Saturday, 24 April 2021

MEMBACA TINGKAT ILMU, DAYA PEMIKIRAN

Tarikh 23 April setiap tahun, kita akan menyambut Hari Buku Sedunia. Insentif ini dicetuskan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menggalakkan pembacaan, penerbitan dan hak cipta.

Tarikh ini dipilih bersempena ulang tahun kematian sasterawan tersohor dunia seperti Miguel de Cervantes, William Shakespare dan Inca Garcilaso de la Vega yang banyak menyumbang karya kesusasteraan bermutu tinggi.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan sempena menyambut Hari Buku Sedunia ini. Kita boleh menyumbang buku kepada orang tidak berkemampuan, memberi hadiah buku ilmuwan dan intelektual kepada rakan, selain menceritakan kisah menarik daripada buku cerita kepada anak.

Bagi diri kita pula, cuba membaca buku bukan daripada topik kebiasaan kita. Terokailah tema, gaya penulisan atau genre buku berbeza. Luaskan pandangan dan cubalah suatu makalah baharu.

Sekiranya ramai memulakan trend sebegini, minat membaca akan kembali bertaut dalam hati masyarakat.

Membaca menjadi amalan mulia hingga ayat al-Quran pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah Iqra yang bermaksud 'bacalah.'

Ayat daripada surah al-'Alaq ini sangat signifikan dalam kehidupan kerana Allah SWT menerangkan penciptaan manusia daripada sesuatu yang hina kemudian memuliakan kita dengan kebolehan membaca, menulis dan meneroka ilmu pengetahuan.

Namun, manusia lupa akan kejadiannya dan tidak bersyukur terhadap nikmat diberikan serta melampaui batas dalam perbuatan. Manusia berasakan diri mereka serba cukup dan sempurna.

Umat Islam yang memegang teguh dengan ajaran Islam tidak menolak ilmu keduniaan seperti matematik, sains dan teknologi. Terdapat ilmuwan Islam yang tersohor seperti Ibnu Sina, terutama dalam bidang perubatan; al-Khawarizmi (matematik ); al-farabi (sains) dan Jabir ibn Hayyan (kimia) yang menjadi tonggak pengetahuan pada zaman mereka.

Hasil penulisan mereka diterjemahkan berulang kali ke pelbagai bahasa. Buku ilmuwan Islam menjadi rebutan dari seluruh pelosok benua. Mereka juga menjadi pelita bagi membuka jalan pada zaman kegelapan masyarakat Barat ketika itu. Tamadun Islam menjadi teguh, terkenal dan menjadi rujukan hingga serata dunia.

Inilah kepentingan membaca dan berilmu. Tanpa membaca kita akan mudah tertipu, percaya sesuatu yang tidak sahih, mundur dan akan menjadi malas.

Dengan ilmu pengetahuan berkat dan luas, negara akan dapat dibina, manakala pemikiran rakyat akan menjadi lebih maju. Membaca buku akan memberi ketenangan, kepuasan dan melahirkan perasaan ingin tahu.

Daya ingatan dan memori kita akan menjadi semakin baik kerana sentiasa dirangsang dengan fakta dan imaginasi. Bersempena dengan Hari Buku Sedunia, seluruh rakyat Malaysia wajar membeli sebuah buku dan mula membaca

Prof Madya Dr Azrul Hafiz Abdul Aziz
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment