Pada 2019, laman web Picodi melaporkan sekitar 76 peratus rakyat Malaysia membeli sekurang-kurangnya sebuah buku setahun. Angka ini sedikit rendah berbanding Turki dan Russia.
Sumber sama mendedahkan 22 peratus rakyat Malaysia tidak banyak membaca atau tidak berminat dengan buku. Secara perbandingan, tabiat membaca rakyat Malaysia masih boleh dipertingkatkan.
Antara kemungkinan mengapa tabiat membaca sukar dipupuk adalah ketagihan terhadap peranti elektronik. Masa lapang pelajar sering dipenuhi dengan menonton video, melayari media sosial dan permainan maya.
Membaca turut dilihat membebankan, lalu cuba dielakkan sesetengah pelajar. Stigma sebegini harus diatasi. Pelajar harus sedar kepentingan membaca dalam membangunkan keperibadian unggul, selain membentuk pemikiran dan intelektual pelajar secara lebih menyeluruh.
Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan 10 kemahiran penting dalam pekerjaan ketika era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Antaranya pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah kompleks, yang mana kemahiran ini dapat dibentuk melalui amalan membaca.
Dalam era IR4.0 juga, pembabitan pelajar dalam bidang sains dan teknologi menjadi keutamaan. Namun, penumpuan pelajar terhadap bidang ini semata-mata boleh menyebabkan aspek kemanusiaan terabai.
Seorang saintis dan novelis British, C P Snow menjelaskan pertembungan antara dunia sains dan kemanusiaan pada 1959. Konsep Two Cultures ini menjelaskan pemisahan antara sains dan kemanusiaan yang berlaku dalam masyarakat Barat.
Kurangnya pertalian antara dua budaya intelektual ini mengakibatkan konflik, lalu menyebabkan usaha dalam penyelesaian masalah dunia terbantut.
Kekurangan nilai kemanusiaan penghalang besar ke arah pemupukan nilai insaniah dalam diri pelajar. Pengkhususan terlalu mendalam menyebabkan pelajar tidak cuba menerokai ilmu di luar bidang dan mengasah kemahiran sosial.
Akibatnya, kemahiran berkaitan kemanusiaan seperti cara berkomunikasi dan pemahaman terhadap emosi lemah.
Pembacaan karya bercorak sastera contohnya sarat dengan isu setempat membolehkan pelajar memahami masyarakat sekeliling. Menurut Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, sastera adalah seismograf kehidupan yang mengandungi analisis perihal manusia dan masyarakat.
Melalui penghayatan karya sastera, isu masyarakat daripada pelbagai sudut pandang dapat difahami dengan mendalam. Pemahaman terhadap permasalahan tempatan dan global membolehkan pelajar berfikir secara kritis berkenaan penyelesaian.
Membaca juga dapat memperkayakan penguasaan kosa kata pelajar. Hal ini boleh membantu pelajar yang lemah dalam penulisan karangan dalam mempelbagaikan penggunaan perkataan.
Kemampuan menulis turut bergantung jumlah pembacaan seseorang. Dengan banyak membaca, pelajar lebih cekap mendapatkan serta menyusun idea penulisan.
Pihak sekolah berperanan mewujudkan ekosistem mesra pembaca kepada pelajar. Program sedia ada seperti Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) boleh diperkasakan, selain mewujudkan budaya perbincangan buku.
Pelajar boleh berkongsi bahan bacaan dengan rakan sekelas dan guru. Senarai bahan bacaan di perpustakaan juga harus dikemas kini, selari penerbitan terkini serta minat pelajar. Program bicara buku secara santai juga boleh diadakan melalui kelab membaca di sekolah.
Di rumah, ibu bapa juga memainkan peranan. Perpustakaan mini boleh diwujudkan dengan diisi bahan bacaan bersesuaian kepada anak. Minat anak untuk membaca secara konsisten sehingga ke muka akhir bergantung pemilihan bahan. Bahan bacaan sesuai dengan minat akan lebih memberi motivasi.
Elakkan penggunaan peranti elektronik, sebaliknya membaca secara fizikal melalui buku atau majalah, atau menggunakan peranti khas pembacaan seperti Kindle.
Ringkasnya, amalan membaca sememangnya kaedah terbaik memastikan pelajar dihasilkan sistem pendidikan kebangsaan menyeluruh keperibadiannya.
Dengan membaca, insan seimbang yang mampu berfikiran kritis, mempunyai nilai empati yang tinggi, berpengetahuan dan bersemangat cintakan negara mampu direalisasikan.
Justeru, usaha semua pihak diperlukan bagi menyuburkan budaya membaca dalam kalangan pelajar.
Dr Norshah Aizat Shuaib
Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal,
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment