Thursday, 10 February 2022

PEMERIKSAAN SUHU BADAN TIDAK DIWAJIBKAN DI PREMIS INSTITUSI PENDIDIKAN KPM BERMULA ESOK

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Pemeriksaan suhu badan di premis institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak diwajibkan berkuat kuasa esok.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagaimanapun, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.

"Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon supaya memastikan anak atau anak jagaan mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah," menurut kenyataan itu.

Ketetapan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis bermula esok.

KPM berkata murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif serta tinggal serumah, tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

Menurutnya tahap kesihatan murid di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.

"KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM," katanya.

BERNAMA ONLINE

Thursday, 3 February 2022

SYOR LAKSANA SEMULA PdPR ELAK PENINGKATAN KLUSTER PENDIDIKAN

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diharap dapat menilai semula pembelajaran secara bersemuka. Ini susulan penularan COVID-19 yang masih belum menunjukkan tanda ia sudah stabil atau berada dalam keadaan ‘memuaskan’.

Sebaliknya, kemunculan varian baharu seperti Omicron menyebabkan seluruh dunia kelam kabut. Justeru, berdasarkan perkembangan itu, amat molek sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan semula bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pelajar.

Malah, kini kita melihat peningkatan jumlah jangkitan dan kemunculan kluster pendidikan. Berdasarkan perkembangan ini, adalah wajar pihak kerajaan memberi pertimbangan untuk melaksanakan semula PdPR sehingga satu tempoh sehingga keadaan benar-benar sesuai dan selamat.

Kita tidak boleh terus membiarkan pelajar menghadapi risiko jangkitan sama ada dengan berada di kawasan sekolah, asrama, kampus atau ketika bergerak ke tempat mereka belajar. Apa yang penting kini adalah keselamatan dan kesihatan pelajar.

Paling penting, mereka perlu berasa selamat dan selesa ketika berada di sekolah dan universiti bagi memudahkan untuk fokus sepenuhnya pada pembelajaran.

Tidak menjadi satu masalah yang besar untuk melaksanakan semula PdPR memandangkan kita sudah pun berbuat demikian beberapa kali sebelum ini. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dan rungutan berhubung PdPR, keadaan itu masih boleh ditambah baik.

Selain itu KPM dan KPT juga perlu wujudkan pelan B sekiranya jumlah jangkitan di sekolah dan universiti semakin meningkat. Pelan B ini perlu dihebahkan kepada semua pelajar dan ibu bapa dengan segera supaya mereka dapat mengambil segala langkah awal untuk melakukan proses persediaan.

Perlu diketahui, setiap kali sesi pembukaan sekolah ia mengundang implikasi besar kepada pelajar dan ibu bapa terutama dari aspek kewangan seperti membeli peralatan serta pakaian sekolah. Begitu juga ketika pembukaan universiti. Beban kewangan ini akan menekan pelajar daripada keluarga kurang mampu.

Sekiranya sekolah dan universiti terpaksa ditutup selepas semua persiapan dibuat atau selepas pelajar tiba di kampus, ia akan menimbulkan rasa kecewa dan keadaan kelam kabut terutama membabitkan pelajar yang datang dari jauh.

Apapun keputusan yang perlu diambil, aspek keselamatan dan kesihatan pelajar seharusnya diberikan keutamaan. Hal ini termasuk persiapan emosi dan mental.

Varian baharu akan sentiasa muncul dalam kehidupan kita. Justeru KPM dan KPT perlu merangka polisi jangka panjang berhubung dasar pendidikan. Misalnya menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian sebagai dasar utama sistem pendidikan negara kita.

Walaupun sudah terdapat sedikit usaha yang diambil oleh pihak kerajaan sejak beberapa tahun yang lalu, namun tidak semua benar-benar menggunakannya. Hanya apabila keadaan sudah menjadi ‘terpaksa’ akibat penularan virus COVID-19 bermula pada awal tahun 2020, barulah pelbagai aplikasi dan teknologi sedia ada berhubung PdPR dilakukan.

Dari sudut positifnya, PdPR memberi banyak faedah dan manfaat kepada semua pihak terutama dalam aspek penjimatan kos, masa dan tenaga.

Walaupun ada beberapa kelemahan dari sudut proses pengajaran dan pembelajaran misalnya kekurangan capaian internet serta ketiadaan kemudahan atau aplikasi bersesuaian, namun ia tidak seharusnya dijadikan sebagai batu penghalang.

Kementerian berkaitan perlu bertindak menyiasat rungutan yang diterima mereka sama ada daripada guru, pensyarah dan pelajar. Semua itu diambil perhatian dan diberi penambaikan bagi membolehkan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan dengan jayanya dalam negara kita.

Dr Muzaffar Syah Mallow,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BERITA HARIAN ONLINE