Saturday 1 May 2021

TELITI CABARAN DIHADAPI GURU, MURID DALAM PdPR

Strategi PdPR perlu diperkukuh bagi memastikan tiada pelajar keciciran terutama di pedalaman

SABAN hari kes COVID-19 meningkat dan beberapa negeri mencatatkan nilai kebolehjangkitan (Ro) semakin membimbangkan.

Penularan COVID-19 juga dilihat berlaku di sekolah. Susulan perkembangan ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan penutupan beberapa sekolah dan mengeluarkan arahan supaya Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kembali dijalankan pada tempoh ditetapkan.

Berdasarkan sejarah pandemik melanda dunia sebelum ini, tempoh pandemik biasanya berlangsung satu hingga tiga tahun. Jadi kita masih tidak boleh menarik nafas lega walaupun program vaksinasi dijalankan dengan giat di negara ini.

Penutupan sekolah akibat pandemik akan memberikan impak jangka panjang kepada sektor pendidikan negara ini. Data UNESCO menunjukkan secara global, kadar keciciran pelajar semakin bertambah kesan daripada pandemik COVID-19.

Walaupun kementerian mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan PdPR untuk membolehkan pembelajaran terus berlangsung, namun ia perlu dilihat secara menyeluruh dan sistemik, bukan sekadar menumpukan kepada aspek infrastruktur dan modaliti semata-mata.

Terdapat banyak perkara yang perlu diperhalusi dan dipertimbangkan oleh pihak yang berkenaan apabila membabitkan isu PdPR kerana semua perkara ini saling berkait antara satu sama lain dan akan memberikan impak kepada pendidikan.

Antaranya adalah kemahiran guru dalam reka bentuk arahan secara dalam talian, kemahiran pengajaran secara jarak jauh, kemahiran pengetahuan guru dalam kandungan teknologi dan pedagogi, kesediaan dan kemahiran ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak, kesediaan pelajar dari segi emosi, sosial dan kognitif, kemudahan infrastruktur yang ada untuk menjalankan PdPR, fleksibiliti kandungan kurikulum, penilaian dan pentaksiran sesuai, serta banyak lagi.

Sewajarnya setiap pihak yang terbabit dalam PdPR iaitu sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar, perlu meneliti cabaran yang mereka hadapi. Seterusnya, strategi untuk memantapkan lagi PdPR perlu diatur dengan mengambil kira kepentingan setiap pemegang taruh ini.

Dr Siti Nur Diyana Mahmud
Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment