KUALA LUMPUR: Purata trend kehadiran murid ke sekolah sejak sekolah dibuka bermula 3 Oktober lalu hingga semalam adalah melebihi 85 peratus.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ketika ini, sebanyak 10,060 sekolah sedang beroperasi di seluruh negara, membabitkan lebih 4.38 juta murid.
"Trend kehadiran ini menunjukkan pembukaan sekolah secara umumnya diterima baik oleh ibu bapa dan murid.
"Pembukaan semula sekolah secara bersemuka ini juga membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian.
"Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk terus memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka berjalan dengan teratur dan selamat," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang bertanya mengenai perkembangan terkini pengoperasian sekolah di seluruh negara sejak pembukaan secara berperingkat pada 3 Oktober lalu dan bagaimana penerimaan guru, murid serta ibu bapa secara umumnya mengenai pembukaan sekolah.
Radzi memaklumkan, sehingga semalam, semua sekolah rendah dan menengah di bawah KPM di negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah beroperasi sepenuhnya, membabitkan 6,091 sekolah rendah dan 2,075 sekolah menengah, dengan lebih 4.25 juta murid.
Bagi Kelantan dan Sarawak yang berada dalam Fasa Tiga, sebanyak 1,894 sekolah sudah beroperasi, membabitkan 1,526 sekolah rendah dan 368 sekolah menengah.
"Pengoperasian secara bersemuka bagi sekolah rendah di negeri ini (Fasa Tiga) hanya membabitkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, murid kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid prasekolah dengan jumlah keseluruhan seramai 49,563 orang.
"Bagi sekolah menengah pula, pengoperasian secara bersemuka membabitkan murid kelas peperiksaan, MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas dan murid kelas PPKI dengan jumlah murid seramai 84,497 orang," katanya.
Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai sama ada KPM mempunyai perancangan untuk melaksanakan kehadiran murid tanpa penggiliran ke arah negara menuju fasa endemik, Radzi berkata, buat masa ini, kehadiran ke sekolah tanpa penggiliran sudah dilaksanakan bagi murid kelas peperiksaan jika 90 peratus murid kelas peperiksaan di sekolah terbabit sudah menerima vaksinasi COVID-19.
"Ketika ini, semua murid kelas peperiksaan sudah hadir ke sekolah tanpa penggiliran, kecuali empat sekolah yang belum mencapai 90 peratus vaksinasi atas sebab tertentu dan kita sedang usahakan.
"Bagi murid lain, kita sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melihat kohort mana yang boleh dimasukkan berikutnya tanpa penggiliran.
"KPM sebaik-baiknya mahu murid kembali ke sekolah tanpa penggiliran secepat mungkin, namun kita sentiasa mengambil kira faktor kesihatan dan berbincang dengan KKM, terutama dalam konteks varian baharu COVID-19," katanya.
Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung ujian saringan COVID-19 ke atas murid sekolah rendah, Radzi berkata, KPM akan memastikan bekalan kit ujian kendiri yang diperlukan disediakan di sekolah sehingga sesi persekolahan ditutup pada 11 dan 12 Disember ini.
"Apabila sekolah dibuka semula pada tahun depan, kita akan sediakan kit ujian ini untuk mereka selagi mana strategi ujian yang diumumkan KKM ini diguna pakai," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment