Tuesday, 4 October 2022

BAJET 2023: PERKUKUH PENDIGITALAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Gambar hiasan

Kuala Lumpur: Dalam usaha memperkukuhkan pendigitalan sistem pendidikan negara, peruntukan yang besar diperlukan bagi menyediakan fasiliti dan infrastruktur berkaitan termasuk mendapatkan teknologi terkini untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Tokoh Pendidikan Negara Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, justeru itu, Kementerian Pendidikan (KPM) sewajarnya diberikan lebih banyak peruntukan tambahan dalam Bajet 2023 agar selari dengan hasrat kerajaan untuk mentransformasi pendidikan negara.

Beliau berkata, peralatan pengajaran khususnya berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) termasuk penyediaan makmal komputer, robotik dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sesuatu yang murah dan memerlukan kos tinggi.

"Makmal komputer misalnya telah mula diwujudkan di sekolah sekitar 2000 namun bila sebut tentang komputer, tidak bolehlah kita pakai yang ketinggalan zaman, begitu juga dengan teknologi, kita perlukan alatan dan teknologi yang baharu sebagai bantuan PdP seperti yang ada ketika ini iaitu 'papan elektronik'.

"Semua ini, mahu tidak mahu kita kena sediakan kemudahan terkini merangkumi aplikasi untuk digunakan para pelajar dan guru sekali gus memastikan ia dapat dimanfaatkan semua pelajar sama ada di bandar mahu pun luar bandar," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, penyediaan kemudahan PdP yang terkini bercirikan teknologi, digital dan automasi bukan sahaja diperlukan di sekolah harian malah, sekolah yang menyediakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Sekiranya kerajaan mahu melihat (sebagai contoh) bidang pertanian mengaplikasi teknologi digital, pelaburan bagi menyediakan kemudahan dan teknologi terkini perlu bermula di peringkat persekolahan lagi," katanya.

Menyuarakan perkara sama, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, peruntukan tambahan diperlukan bagi menaik taraf kemudahan ICT dalam melancarkan proses tranformasi digital sistem pendidikan negara.

"Peruntukan tambahan ini untuk naik taraf ICT membabitkan 10,250 sekolah di seluruh negara kerana hari ini kita lihat apa yang ada pun sudah agak ketinggalan, kemudahan Internet yang lembap begitu juga peralatan yang digunakan.

"Saya harap keutamaan dapat diberikan bagi meningkatkan sistem ICT sekolah kerana ia amat diperlukan ketika ini bukan sahaja untuk PdP tetapi dalam urusan sekolah," katanya menambah masalah kerencatan Internet akan menyebabkan usaha transformasi pendidikan negara akan terjejas.

Katanya, dengan adanya peruntukan tambahan ini, sekali gus dapat menyelesaikan isu para guru menggunakan wang poket sendiri untuk mendapatkan kemudahan ICT yang baik di sekolah.

"Ini memang berlaku (guru guna wang sendiri)…bahkan ada guru yang beli laptop dan sebagainya bagi tujuan pembelajaran. Telah beberapa kali saya gesa agar berikan rebat RM1,000 kepada guru bagi membeli peranti...saya difahamkan perkara ini telah mendapat kelulusan tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan," katanya.

Dalam isu lain, Aminuddin menyuarakan kebimbangannya terhadap risiko keselamatan murid yang berada di sekolah yang tidak diselenggara mengikut jadual.

"Ini boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada murid. Bayangkan tangga-tangga besi yang sudah berkarat dan tajam memang merisiko murid-murid… ada juga bumbung sekolah yang kalau kita tengok macam nak roboh tetapi pembaikan tidak dapat dilakukan kerana tiada peruntukan," katanya.

Dalam Bajet 2022, KPM adalah kementerian yang terus menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan

HARIAN METRO ONLINE