KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan membebankan guru dari segi pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminudin Awang, berkata PBS bukan perkara baharu kerana ia sudah dilaksanakan pada tahun 2011 di sekolah rendah.
Guru katanya, sudah dapat menguasai kaedah penilaian itu jika dilihat perkembangan sekolah yang efektif dari tahun ke tahun.
"Matlamat pendidikan di sekolah rendah adalah memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh, seimbang dan sepadu yang meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
"Menerusinya, negara berupaya melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia," katanya.
Tegas Aminuddin, susulan pemansuhan UPSR juga bebanan dan tekanan guru akan berkurang kerana mampu memfokuskan tumpuan kepada sukatan pelajaran, tanpa perlu memikirkan Indeks Prestasi Utama (KPI).
"Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) tidak lagi menetapkan KPI kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan PPD juga tidak lagi membuat 'perbandingan' pencapaian sekolah dalam daerah melalui sistem Menguasai Tahap Minimum (MTM) dan Gred Purata Sekolah (GPS).
"Sekolah-sekolah kini boleh memfokuskan kerja mengikut kesediaan dan keupayaan sendiri tanpa perlu terikat dengan KPI PPD," katanya.
Tegas Aminuddin, secara mudahnya guru sudah boleh memberikan tumpuan dan penekanan dalam pembasmian keciciran asas 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira selain mewujudkan budaya pembelajaran yang menyeronokkan di dalam kelas.
Bagaimanapun beliau tidak menolak ada kemungkinan guru memerlukan sedikit masa untuk keluar daripada kepompong budaya pembelajaran sebelum ini yang cenderung melabelkan tahap kecemerlangan sesebuah sekolah berdasarkan jumlah murid yang mendapat 6A dalam UPSR.
"Sebab itulah sebelum ini banyak sekolah yang membuat kelas tambahan pada hujung minggu dan pada waktu malam. Pelbagai program ke arah mendapat jumlah A dalam mata pelajaran dibuat tanpa mengambil kira aspek potensi murid dalam perkara lain seperti kemahiran sosial atau kokurikulum.
"Dengan pemansuhan UPSR ini, sudah pasti tidak akan ada lagi sekolah yang menekan atau memaksa guru membuat kelas tambahan pada hujung minggu atau waktu malam," katanya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminudin Awang
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, berkata isu tambahan dan bebanan kerja buat guru seharusnya tidak berlaku. Katanya, rutin tugasan setiap guru adalah memberi latihan, bimbingan dan tugasan sebagai aktiviti pengukuhan serta penggayaan pembelajaran murid.
"Bezanya mungkin kepada bentuk dan corak pentaksiran, perlu lebih pelbagai serta tidak hanya terhad kepada lembaran kerja atau latih tubi seperti sebelum ini.
"Walaupun begitu, sebahagian bentuk pentaksiran seperti portfolio, projek, kerja sosial/lapangan dan pentaksiran formatif dilaksanakan oleh guru bersama-sama murid," katanya.
Mohd Nazri berkata, tidak dinafikan bebanan akan timbul sekiranya prasarana pembelajaran seperti kemudahan infrastruktur dan nisbah guru-murid dalam sesuatu kelas, jumlah jam mengajar bagi seseorang guru tidak diberi perhatian sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan.
"Selain itu, dalam melaksanakan bentuk pentaksiran baharu ini, semua guru dan ibu bapa juga komuniti perlu diberi pendedahan dalam menguasai bentuk Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
"Ini adalah kerana jika diteliti kajian yang dilaksanakan sejak tiga tahun kebelakangan membuktikan bahawa wujudnya keperluan kepada kursus dan pendedahan secara lebih terperinci terhadap bentuk PBD bagi mengelakkan wujudnya bebanan tambahan kerja kepada pengajar disebabkan ketidakfahaman mengenai konsep pentaksiran PBD," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment