Negara berkemungkinan berdepan gelombang keempat penularan COVID-19 susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.
Justeru, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian masih menjadi kaedah terbaik perlu dilaksanakan ketika pandemik belum reda.
Menjadi keperluan kepada tenaga pengajar untuk melengkapkan silibus pembelajaran di sekolah dan universiti masing-masing. Jika negara maju, pelaksanaan pembelajaran dalam talian sudah lama dipraktikkan.
Meskipun berhadapan pelbagai cabaran dalam melaksanakannya, Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tetap komited merencanakan pelbagai kaedah dan strategi agar proses PdPR berjalan sempurna.
Kebolehcapaian internet sudah pasti antara perkara penting berkait kelas dalam talian. Oleh itu, perlu ada usaha mengenal pasti tahap kebolehcapaian internet setiap pelajar untuk membantu tenaga pengajar menentukan kaedah bersesuaian dapat diambil.
Tidak dapat dinafikan pelbagai kekangan timbul, terutama bagi pelajar di kawasan pedalaman yang kurang mendapat liputan rangkaian akses internet. Oleh itu, tenaga pengajar dan pelajar perlu menggunakan platform bersesuaian seperti media sosial supaya dapat berhubung tanpa gangguan.
Ini amat penting bagi mengelakkan pelajar tertinggal sesi pembelajaran, sekali gus berupaya merangsang sistem kognitif pelajar secara berterusan.
Selain itu, pembelajaran kokurikulum universiti antara terjejas dalam melaksanakan aktiviti secara bersemuka. Silibus ini menawarkan pelbagai teras seperti sukan, kebudayaan, uniform, seni, pengurusan, inovasi dan keusahawanan.
Setiap pelajar perlu mendaftar dua kursus kokurikulum berbeza dalam semester berlainan secara dalam talian. Mereka perlu lulus dalam dua kursus berjumlah dua jam kredit untuk membolehkan bergraduat.
Namun, dengan kecanggihan teknologi sedia ada, pembelajaran dan aktiviti kokurikulum berubah secara drastik dengan pengajar perlu turut sama menguasai ilmu teknologi maklumat dalam menangani kekangan masalah pembelajaran.
Kebelakangan ini, pelbagai aktiviti kokurikulum berjaya dilaksanakan universiti seperti program Webinar COVID-19 anjuran Majlis Kokurikulum Awam Malaysia (UniCC) dan Borak Santai Kopi O anjuran Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Program ini terbuka kepada semua penonton menggunakan Facebook sebagai medium agar pelajar mengikut aktiviti kokurikulum terus mendapat maklumat dan memenuhi jam kredit.
Tenaga pengajar melalui teras masing-masing menggunakan kreativiti dalam memberi tugasan kepada pelajar.
Justeru, universiti di negara ini diminta agar terus mengorak langkah dalam memperkukuhkan dan mempelbagaikan kaedah PdPR termasuk aktiviti kokurikulum.
Tiada mustahil jika kita sama-sama berganding bahu memastikan setiap halangan diselesaikan seperti pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Melihat penularan wabak COVID-19 secara positif, ia mencetuskan semangat dan usaha luar biasa bagi warga pendidik dalam memastikan semua pelajar tidak ketinggalan.
Tenaga pengajar berusaha menjadi kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran. Mereka tanpa segan silu berguru menggunakan pelbagai medium termasuk YouTube bagi meningkatkan keupayaan kendiri untuk mendidik pelajar seiring teknologi semasa.
Selari dengan norma baharu, PdPR secara dalam talian memerlukan komitmen dan sokongan tinggi.
Bagi tujuan itu, ibu bapa perlu memahami normal baharu pendidikan, melengkapkan pelajar dengan teknologi seperti komputer riba, telefon dan akses internet agar mereka dapat menghadiri kelas dalam talian tanpa risau.
Usaha luar biasa dan komitmen pelajar tidak berbelah bahagi juga penting dalam pelaksanaan PdPR.
Pembabitan mereka bukan sekadar mendengar syarahan pengajar, bahkan memberikan maklum balas dan menyiapkan tugasan diberikan dengan sempurna.
Sekiranya pelajar tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam aktiviti kokurikulum, ia hanya bertepuk sebelah tangan. Malah, ilmu disampaikan tidak menjadi pengetahuan kepada pelajar.
Tenaga pengajar perlu memberikan khidmat pendidikan terbaik ketika wabak COVID-19 kerana ia memerlukan daya usaha dan tenaga luar biasa semua pihak.
Dr Muhamad Saufi Che Rusuli
Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Malaysia Kelantan
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment