Monday, 24 January 2022

KEMENTERIAN PENDIDIKAN PERLU LETAK GARIS PANDUAN KONSISTEN

Kuala Lumpur: Kebenaran untuk guru sekolah berpolitik disifatkan keputusan drastik yang tidak sesuai memandangkan tugasan hakiki mereka kini sudah cukup membebankan.

Sehubungan itu, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berharap keputusan itu dikaji semula atau dibahaskan pada peringkat Parlimen kerana tugas pendidik, pada masa sama, bergiat dalam politik, boleh memberi kesan kepada semua pihak, termasuk generasi masa depan.

“Tugas di bilik darjah ada pelbagai cabaran, ditambah lagi negara berdepan pandemik COVID-19 yang memberi impak kepada semua lapisan masyarakat, terutama sistem pendidikan negara.

“Apabila guru dibenar berpolitik, ia boleh mewujudkan situasi tegang dan menjejaskan kualiti pendidikan jika mereka gagal membahagikan tugasan hakiki dan politik,” katanya semalam.

Lam Thye berkata, implikasi kebenaran guru berpolitik juga boleh memberikan kesan kepada sistem pendidikan negara yang sepatutnya memberi fokus melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dan berkualiti tinggi.

Selain itu, katanya, pembabitan aktif guru dalam politik boleh mencetuskan konflik dalam kalangan rakan seperjuangan dan pentadbir sekiranya tiada kefahaman sama antara mereka.

“Ini memberi kesan jika ada guru gagal mengawal emosi akibat pengaruh politik yang kuat. Saya berharap perkara ini dapat dipertimbangkan semula memandangkan kita bukanlah terhad masa atau ada keperluan golongan guru untuk berpolitik," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat berharap, jika keputusan berkenaan kekal, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) meletakkan garis panduan konsisten dalam usaha memastikan tiada isu bertentangan membabitkan sekolah dan pelajar.

“Guru yang mahu aktif berpolitik perlu mengikut syarat dan kriteria digariskan oleh pihak berkenaan serta perlu dipatuhi.

“Garis panduan perlu jelas dan menjadi sempadan sejauh mana guru boleh berpolitik tanpa mengganggu tugasan hakiki mereka sebagai individu yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak bangsa.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 18 January 2022

SEGERA TEMU DUGA CALON GURU INTERIM TAMAT KONTRAK

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyegerakan urusan temu duga kumpulan calon guru interim yang kontrak perkhidmatan masing-masing tamat pada tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata selain kontrak Guru Interim Bahasa Inggeris (BI) lantikan 2019, yang tamat pada April ini, Guru Interim Pendidikan Islam dan guru interim di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Sarawak juga tamat tahun ini.

Beliau berkata, selain guru, pihaknya turut membincangkan mengenai pengambilan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah.

“Alhamdulillah, SPP akan memberi komitmen sepenuhnya untuk mempercepatkan urusan pengambilan guru dan AKP, bagi membolehkan pengoperasian sekolah, khususnya sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dapat berlangsung dengan lancar demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara.

“KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SPP yang baru dilantik, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, di pejabatnya semalam.

Semalam, BH melaporkan gesaan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, supaya KPM menyerapkan kira-kira 400 Guru Interim BI sebagai guru tetap selepas tempoh kontrak mereka tamat pada April ini.

Aminuddin berkata, dengan jumlah guru yang bersara awal ‘kelihatan’ agak besar ketika ini, maka penyerapan guru interim itu sebagai guru tetap DG41 adalah satu langkah tepat dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan pendidikan negara dapat diteruskan.

Gesaan itu menyusul selepas seorang Guru Interim BI membuat ciapan di Twitter sambil merayu agar kontrak mereka disambung oleh KPM, di antara enam hingga 12 bulan sementara penyelesaian dan proses temuduga diselesaikan oleh SPP.

Radzi berkata, perbincangannya bersama Mazlan semalam, menumpukan beberapa perkara penting berkaitan usaha KPM memperkasa sektor pendidikan, khususnya mengenai pengambilan guru baharu bagi institusi di bawah KPM.

“Dalam pertemuan hari ini (semalam), kami membincangkan beberapa perkara penting berkaitan antaranya penyelesaian sepenuhnya pengambilan khas secara one-off bagi 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP). Ini penting bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada,” katanya.

“Terima kasih SPP kerana selesai menjalankan temu duga bagi pengambilan khas ini dan sebahagian daripada calon berjaya telah menerima tawaran lantikan. Dalam hal ini, KPM amat memerlukan bantuan segera SPP untuk menyelesaikan baki pengambilan guru berkenaan bagi membolehkan penempatan guru dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang bermula,” katanya.

Radzi berkata, selain berbincang mengenai kedudukan guru interim itu, perbincangan juga turut menyentuh mengenai keluhan graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) bagi pengambilan khas yang sedang dijalankan oleh oleh KPM.

Katanya, berdasarkan maklum balas SPP, terdapat lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu, termasuk PAKK, justeru situasi itu akan diteliti secara bersama.

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 7 January 2022

PASTIKAN SISTEM PENDIDIKAN SIAP SIAGA HADAPI ERA TIDAK STABIL

Kita bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Belum pun selesai pandemik COVID-19, datang pula bencana banjir tidak terjangka sejak beberapa minggu lalu. Seluruh rakyat terkesan dengan bencana ini dalam pelbagai situasi hingga masing-masing ada kisahnya.

Ada terkesan teruk sehingga kehilangan harta benda dan kediaman, sedangkan sebahagian pula menerima kesan emosi akibat kehilangan pendapatan serta pekerjaan. Tidak terkecuali anak-anak kita yang terpaksa pula menangguhkan sesi persekolahan mereka selama seminggu apabila sekolah dibuka kembali Ahad dan Isnin ini.

Kita sebenarnya sedang melalui norma kehidupan baharu sering disebut pakar dan pengkaji masyarakat sebagai era VUCA, iaitu ketidalstabilan (volatility), ketidakpastian (uncertainty), rumit (complexity) dan kabur (ambiguity). Norma baharu VUCA ini tidak akan terhenti,sebaliknya berterusan pada masa depan.

Krisis kesihatan, ekonomi dan perubahan iklim serta bencana alam akan berterusan dalam persekitaran tidak dapat kita jangkakan. Oleh itu, strategi terbaik boleh kita lakukan adalah dengan melakukan kesiapsiagaan untuk berhadapan ketidaktentuan ini.

Bayangkan akibat penularan COVID-19, sistem persekolahan kita terpaksa ditutup lebih 270 hari sejak 20 bulan lalu sehingga menjadi antara negara menutup sekolah paling lama. Bayangkan berapa ramai anak kita keciciran pembelajaran sepanjang tempoh berkenaan?

Malah Menteri Kanan Pendidikan sendiri mengakui hal itu di Dewan Rakyat pada Oktober 2020 bahawa berlaku keciciran dalam sistem pendidikan negara kita.

Walaupun kita cuba melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang tempoh sekolah ditutup, Menteri Kanan Pendidikan pada September 2021 turut mengakui pelaksanaan itu didapati tidak begitu berjaya seperti diharapkan. Kajian Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Mei tahun lalu, membuktikan ramai kanak-kanak tidak hadir ke sesi PdPR dan sebahagian besarnya disebabkan ketiadaan gajet serta akses internet.

Bagaimanakah norma baharu era VUCA perlu diuruskan dalam sistem pendidikan negara agar anak kita tidak terus terjejas pembelajaran pada masa depan?

Pertama, kita memerlukan kepemimpinan pendidikan mempunyai visi jelas mengenai hala tuju pendidikan era VUCA. Tentu sahaja kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada visi dan matlamat pendidikan dalam dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dibina 10 tahun lalu.

Keadaan sudah berubah dan sistem pendidikan memerlukan pembentukan visi pendidikan baharu sesuai dengan persekitaran sekarang dan masa depan. Kita mengharapkan sistem pendidikan lebih fleksibel, desentralisasi dan sesuai dengan keperluan setempat.

Kita memerlukan pemimpin pendidikan negara yang dapat menunjukkan apakah bentuk kesiapsiagaan yang diambil supaya anak kita masih boleh terus mendapat pendidikan baik walaupun negara berhadapan persekitaran VUCA kini dan pada masa hadapan.

Kedua, rakyat memerlukan kepemimpinan pendidikan memahami isu pendidikan negara sedalam-dalamnya dan mempunyai strategi jelas dalam menyelesaikan secepat mungkin. Contohnya, isu sekolah daif di pedalaman, sekolah sesak di bandar besar, buli, beg berat, infrastruktur digital, melahirkan kepemimpinan sekolah efisien dan meningkatkan kemahiran pedagogi digital guru.

Rakyat ingin melihat isu berlarutan sekian lama ini diselesaikan segera kepemimpinan pendidikan negara atau sekurang-kurangnya membangunkan dasar, pelan dan strategi untuk penyelesaiannya.

Ketiga, pemimpin mempunyai ketegasan dalam menguruskan kerumitan isu seperti kuota pendidikan, kurikulum dan mata pelajaran terlalu berat untuk sekolah rendah serta isu beban tugas guru.

Begitu juga isu pelbagai pihak menguruskan sistem pendidikan prasekolah dan taman didikan kanak-kanak (tadika). Semua isu ini perlu diselesaikan secara tegas dan berjiwa besar.

Keempat, kepemimpinan pendidikan perlu memberikan pencerahan kepada banyak isu pendidikan berlegar dalam masyarakat. Isu sekolah vernakular memerlukan pencerahan daripada kepemimpinan pendidikan negara.

Begitu juga isu pengangguran graduan semakin meningkat. Rakyat ingin mengetahui secara jelas mengapakah selepas bertahun-tahun belajar, akhirnya semakin ramai graduan menganggur?

Prof Marilyn Leask dan Prof Sarah Younie dalam buku mereka baru diterbitkan beberapa minggu lalu bertajuk Education For All in Times of Crisis: Lessons From COVID-19 menjelaskan beberapa perkara menarik untuk ditelitikan.

Antara lain mereka menyarankan sistem pendidikan ketika era VUCA perlu mempunyai ‘pelan kecemasan’ yang sedia dilaksanakan apabila negara atau komuniti berhadapan keadaan menyebabkan sekolah perlu ditutup. Pelan kecemasan ini mesti bersifat setempat dan memenuhi keperluan lokaliti berkenaan.

Pemimpin pendidikan pada peringkat wilayah atau daerah disiapkan dengan latihan kepemimpinan dalam membuat keputusan pengurusan lebih besar ketika berlaku sesuatu bencana di kedaerahan mereka.

Guru pula dibekalkan kemahiran mengajar dan planning toolkit pengajaran yang bersedia digunakan sebaik sahaja terjadi sesuatu bencana menyebabkan sekolah terpaksa ditutup.

Norma baharu sistem pendidikan era VUCA menuntut sistem pendidikan lebih bersiap siaga dalam memastikan pembelajaran murid dapat diteruskan walaupun sesi persekolahan terpaksa ditutup untuk tempoh tertentu akibat bencana.

Kesiapsiagaan pendidikan dari segi kepemimpinan pendidikan peringkat daerah, kemahiran mengajar guru secara digital dan sekolah dilengkapkan dengan alatan bantuan mengajar termasuk infra pendidikan seperti gajet dan internet perlu diberikan perhatian yang lebih ketika ini dan masa depan.

Dr Anuar Ahmad
Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Fakulti Pendidikan UKM

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 1 January 2022

KONSEP PENDIDIKAN BERASAS VIDEO WAJAR DIPERKAYAKAN

Foto hiasan

Ketika pandemik memuncak, sistem pendidikan turut dilanda masalah serius dengan kelemahan dikesan dalam jaringan telekomunikasi hingga memberi impak besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Bagaimanapun, pujian perlu diberikan kepada kerajaan kerana mengaktifkan kembali DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai antara wadah utama menampung kekurangan itu.

Kini, pandemik semakin dapat dikawal, manakala proses PdP bersemuka diaktifkan semula dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Bagaimanapun, konsep pendidikan berasaskan video tidak harus diketepikan, sebaliknya diperkayakan dari sekolah hingga universiti. Teknologi video bukan sahaja efektif untuk PdP, malah tidak terlalu mahal dan cepat dikuasai pendidik.

Sebenarnya, cabaran paling besar memperkayakan teknologi video dalam PdP adalah kekurangan kandungan pendidikan berkualiti sama ada dari sudut pedagogi atau produksi hingga guru dan pensyarah perlu belajar menjadi pencipta kandungan.

Memang banyak kandungan video PdP dapat diakses dalam DidikTV KPM atau platform seperti YouTube, tetapi video terbaik seharusnya datang daripada guru atau pensyarah kepada pelajar mereka.

Bagi memperbanyakkan kandungan video PdP sesuai untuk pelajar di negara ini hingga mudah difahami, guru dan pensyarah perlu menguasai kemahiran pembikinan video PdP.

Realitinya, teknologi video kini tidak serumit dahulu. Malah, dengan hanya beberapa jam dalam seminggu, pendidik mampu menghasilkan kandungan video dapat menyokong proses PdP.

Banyak aplikasi pembikinan video boleh dipelajari sama ada percuma atau berbayar, bahkan ada sudah lama wujud dalam komputer peribadi kita, tetapi tidak dimanfaatkan.

Apabila kemahiran pembikinan video PdP berpedagogi dan produksi berkualiti tinggi dikuasai, ada beberapa cara video terbabit boleh digunakan dalam proses PdP.

Bagi aktiviti sebelum kelas atau kuliah, video ‘penjelasan’ berdurasi 1 hingga 2 minit dapat membantu pelajar bersedia sebelum ke kelas bersemuka atau secara dalam talian.

Data penyelidikan empirikal membuktikan video penjelasan ditonton dan diamati pelajar dapat membantu untuk belajar sebelum aktiviti belajar sebenar berlaku.

Waktu dalam kelas atau kuliah pula dijadikan sesi latih tubi dan proses penggayaan ilmu pengetahuan tanpa guru atau pensyarah membuang masa memberi maklumat yang sebenarnya boleh dikuasai sendiri pelajar sebelum itu.

Selepas kelas atau kuliah, aktiviti pendek berasaskan video boleh menjadi latihan tambahan. Sudah tentu, isu capaian internet stabil dan perkakasan komputer, tablet atau telefon pintar boleh menjadi halangan.

Hakikatnya, peluang terhasil akibat pandemik global perlu digunakan untuk mengubah sistem pendidikan supaya berpaksikan masa depan. Melatih pelajar lebih berdikari dan melahirkan pendidik yang juga pencipta kandungan termaju, dapat direalisasikan melalui proses memperkayakan teknologi video PdP.

Dr Airil Haimi Mohd Adnan
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM)

BERITA HARIAN ONLINE