kata ciri kesediaan untuk meneroka, mencuba dan menggunakan pelbagai aplikasi tidak dimiliki, PdP tidak dapat diteruskan.

Tidak dinafikan masih ada murid menghadapi kekangan melalui proses PdP norma baharu dengan sempurna, namun ia tidak menghalang pendidik melaksanakannya.

Justeru, kita melihat ada guru melakukan pelbagai cara bagi memastikan murid terus belajar, termasuk meredah jalan tidak bertar atau melalui cuaca buruk hanya untuk memastikan bahan pembelajaran tiba kepada mereka.

Guru, pengurusan dan pentadbiran terus mengadakan pertemuan pembelajaran secara maya bagi memastikan proses persekolahan serta pengurusan pendidikan tidak terhenti.

Siapakah pernah menjangkakan penggunaan aplikasi akan menjadi budaya kerja? Pernahkah terfikir kesediaan yang sering menjadi kajian pendidikan, kini ialah kemestian dimiliki guru?

Kesediaan pengetahuan dan kemahiran untuk berubah kepada apa-apa sahaja situasi, amat diperlukan untuk memenuhi keperluan semasa. Apabila ciri kesediaan tertanam, proses pembelajaran kendiri akan menjadi lebih mudah dan pantas.

Guru yang sentiasa bersedia, boleh menimba pengetahuan dan memantapkan kemahiran seiring penggunaan aplikasi bila-bila masa serta menerusi apa jua kaedah. Ini termasuk belajar menerusi rakan sekerja dan internet, hatta dengan anak didik atau ahli keluarga sendiri.

Kedua, keterbukaan guru berkait rapat dengan ciri kesediaan. Sifat terbuka ialah ciri utama sebelum guru bersedia menerima, mempelajari, mencuba dan menggunakan apa jua cara melaksanakan PdP, walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Perkara baharu mungkin sukar awalnya, tetapi ia bukan halangan. Guru terbuka akan melihat segala sesuatu secara positif. Tidak ada perkataan bersifat negatif dapat menghalang mereka melakukan terbaik untuk anak didik.

Ketika akses pembelajaran secara maya tidak dapat sepenuhnya dilalui anak didik, guru akan menggunakan apa jua cara untuk memastikan PdP berlangsung. Mereka menerima kenyataan PdP bukanlah proses dilaksanakan secara bersemuka hingga tiada istilah 'PdP tidak dapat dilaksanakan.'

Pengetahuan guru berkaitan pembelajaran digital ialah sumber utama memastikan pembelajaran diteruskan. Tiada ada sesiapa boleh memastikan tahap kesediaan dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran pada setiap warga guru ketika itu.

Hakikatnya, situasi pandemik memperlihatkan tidak kira setakat mana pengetahuan dan kemahiran guru ketika sesuatu perubahan perlu dilaksanakan, ciri kesediaan dan keterbukaan sangat kritikal dalam memastikan perubahan boleh berlaku.

Perubahan itu dapat dilaksanakan pantas dan lebih berkesan apabila kedua-dua ciri ini dimanfaatkan dalam menimba pengetahuan dan meningkatkan kemahiran diperlukan.

Jika guru sering mengingatkan anak didik mengenai pentingnya untuk terus menuntut ilmu, pendidik juga perlu terus belajar dan mempelajari sesuatu baharu khususnya yang dapat menjadikan mereka sentiasa berkompetensi tinggi.

Inilah antara 10 kualiti tertinggi guru efektif, iaitu mereka sentiasa mempelajari sesuatu baharu setiap hari, di samping sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kompetensi diri seperti dalam buku Reading Horizon tulisan David Clark.

Kita semua terkesan dalam menghadapi waktu sukar. Justeru, kita perlu memahami hasil pembelajaran tercapai mungkin tidak sepenuhnya sama dengan hasil pembelajaran interaksi bersemuka secara fizikal.

Namun, warga pendidik juga sentiasa terbuka dan bersedia secara berterusan untuk berusaha memastikan apa dilakukan adalah terbaik untuk anak didik. Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu. Selamat Hari Guru 2021.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment