Thursday, 29 April 2021

PENJELASAN PKSK PERLU DIBUAT BERTERUSAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu lebih kerap menjelaskan bentuk konsep Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) supaya difahami semua pihak terutama guru, ibu bapa dan pelajar.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan, berkata ia bagi membolehkan pelaksanaan konsep pentaksiran baharu itu dilaksana secara terancang dan tidak dilihat terburu-buru tanpa persediaan mencukupi di peringkat pelaksanaannya.

"Guru diharap dapat memantapkan dan meningkatkan kecekapan diri dalam penguasaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) supaya keberkesanan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mencapai objektif dalam pengukuran dan penilaian murid," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, sebagai mengulas keputusan KPM memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun ini.

Mohd Azizee juga mencadangkan sistem PKSK ditambah baik dari semasa ke semasa untuk melihat kemenjadian murid ke Sekolah Khusus adalah mereka yang benar-benar berkelayakan dan memenuhi objektif kewujudan sekolah khusus berkenaan.

Ogos tahun lalu, KPM memperkenalkan PKSK bagi tujuan kemasukan murid ke Sekolah Khusus iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) serta Maktab Tentera Diraja (MTD).

Pelaksanaan PKSK merangkumi tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (20 peratus), Kecerdasan Intelektual (70 peratus) dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).

Kaedah pelaksanaan Ujian Kecerdasan Insaniah dan Kecerdasan Intelektual adalah secara dalam talian, manakala ujian Artikulasi Penulisan secara bertulis.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, memaklumkan pada November lalu bahawa pelaksanaan PKSK bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ditangguhkan serta akan diumumkan KPM kelak.

Menerusi pentaksiran baharu itu, antara kriteria lain diberi penekanan bagi kemasukan ke Sekolah Khusus adalah tahap pembabitan murid dalam aktiviti kokurikulum, sahsiah dan kepemimpinan, selain mengambil kira pelajar golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) atau mereka yang duduk di pedalaman.

Mohd Azizee berkata, pemansuhan UPSR adalah keputusan strategik yang dibuat selepas pelbagai sesi libat urus dilaksana KPM dengan semua pihak yang terkait dengan pendidikan khususnya kesatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan.

"Pengumuman ini perlu disambut dengan positif oleh semua pihak dan melihat kerangka pendidikan negara maju ke hadapan.

"Ia juga membolehkan kerangka fikir guru terhadap murid lebih universal dan melihat setiap murid mempunyai potensi serta bakat yang boleh dikembangkan, sesuai dengan keperluan pendidikan abad ke-21 dan negara menuju revolusi industri 4.0 (IR 4.0)," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Mohd Alif Anas Md Noor, berkata pemansuhan UPSR akan menjadikan sistem PBD lebih terbuka dan relevan kepada semua tahap kemampuan murid.

"Murid akan dinilai dengan lebih konklusif tanpa minda berasaskan peperiksaan yang dilihat terlalu memberi tekanan.

"Kejayaan seseorang murid tidak boleh dinilai menerusi akademik sahaja.

"Kita mesti adil dan saksama dalam penerimaan bahawa kemenjadian murid mesti dinilai secara holistik, sama ada daripada akademik, kokurikulum, ko-akademik, kepemimpinan, sahsiah dan kesihatan fizikal.

"Menerusi PBD yang akan diperkasakan, penilaian lebih terbuka akan dapat dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, GPMS berharap tiada lagi polemik dan pertikaian mengenai keputusan KPM itu dan menggesa semua pihak berganding bahu merencana laluan terbaik buat murid.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment