Saturday, 1 May 2021

MANSUH UPSR, BATAL PT3 LANGKAH LAHIR GENERASI SEIMBANG

Pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 merintis pelajar yang seimbang rohani, jasmani serta lebih berdaya saing pada masa hadapan.

DUNIA pendidikan dikejutkan dengan langkah kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pembatalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun ini.

Ibu bapa tentunya terkejut, namun ia sesuatu ditunggu-tunggu kerana kedua-dua ujian itu kurang relevan pada zaman memerlukan warganya berkemahiran holistik.

Keputusan diambil Kementerian Pendidikan (KPM) ini dianggap langkah berani.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan aspirasi golongan pelajar seimbang dan holistik daripada domain emosi, rohani, intelek dan sosial.

Khusus untuk melahirkan warga Malaysia berdedikasi serta mampu menyumbang kepada negara, agama dan masyarakat.

Bagaimanapun, sistem penilaian persekolahan berteraskan peperiksaan sedikit sebanyak menghalang kecapaian falsafah pendidikan ini.

Majoriti murid, ibu bapa dan pendidik diprogramkan untuk membangunkan secara spesifik domain intelek saja, manakala domain emosi, rohani dan sosial sedikit dikesampingkan.

Saban tahun, sekolah sibuk menyasarkan berapa A yang bakal diperoleh murid hinggakan mata pelajaran seperti Seni dan Pendidikan Jasmani kadangkala digantikan dengan kelas mata pelajaran peperiksaan.

Ibu bapa pula berlumba-lumba menghantar anak mengikuti kelas tambahan atau tuisyen seawal Tahun Satu. Ini semua demi memastikan anak kesayangan mereka mencatat keputusan cemerlang dalam UPSR, sekali gus mendapat tempat di sekolah berasrama penuh (SBP).

Pengembangan bakat anak mereka dalam seni, sukan, sosiobudaya dan kemasyarakatan kurang dititikberatkan kerana ia tidak diukur dalam peperiksaan itu.

Sistem pendidikan berfokuskan peperiksaan pada awal usia ini sedikit sebanyak merencatkan pembangunan potensi holistik pelajar.

Mereka tidak dapat mengecapi zaman kanak-kanak secara berdikari kerana kehidupan seharian diprogramkan ibu bapa dan sekolah untuk menghadapi peperiksaan.

Senario ini mendorong peningkatan isu mental, moral dan adab susila yang dahulunya menjadi tunjang pembentukan masyarakat Malaysia.

Bagi golongan pendidik, sistem pendidikan berteraskan peperiksaan mengongkong mereka untuk lebih kreatif. Majoriti masa pengajaran perlu berfokuskan silibus berkaitan mata pelajaran peperiksaan demi prestasi pencapaian akademik sekolah.

Akibatnya, pedagogi secara tematik, merentas mata pelajaran dan berteraskan kehidupan tidak dapat diaplikasikan, manakala pelajar gagal menghubung kait ilmu diperoleh di sekolah dalam kehidupan seharian mereka.

Setiap pembaharuan pastinya menjanjikan cabaran. Senario ini pastinya bakal dihadapi pelajar dan ibu bapa terbabit secara langsung dalam pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 ini.

Pasti ramai tertanya, adakah UPSR benar-benar dimansuhkan atau hanya dijenamakan semula? Apakah sistem pentaksiran baharu yang bakal digunakan dan bagaimanakah penilaian untuk kemasukan ke SBP.

Pihak pendidik pula pastinya tertanya-tanya apakah tugasan dan kaedah penilaian baharu yang perlu mereka laksanakan? Sejauh manakah kerumitan tugasan ini, dan adakah ia akan menjadi kelangsungan atau bakal berubah akibat desakan politik serta masyarakat seperti pernah berlaku sebelum ini.

KPM pastinya sudah bersedia mengatasi kegusaran masyarakat dan warga pendidik ini.

Penilaian berasaskan sekolah bakal diperkemas dan diperkukuhkan, manakala sesi libat urus bersama semua pemegang taruh, iaitu ibu bapa dan pendidik akan dilaksanakan secara berkala.

Sistem penilaian holistik pula boleh menggantikan ujian aptitud untuk kemasukan ke SBP dan banyak lagi inisiatif boleh diperkenalkan untuk memastikan kelangsungan langkah berani ini.

Mendepani situasi baharu ini, ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memberikan sokongan kepada pihak sekolah untuk mempelbagaikan aktiviti demi pembentukan potensi murid, selain akademik.

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) berfokuskan bilik darjah kini bakal dilaksanakan dalam kehidupan sebenar pelajar itu sendiri.

Pendidikan melalui pengalaman, pendidikan melalui cabaran, pendidikan keinsanan dan merentas mata pelajaran bakal menjadi teras pedagogi pembelajaran.

Kerja lapangan, muzium, zoo, taman dan akademi sains bakal menjadi bilik darjah baharu kepada pelajar.

Pendidik pula perlu bersedia menyediakan pelajar dengan pengalaman pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.

Akhbar, media sosial, pelbagai media pembelajaran, penaakulan, keprihatinan, adab dan akhlak akan digunakan bersama buku teks untuk melahirkan pelajar holistik seperti diaspirasikan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Besarlah harapan supaya kreativiti guru ini dapat melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang akademik, malah akhlak, sekali gus membina masyarakat Malaysia sejahtera.

Pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 bukanlah bermakna fokus terhadap akademik murid tidak diberikan perhatian.

Sebaliknya, inisiatif ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mengecapi dan membesar sesuai dengan fasa psikologi dan fisiologi kanak-kanak mereka.

Selain potensi intelek, potensi emosi, rohani dan sosial juga dapat dibangunkan dengan seimbang sejajar dengan aspirasi negara.

Ibu bapa pastinya dapat mempelbagaikan kemahiran diminati anak mereka, manakala guru akan lebih bebas berkarya dalam kreativiti PdP mereka.

Syabas dan tahniah KPM kerana mengorak langkah berani dalam melahirkan generasi masa hadapan Malaysia yang seimbang dan holistik. Terima kasih kerana menghidupkan kembali aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Md Amin adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala Dr Ghazali adalah Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment