Friday, 29 April 2022

KURANG BEBAN TUGAS GURU LENGKAP VAKSIN - NUTP

Senarai baharu kelonggaran pengoperasian sekolah berkuat kuasa 1 Mei selaras pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR: Kebenaran kepada guru tidak divaksinasi kembali mengajar secara bersemuka di kelas dan berada di bilik guru disambut baik sekali gus membantu mengurangkan beban tugas tambahan digalas guru lain.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata pihaknya menyokong penuh keputusan itu dan ia tidak perlu lagi dijadikan isu kerana negara juga dalam fasa peralihan ke endemik.

"NUTP menyambut baik keputusan ini, kita dapati sekarang ini beban tugas guru tidak divaksin ini terpaksa ditanggung oleh guru lain yang lengkap vaksin menggantikan mereka. Ini tidak adil kepada mereka yang patuh peraturan.

"Jadi langkah membenarkan guru tak ambil vaksin untuk hadir ke sekolah, mengajar dan berada di bilik guru bukan lagi satu isu atau masalah, sebaliknya ianya akan diterima baik guru lain dan pihak berkaitan," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas senarai baharu kelonggaran pengoperasian sekolah berkuat kuasa 1 Mei diumum Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin semalam selaras pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan.

Antaranya penjarakan fizikal dalam kelas dimansuh, makan di kantin dan kafeteria dibenarkan serta kebenaran kepada guru tidak divaksinasi mengajar secara bersemuka di kelas dan berada di bilik guru.

Aminuddin berkata, pengalaman selama dua tahun menghadapi pandemik juga pastinya memberi pengajaran dan pengetahuan kepada semua pihak langkah-langkah dan SOP yang peru dipatuhi.

"Kemahiran untuk mengawal diri, mematuhi SOP mengelak jangkitan rasanya semua pihak sudah faham sebab sudah dua tahun melaluinya, semua sudah ada pengetahuan jadi bagi kami tidak ada isu untuk guru ini kembali mengajar," katanya.

Selain itu katanya, pemansuhan penjarakan fizikal juga mampu membantu guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.

"Pihak sekolah juga dapat melaksanakan aktiviti ko-kurikulum sekali gus mampu mencapai objektif pelaksanaan memberi manfaat kepada pelajar. Apa yang diumum kementerian hampir keseluruhannya adalah harapan guru dan sekolah," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 28 April 2022

GURU TIDAK DIVAKSINASI DIBENAR MENGAJAR BERSEMUKA

PUTRAJAYA: Guru yang tidak divaksinasi dibenar mengajar secara bersemuka di kelas dan berada di bilik guru.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kumpulan guru terbabit perlu mematuhi Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah terutama berkaitan pemakaian pelitup muka.

"Seperti mana kehadiran semula pelajar, guru dan warga sekolah pada 1 Mei ini, guru yang tidak divaksin dibenarkan mengajar di sekolah.

"Secara umumnya ia ditetapkan bermula 1 Mei untuk menyelaraskan apa yang diuruskan dan ada yang boleh diteruskan pada masa sekarang. Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan surat pemakluman melalui sekolah," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Berkaitan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibatalkan sebelum ini, Radzi berkata, pemakluman mengenainya akan diberi pada masa terdekat.

Ditanya mengenai peratusan vaksinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang hanya mencapai 45 peratus, beliau berkata, ibu bapa boleh melakukannya sehingga 15 Mei depan.

"Dalam konteks ini soal peratusan vaksinasi PICKids juga diambil kira. Ibu bapa diberi ruang mencukupi hingga 15 Mei untuk memastikan anak mereka divaksinasi dan ia antara ketetapan pengoperasian semula sekolah.

"Sebelum ini KPM dipersoalkan kerana tergesa-gesa buka sekolah dan tidak tunggu adanya vaksin untuk murid sekolah rendah dan kenapa tidak tunggu mereka mendapatkan vaksin.

"Jadi KPM sebelum ini mengambil ketetapan melaksanakan penggiliran, berikutan keadaan ketika itu, vaksin belum ada di sekolah. Namun, apabila PICKids mula dilaksanakan pada Februari, kadar peratusan agak rendah.

"Sebab itu dalam keadaan ini, kita mengumumkan pembukaan sekolah tanpa penggiliran pada 14 April.

"Kita mohon semua pihak mematuhi semua ketetapan ini demi memastikan sektor pendidikan dapat dibuka sepenuhnya," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 26 April 2022

GURU BERSARA AWAL RUGIKAN NEGARA, JEJAS SISTEM PENDIDIKAN

Ada guru berhasrat untuk bersara pilihan kerana ingin memasuki profesion lain yang menawarkan perkhidmatan lebih baik.

Sebagai kakitangan sektor awam, guru boleh membuat pilihan untuk bersara awal. Mengikut peraturan, usia persaraan ialah apabila genap usia 60 tahun, namun begitu jika ingin bersara lebih awal, boleh memberi notis kepada majikan mereka.

Seperti didakwa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), ramai dalam kalangan guru memohon bersara awal setiap tahun. Namun demikian tiada angka tepat bagi menyokong dakwaan itu.

Jika dakwaan ini benar, sudah tentu ia boleh menjejaskan sistem pendidikan negara jika ramai guru dedikasi dan berpengalaman membuat keputusan bersara awal.

Jawatan guru adalah kumpulan iktisas dan antara profesion penting dalam sektor awam. Perkhidmatan ini di bawah urus tadbir Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Dari segi perkhidmatan dan gaji, kerjaya guru menawarkan kadar sangat menarik. Mula bekerja diletakkan dalam gred DG41 dan boleh mencapai gred tertinggi JUSA C dalam kumpulan guru cemerlang.

Kenaikan pangkat diperoleh selepas berkhidmat beberapa tahun, disahkan dalam jawatan dan menerima penilaian prestasi kerja yang baik.

Difahamkan setiap tahun ratusan ribu anak-anak muda lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) memohon untuk memasuki perkhidmatan pendidikan.

Keputusan CGPA yang baik diperlukan untuk membolehkan nama mereka disenarai pendek dan terpilih menyertai profesion perguruan. Selepas itu perlu menduduki ujian MTeST atau Malaysian Teacher Selection Test dan hanya mendapat markah terbaik dipanggil untuk temu duga.

Ternyata untuk menjawat jawatan guru bukanlah mudah kerana hanya mereka yang cemerlang akan terpilih. Justeru, tidak mudah untuk membuat keputusan meletakkan jawatan awal tanpa alasan kukuh.

Seorang guru perlu berfikir beberapa kali sebelum menghantar notis meletak jawatan. Tambahan pula jika mereka masih mempunyai hutang pinjaman perumahan, kenderaan atau pinjaman kewangan daripada koperasi atau bank.

Bagi yang mempunyai anak kecil atau masih dalam alam persekolahan perlu memikirkan perbelanjaan masa depan pendidikan anak mereka. Tanggungan kewangan akan bertambah bagi setengah orang apabila perlu menyara ibu bapa sudah tua atau anggota keluarga lain yang memerlukan.

Lebih membebankan jika isteri tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Oleh itu ura-ura untuk meletakkan jawatan tanpa tujuan yang jelas eloklah dilupakan.

Secara umumnya, setiap tahun ada guru memohon bersara awal. Kebanyakan yang memohon ini dipengaruhi faktor kesihatan. Sebagai insan biasa, apabila meningkat usia 40-an atau 50-an ramai mula menghadapi masalah kesihatan.

Penyakit biasa dialami ialah darah tinggi, sakit jantung, gout, kencing manis, buah pinggang atau gangguan saraf. Bagi yang agak serius dan kronik terpaksa berulang alik ke hospital dan kerap mengambil cuti sakit.

Mereka tidak lagi mampu menjadi guru yang produktif kerana tidak dapat menjalankan tugas secara normal. Oleh itu pilihan terbaik ialah memohon bersara awal.

Tindakan ini membolehkan mereka mendapat rawatan, rehat mencukupi dan tidak pula menjejaskan produktiviti sekolah tanpa kehadiran mereka.

Ada juga guru merasakan perkhidmatan mereka cukup lama dan ingin meninggalkan profesion ini. Kebiasaannya mereka terdiri daripada guru wanita apabila semua anak meningkat dewasa, mempunyai pekerjaan serta berkeluarga, manakala suami pula dapat menyara perbelanjaan harian.

Namun persaraan awal ini suatu kehilangan kepada negara dan sistem pendidikan negara kerana mereka secara hakikatnya masih lagi produktif.

Ada guru berhasrat untuk bersara pilihan kerana ingin memasuki profesion lain yang menawarkan perkhidmatan lebih baik terutama dalam sektor swasta atau menjalankan perniagaan sendiri.

Dalam usia muda dan masih bertenaga, inilah masanya untuk berpindah ke bidang lain. Berdasarkan kelulusan, pengalaman dan minat maka bidang baharu ini akan memberi suatu keyakinan dan kepuasan dalam diri mereka.

Sementara itu ada mengatakan bersara pilihan ini disebabkan bebanan tugas terutama kaedah atau mod pengajaran baharu akibat COVID-19. Hal ini tidak wajar dibangkitkan kerana semua guru adalah terlatih dan mempunyai etika kerja. Perkhidmatan perguruan adalah 'khidmat nasional'. Mereka sedia berkhidmat di mana saja termasuk di pulau kecil dan kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan asas mencukupi.

Sebagai orang terlatih dalam bidang perguruan, maka mempelajari sesuatu kaedah pengajaran baharu bukan isu besar kepada mereka. Justeru untuk memperbaiki tadbir urus dan perkhidmatan perguruan, satu kajian boleh dilakukan jika benar ramai dikesan mahu bersara awal.

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 25 April 2022

'KPM UMUM KELONGGARAN SOP DUA HARI LAGI'

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, beramah mesra bersama petugas BH dan NST ketika Majlis Ihya Ramadan bersama media di Putrajaya

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 selepas pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, Rabu ini.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya menyedari ramai ingin melihat sektor pendidikan dibuka dengan lebih meluas.

Katanya, KPM mengambil pendekatan yang cepat membabitkan soal pembukaan semua sekolah.

"Insya-Allah, kita menunggu pengumuman terkini KKM terlebih dahulu.

"Selepas itu, kita selaraskan perkara yang dibincangkan dengan KKM dan akan mengumumkan garis panduan 4.0 dalam masa terdekat," katanya pada Majlis Ihya Ramadan bersama media di sini, hari ini.

Radzi berkata, KPM tidak berhasrat menutup semula sekolah selepas ini berikutan operasi pelbagai sektor lain sudah dilonggarkan.

"Itu sebabnya kita lebih cermat. Biar lambat asalkan selamat sebab bila kita buka nanti Insya-Allah kita dapat terus beroperasi dan sekolah tidak perlu ditutup lagi.

"Tutup sekolah ini penat. Tutup kena marah, buka kena marah, tukar tarikh kena marah, buat pengumuman kena marah," katanya.

Pada 17 April lalu, Radzi dilaporkan berkata, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 bakal diumumkan bulan ini.

Garis panduan berkenaan termasuk aktiviti kokurikulum dibenarkan antara sekolah berbanding sebelum ini hanya berlangsung dalam sekolah, selain penggunaan kantin.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, kelonggaran beberapa SOP COVID-19 akan diumumkan pada Rabu ini.

BERITA HARIAN ONLINE

KPM TELITI PUNCA GURU BERSARA AWAL

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Majlis Pelancaran GEGAR-18 (Generation End Game Anti Rokok-18) di SMK Bandar Seri Putra, Bangi.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti punca guru bersara awal dan penjelasan mengenai isu berbangkit akan dijelaskan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata berdasarkan data KPM, maklumat berhubung pola guru bersara awal antara 2017 sehingga 2022 hampir sama.

Justeru, katanya KPM akan menentukan apakah pendekatan yang paling sesuai bagi menangani isu guru bersara awal.

"KPM melihat trend guru bersara awal sama sejak 2017 dan bukan naik mendadak kebelakangan ini.

"Namun KPM akan meneliti pendekatan yang lebih sesuai untuk memastikan isu guru bersara awal dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Generasi Penamat Anti Rokok 18 (GEGAR-18), di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, di Bangi, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam satu kenyataan pada 18 April lalu menganggarkan, lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun kebelakangan ini, jauh melebihi statistik KPM.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021 iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari tahun sama.

Sementara itu, mengulas mengenai guru yang suka melakukan rakaman video secara langsung semasa mengajar dalam kelas, Radzi berkata, pihaknya sudahpun memaklumkan kepada guru supaya tidak berbuat demikian.

Justeru, beliau berkata KPM akan mengeluarkan satu notis makluman kepada guru berhubung etika sewaktu mengajar.

"Ada guru yang rakam secara langsung ketika mereka mengajar dalam kelas. Ia diperincikan di peringkat kementerian membabitkan guru dan murid.

"Kita sedang memperincikan apa pendekatan paling sesuai dan kita pun sudah maklumkan kepada guru supaya elak berbuat demikian," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE


Wednesday, 20 April 2022

PERTANDINGAN FOTO KREATIF (BERKUMPULAN) @ IPGKTB



Sempena Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2022, Perpustakaan Za'ba akan menganjurkan Pertandingan Foto Kreatif Secara Berkumpulan @ IPGKTB

Pertandingan ini terbahagi kepada 2 kategori iaitu Pensyarah & Staf (Jabatan/Unit) dan Pelajar (Kelas)

Syarat Penyertaan:

1. Terbuka kepada semua warga IPGKTB

2. Gambar penyertaan perlu dibuat secara berkumpulan

3. Konsep adalah mengikut kreativiti jabatan/unit dan kelas

4. Muatnaik imej anda di facebook beserta hashtag #malaysiamembaca #ipgktbmembaca #zabalibrary

5. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada staf Perpustakaan Za’ba IPGKTB

Monday, 18 April 2022

JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT



Program Jom Baca Bersama 10 Minit merupakan upacara tahunan yang melibatkan semua rakyat Malaysia termasuk agensi kerajaan, swasta dan NGO.

Program ini merupakan program utama yang dijalankan sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang bertujuan untuk meningkatkan amalan dan budaya membaca di kalangan masyarakat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, bagi meraikan sambutan tersebut Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2022 peringkat IPGKTB pada ketetapan berikut:

Tarikh : 21 April 2022 (Khamis)

Masa : 11.00 pagi – 11.10 pagi (Bacaan serentak semua warga dan pelajar IPGKTB)

Saturday, 16 April 2022

SESI PERSEKOLAHAN KEMBALI BIASA MULAI ESOK


KOTA BHARU: Sesi persekolahan kembali tanpa sistem penggiliran mulai esok, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata esok adalah tarikh penting bagi warga Kementerian Pendidikan (KPM) kerana murid yang hadir secara penggiliran tidak perlu lagi menggunakan sistem berkenaan.

Katanya, kehadiran ke sekolah dan pengoperasian sekolah adalah sama seperti sebelum pandemik COVID-19.

"Mungkin kita akan melihat bagaimana anak-anak datang ke sekolah dan melihat keadaan di luar yang semakin terbuka membuatkan ada yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Jadi, saya menyeru jasa baik pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan guru bagi memastikan kali ini sekolah akan dibuka dan tidak lagi ditutup.

"Penat tutup kena marah, buka kena marah, buat penggiliran kena marah, tak buat kena marah, serba tidak kena. Dalam keadaan yang hampir pulih, apa yang penting kita semua mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ihya' Ramadan Menteri Kanan Pendidikan bersama warga Pendidikan Kelantan, di sini, hari ini.

Pada masa sama katanya, pihaknya akan mengeluarkan garis panduan 4.0 dalam masa terdekat dengan keadaan lebih terbuka, namun memastikan segala ketetapan dibuat dapat dipenuhi.

"Ada orang tanya bila nak keluarkan garis panduan, ada yang cakap KPM lembab sedangkan nak melaksanakan sesuatu perkara bukan boleh tukar begitu sahaja.

"Kita perlu berbincang satu persatu termasuk dengan Kementerian Kesihatan mengenai pendekatan yang perlu dilaksanakan dan apa garis panduan yang perlu dimasukkan.

"Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan keluarkan garis panduan 4.0," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE


Tuesday, 5 April 2022

BANGUNAN TAMBAHAN SJKC KHAI CHEE TIDAK DAPAT KELULUSAN KPM

Pembinaan bangunan tambahan di SJKC Khai Chee, Segambut, di sini tidak mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan berikutan tidak memenuhi syarat pematuhan tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan.

KUALA LUMPUR: Pembinaan bangunan tambahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Segambut, di sini tidak mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan (KPM) berikutan ia tidak memenuhi syarat pematuhan tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya berkata, sehingga kini kementerian itu tidak pernah menerima permohonan lengkap yang memenuhi syarat yang ditetapkan daripada pihak Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) bagi membolehkan pertimbangan dibuat terhadap pembinaan bangunan tambahan itu.

Malah menurut KPM, pihak LPS juga tidak mengendahkan dua surat arahan pemberhentian kerja terhadap bangunan itu yang pernah dikeluarkan pada 2014 dan 2015 dan bertindak meneruskan pembinaan terbabit sehingga ia siap sepenuhnya.

"KPM ingin memaklumkan bahawa SJKC Khai Chee adalah sebuah sekolah kerajaan di atas tapak tanah hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) seluas 0.68 hektar.

"Bermula pada 2012 hingga 2014, LPS melalui Guru Besar SJKC Khai Chee memohon untuk mendirikan satu blok bangunan di atas tanah persendirian sebagai bangunan tambahan kepada sekolah itu.

"Memandangkan SJKC Khai Chee adalah sekolah kerajaan yang dibina di atas tanah milik PTP, cadangan pembinaan bangunan tambahan perlu memenuhi syarat pematuhan tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan namun ia tidak dilakukan," katanya melalui kenyataan, di sini.

Terdapat petisyen yang diwujudkan dibuat menggesa KPM untuk membenarkan SJK(C) Khai Chee menggunakan bangunan baharu dan menangguhkan pengoperasian sekolah secara dua sesi.

Sehingga kini petisyen yang mensasarkan 100 tandatangan itu baharu ditandatangani lapan individu.

Menurut KPM, sebanyak tiga syarat perlu dipenuhi bagi membolehkan permohonan itu dipertimbangkan iaitu pihak sekolah perlu mengemukakan bukti bahawa Chevron Malaysia Limited sudah membuka atau melupuskan kaveat ke atas tapak berkenaan.

Selain itu, pihak sekolah perlu mengemukakan semula skop projek supaya mematuhi Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Pembangunan oleh Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos bagi Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

"LPS juga perlu mengemukakan surat jaminan untuk menyerahkan tapak dan bangunan baharu kepada kerajaan memandangkan sekolah ini adalah sekolah kerajaan.

"Laporan dan tinjauan yang dibuat oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 2014 mendapati pembinaan bangunan tambahan dimulakan di tapak yang dicadangkan tanpa mendapat kelulusan daripada KPM.

"Sehubungan dengan itu, satu surat arahan pemberhentian kerja telah dikeluarkan oleh JPWPKL pada 8 Disember 2014 berikutan bangunan itu dicadangkan untuk digunakan sebagai sekolah kerajaan," katanya.

Menurut KPM, semakan pihak JPWPKL mendapati LPS masih meneruskan kerja pembinaan bangunan itu menyebabkan surat kedua arahan pemberhentian kerja dikeluarkan kepada pihak LPS pada 7 September 2015.

Katanya, arahan pemberhentian ini juga tidak dihiraukan oleh pihak LPS dan kerja pembinaan diteruskan sehingga bangunan tersebut siap dibina.

"KPM menghargai usaha masyarakat yang turut menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara namun pihak kementerian ingin menegaskan tindakan LPS yang tidak menghiraukan teguran dengan terus membina bangunan tambahan di tanah persendirian adalah tidak wajar.

"KPM tidak boleh didesak oleh mana-mana pihak untuk menerima apa-apa bangunan sebagai sekolah kerajaan kerana kementerian tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE


TIP KENALI CIRI-CIRI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Foto hiasan

Kita selalu mendengar mengenai individu yang memiliki tahap kecerdasan (intelligence quotient - IQ) yang tinggi. Misalnya ahli fizik Stephen Hawking memiliki skor IQ 160, manakala pemain catur terkemuka Gary Kasparov, 194.

Umumnya mereka yang dianggap pintar dan cerdas ini memiliki tahap kecerdasan di atas 130. Istilah pintar cerdas pertama kali digunakan oleh Francis Galton pada tahun 1869, manakala konsep kepintaran berasal daripada istilah kecerdasan atau 'intelligent'.

Individu yang pintar cerdas ini didefinisikan sebagai mereka yang memiliki keupayaan pembelajaran dan perkembangan melebihi tahap normal. Selain itu ia juga merujuk kepada keupayaan seseorang melakukan penaakulan iaitu kebolehan berfikir dengan logik dan mempunyai fungsi kognitif yang hebat.

Bagaimanapun, setiap individu yang dikategorikan sebagai pintar cerdas ini memiliki domain kebolehan tersendiri iaitu terbahagi kepada intelektual, akademik, verbal, kemahiran sosial, muzik, kemahiran fizikal dan kecerdasan emosi.

Ada sesetengah kanak-kanak ini disifatkan sebagai berbakat atau 'gifted'. Ia merujuk kepada kebolehan semula jadi yang terdapat dalam diri individu.

Namun, tidak semua ibu bapa mampu mengenal pasti kanak-kanak pintar. Justeru sekolah rendah dilihat sebagai asas utama kepada pengesanan keupayaan mereka berdasarkan perkembangan aktiviti pembelajaran. Namun adakala kepintaran mereka disalahertikan menyebabkan murid tersisih. Justeru peranan ahli psikologi diperlukan untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar.

Dalam mengenal pasti keupayaan mereka, ia mesti berdasarkan ciri-ciri psikologi, ingatan dan pemikiran logik yang ditunjukkan, selain menerusi pembelajaran mereka.

Secara umum terdapat enam kategori kanak-kanak:

1. Kategori kanak-kanak berbakat

Kanak-kanak pintar cerdas kategori ini sangat mudah untuk dikenali. Umumnya mereka sering disukai oleh guru dan rakan-rakan sebaya. Hasil pencapaian akademik kanak-kanak ini selalunya tinggi. Namun mereka kurang gemar berdikari dan lebih suka untuk bergantung harap kepada orang lain.

2. Kreatif

Kanak-kanak dalam kategori ini mempunyai sifat kreativiti yang tersendiri. Namun tingkah laku mereka boleh berubah menjadi degil jika kurang diberi perhatian oleh ibu bapa mahupun guruguru. Oleh yang demikian, kanak-kanak seperti ini perlu sentiasa diberi motivasi dan galakan.

3. Mudah cemas

Kanak-kanak kategori ketiga ini kebanyakannya adalah kanak-kanak perempuan. Mereka mudah cemas dan tidak berasa selamat. Ini adalah kerana wujudnya konflik dalam sosial dan kejayaan akademik. Mereka selalu mengalami kemurungan kerana tidak yakin bahawa bakat yang dimiliki dapat diketengahkan.

4. Dalam kelompok keciciran

Mereka dalam kumpulan keempat dikenali sebagai kanak-kanak yang keciciran. Kanakkanak ini mempunyai pencapaian yang rendah dalam pelajarannya. Tambahan mereka ini kurang dorongan dan motivasi. Ini disebabkan mereka mengikuti program yang tidak sesuai dengan mereka. Oleh yang demikian, program yang bersesuaian perlu diberikan kepada mereka.

5. Sulit belajar

Kategori kelima ini umumnya mempamerkan kesulitan dalam pembelajaran sama ada dari segi fizikal dan emosi. Kanak-kanak kategori ini kurang diberi perhatian dan potensi serta bakat mereka dipersiakan. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak pintar cerdas yang kurang upaya dari aspek fizikal mungkin memiliki kecerdikan pada aspek pembelajaran tetapi tidak dipedulikan menyebabkan kepandaiannya itu terabai.

6. Berautonomi

Kanak-kanak berautonomi iaitu mereka yang mempunyai cara mereka yang tersendiri. Mereka tidak mudah bergantung harap daripada orang lain. Kanak-kanak seperti ini akan terus mengembangkan potensi dari dalam dirinya jika terdapat program yang bersesuaian dengan mereka.

Bagaimana mengenali ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas?

Kanak-kanak pintar cerdas memiliki ciri-ciri kepandaian berfokus iaitu hanya pandai dalam sesuatu bidang tetapi pencapaian normal untuk bidang-bidang yang lain. Perkara ini dinamakan 'asynchronous' yang bermaksud tidak sekata atau tidak berlaku mengikut peringkat yang sepatutnya.

Ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas juga boleh dibahagikan kepada aspek kognitif, kemahiran fizikal, tingkah laku, intelektual, akademik, verbal, kecerdasan emosi dan kemahiran bersosial.

Ia boleh diperjelaskan berdasarkan pembahagian berikut:

Kognitif

- Ingatan yang kuat.

- Berminat kepada sesuatu yang kompleks dan mencabar.

- Memproses maklumat dengan cepat.

Kemahiran fizikal

- Kebolehan fizikal dan mental yang berbeza.

Tingkah laku

- Gigih serta berorientasikan maklumat.

- Pengamatan yang luar biasa.

- Sensitiviti yang tinggi berbanding yang lain.

- Rasa humor yang tinggi.

Intelektual

- Cepat belajar.

- Berminat memerhatikan alam.

- Mengingat dengan cepat dan tepat.

- Pengetahuan mendalam berbanding kanak-kanak lain yang sebaya.

- Memori yang tinggi.

Pencapaian akademik

- Tahap kemampuan membaca, mengira dan penulisan lebih tinggi.

- Memperlihatkan kemahiran dalam satu atau dua subjek.

- Menguasai isi kandungan pelajaran.

- Prestasi pencapaian akademik yang tinggi.

Verbal

- Tahap pertuturan yang jelas dari segi perbendaharaan kata dan tatabahasa.

- Mampu bercerita dengan spontan.

- Keupayaan menyampaikan idea dan maklumat dengan jelas.

- Penggunaan perbendaharaan kata yang betul.

- Penguasaan bahasa yang tinggi.

Kecerdasan emosi

- Lebih peka terhadap kritikan.

Kemahiran bersosial

- Mempunyai nilai empati yang tinggi.

- Mempunyai tahap keinginan yang lebih tinggi dalam sesuatu permainan.

- Mempunyai kemahiran dalam kepimpinan.

- Berkawan dengan orang yang lebih dewasa.

Dr Madhyazhagan Ganesan
Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 1 April 2022

Ihya Ramadan @ Anjung Ilmu : Q&A Ramadan



Sempena bulan Ramadan tahun ini JAPIM dengan kerjasama Perpustakaan Za’ba IPG Kampus Tuanku Bainun akan menganjurkan Ihya Ramadan @ Anjung Ilmu : Q&A Ramadan secara maya setiap hari bekerja sepanjang bulan Ramadan.

Antara pengisian program ini adalah untuk perkongsian pengetahuan berkaitan Ramadan di mana setiap panel akan cuba memberi pandangan berdasarkan isu dan kemusykilan yang dikemukakan.

Program ini boleh ditonton di facebook rasmi Perpustakaan Za’ba pada setiap hari bermula tarikh 4/4/2022 jam 9.00 pagi

Jom sama-sama kita tambah ilmu...