PERNAHKAH anda terfikir bagaimana seorang murid berkeperluan khas atau orang kurang upaya (OKU) menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)?
Bagaimanapun pula guru menangani kelompok murid sebegini setelah sekian lama terbiasa dengan kelas secara fizikal?
Dasar Pendidikan Negara menekankan mengenai setiap rakyat berhak untuk mendapatkan pendidikan. Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memperkenalkan program khusus kepada kumpulan pelajar OKU menjalani PdPR.
Pelaksanaan dasar dan program pendidikan khas ini termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 dan Akta OKU 2008. Melaluinya, murid OKU dapat memperoleh pendidikan sama rata dengan pelajar arus perdana.
Bagaimanapun, kurikulum, kaedah dan teknik pengajaran serta pembelajaran memerlukan pengubahsuaian. Sebenarnya, penyampaian kurikulum akan lebih berkesan sekiranya guru pendidikan khas berjaya menggunakan bahan pengajaran interaktif mengikut keupayaan dan keperluan yang berbeza.
Perbezaan itu terjadi disebabkan kategori keperluan khas atau keadaan dialami pelajar berkeperluan khas tidak sama, malah penerimaan mereka terhadap topik diajar juga berbeza mengikut tiga aras keupayaan kognitif, afektif dan psikomotor iaitu rendah, sederhana dan tinggi.
Dalam memastikan penyampaian PdPR yang berkesan kepada pelajar pendidikan khas, guru mestilah menggunakan teknik dan gaya belajar berkonsepkan Visual, Auditori dan Kinestetik (VAK) yang membabitkan gaya belajar menggunakan deria penglihatan (visual), mendengar (auditori) dan gerakan (kinestetik).
Kaedah Gaya Belajar VAK
1. Kaedah gaya belajar secara visual dapat diaplikasi menggunakan media interaktif yang menarik melalui huruf, saiz teks, font warna, imej dan grafik.
2. Gaya pembelajaran secara auditori pula memerlukan bahan bantu mengajar yang menggabungkan imej dan suara jelas supaya maklumat yang diterima oleh murid khas dapat difahami serta diingati dalam jangka panjang.
3. Gaya belajar kinestatik memerlukan murid khas melaksanakan secara langsung (hands-on), kebiasaannya guru khas melaksanakan pengajaran dalam mata pra vokasional iaitu masakan, jahitan dan pertanian.
Gabungan gaya belajar menggunakan VAK berjaya dilaksana semasa PdPR kepada murid kategori austime, down syndrome, lembam dan hyperaktif melalui penggunaan rakaman video dan pautan di Youtube. Pada masa yang sama penilaian hasil pembelajaran turut menggunakan 'google form' dan aplikasi pembelajaran, wordwall.
Sementara itu, bagi kategori pelajar berkeperluan khas Kurang Upaya Penglihatan dan Kurang Upaya Pendengaran, tidak begitu sukar mengajar mereka kerana silibus diguna pakai adalah sama dengan pelajar arus perdana dengan bantuan berasaskan teknologi serta bantuan modul mata pelajaran.
Cuma cabaran besar dihadapi guru pendidikan khas adalah ketika mendidik pelajar yang berdepan masalah pembelajaran, seperti autisme, disleksia, lembam, sindrom down, kurang upaya intelektual, spastik, hiperaktif serta gangguan mental.
Bagaimanapun, berbekalkan kemahiran dan pengalaman mengajar dimiliki mereka, guru pendidikan khas tahu membezakan teknik paling sesuai diadaptasikan mengikut kategori permasalahan pelajar ketika PdPR. Berikut adalah beberapa kaedah yang digunakan;
1. Jika pelajar itu berkeupayaan mendengar, seperti masalah penglihatan guru akan menggunakan aplikasi Google Classroom untuk mengajar serta memberi arahan.
2. Bagi pelajar kurang upaya penglihatan, PdPR dikendalikan menggunakan perisian Job Access With Speech (JAWS) untuk membolehkan mereka menulis dan membaca perkongsian diberikan guru dalam tulisan Braille, malah mencetak bahan menggunakan mesin khas.
3. Jika membabitkan pelajar kurang upaya pendengaran, guru perlu menggunakan teknik pengajaran visual, seperti video dengan medium komunikasinya adalah Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) ataupun Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM).
4. Pengendalian PdPR bersama pelajar autisme memerlukan guru memberikan arahan pendek, ringkas dan padat melalui video kerana mereka ini mengalami masalah pemahaman juga tumpuan yang terhad.
5. Bagi pelajar disleksia yang mempunyai masalah membaca pula, guru mendekati mereka melalui kaedah 'multisensory' iaitu bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi, pendengaran dan penulisan untuk memastikan tunjuk ajar diberi mampu dikuasai. Kaedah multisensory ini juga sesuai untuk kanak-kanak lembam, sindrom down, kurang upaya intelektual, spastik, hiperaktif serta gangguan mental.
Pengajaran yang berbentuk terapi juga boleh dilaksanakan melalui PdPR contohnya terapi pertuturan melalui aktiviti latihan pertuturan menggunakan multimedia yang interaktif.
Selain itu, PdPR membabitkan pelajar pendidikan khas ini perlu dilaksanakan secara interaktif dan pelbagai cara, seperti menggunakan video, gambar, saiz teks, reka bentuk skrin, warna, muzik dan permainan menarik supaya mereka tidak cepat bosan.
Walaupun dalam setiap kelas pendidikan khas hanya ada lima hingga lapan pelajar, tetapi masalah mereka berbeza, justeru bagi memastikan penyampaian PdPR mampu dikendalikan dengan berkesan, ibu bapa harus memberikan sokongan penuh dengan membantu anak mengikuti proses belajar, terutama apabila membabitkan pelajar berkeperluan bermasalah pembelajaran berkefungsian rendah aras rendah.
Satu hal yang boleh dikongsikan, dalam memastikan kaedah secara dalam talian lebih berkesan, KPM diharap dapat memberikan kursus dalam tempoh terdekat kepada guru pendidikan khas berhubung penyediaan bahan bantu mengajar berbentuk pelbagai media selari dengan IR 4.0 dalam masa yang sama memperkasakan pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif ini dicapai sebaik mungkin supaya dirasai oleh warga pendidik di Malaysia.
Ketika ini guru mengajar dengan menggunakan bahan yang mereka ubah suai dari kurikulum untuk disesuaikan dengan diri setiap murid, jadi sudah tiba masa mereka diberikan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi serta penyediaan bahan lebih interaktif serta menggunakan aplikasi mudah alih yang terkini.
Hal ini dapat membantu melancarkan PdPR sama ada daripada pihak guru atau murid.
Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli
Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment