Monday 14 November 2022

AGENDA PENDIDIKAN DALAM 'PADU' PASTIKAN TIADA KANAK-KANAK TERCICIR - NORAINI

Menteri Pengajian Tinggi itu turut melihat inisiatif PADU sebagai tidak terhad kepada golongan B40 atau sesetengah kaum sahaja sebaliknya untuk kebaikan semua kanak-kanak


BATU PAHAT, 14 Nov (Bernama) -- Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan agenda pendidikan dalam manifesto gabungan itu, Perancangan Amal dan Usaha BN atau PADU, sebagai terbaik untuk memastikan tiada kanak-kanak di negara ini yang tercicir.

Penyandang kerusi Parlimen Parit Sulong itu berkata memandangkan pendidikan adalah pelaburan yang amat penting dalam pembinaan generasi akan datang, sistem persekolahan di Malaysia telah dijadikan khidmat bakti secara percuma dan ia merupakan agenda utama BN sejak sekian lama.

“PADU juga ditubuhkan (dirangka) sebagai usaha membantu mengurangkan bebanan keluarga dan memastikan setiap kanak-kanak diberikan pendidikan asas.

“Di dalam Fokus 5 PADU, pendidikan awal dan asuhan nasional percuma akan diberikan untuk semua kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah serta mereka diberi makanan berkhasiat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi itu turut melihat inisiatif PADU sebagai tidak terhad kepada golongan B40 atau sesetengah kaum sahaja sebaliknya untuk kebaikan semua kanak-kanak.

“Ia juga dapat meringankan beban ibu bapa yang baru membina keluarga dan hasil penjimatan daripada saraan kanak-kanak itu nanti dapat disalurkan oleh ibu bapa untuk peningkatan kualiti hidup mereka,” katanya sambil menambah melalui Fokus 5 PADU, semua kanak-kanak di Malaysia dapat belajar hingga ke Tingkatan 5 secara percuma yang mampu meningkatkan kualiti hidup mereka dalam jangka panjang.

BERNAMA ONLINE

Sunday 6 November 2022

INFRASTRUKTUR, PENDIDIKAN DAN PENDAPATAN ORANG ASLI TUMPUAN KERAJAAN

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen P.090 Bera bersama masyarakat orang asli ketika hadir pada program Moh Ngeteh di Kampung Sg Tuang, Triang.


BERA, 6 Nov (Bernama) -- Pembangunan masyarakat Orang Asli menerusi tiga fokus utama iaitu infrastruktur, pendidikan dan pendapatan menjadi tumpuan kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesungguhan kerajaan itu dapat dilihat menerusi peruntukan yang disediakan khusus untuk pembangunan masyarakat Orang Asli dalam Bajet 2023, iaitu sebanyak RM305 juta berbanding RM274 juta pada tahun ini.

"Kerajaan juga mahu menyelesaikan isu kampung serpihan dengan membangunkan lebih banyak perkampungan baharu. Kampung yang dibangunkan kerajaan adalah lebih cantik dan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur sewajarnya.

"Seperti di kampung ini...tetapi kadang-kadang ada yang membina kampung baharu yang kedudukannya agak terpencil. Itu yang menyebabkan banyak kampung yang perlu kita bangunkan lagi," katanya semasa menghadiri Pogram Moh Ngeteh di Kampung Orang Asli Sungai Tuang di sini hari ini.

Beliau juga menekankan bahawa kerajaan sentiasa menitikberatkan isu pendidikan anak Orang Asli, kerana beliau percaya pendidikan adalah platform terbaik untuk seseorang mengubah nasib diri dan keluarga ke arah lebih baik.

Sebagai contoh, Ismail Sabri merujuk kepada program dilaksanakan kerajaan menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang turut menghantar generasi muda golongan itu yang layak melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Kerajaan juga merancang dan melaksanakan pelbagai program bantuan serta pemberian inisiatif kepada masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka, termasuk dalam program keusahawanan melibatkan program latihan, kemahiran dan bimbingan supaya projek yang dilaksanakan mendatangkan hasil.

Sementara itu, dalam program berasingan, Ismail Sabri berkata lokasi dan pembangunan litar lumba “drag” untuk sukan permotoran di Bera akan diumumkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memandangkan daerah itu adalah satu daripada lokasi rancangan pembinaan litar itu yang diumumkan pada pembentangan bajet 7 Okt lepas.

"Pejabat daerah telah diminta mencari kawasan mana yang sesuai (untuk pembinaan litar) dan kita juga perlu membentangkan semula bajet untuk kelulusan kerana Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan,” katanya selepas menghadiri program “Ride Amal dan Ride to Jannah 4.0” di Felda Bukit Mendi, Kemayan di sini.

Pembinaan litar itu di setiap negeri dengan peruntukan RM20 juta, adalah bagi menggalakkan belia dalam sukan permotoran melalui platform yang tepat.

BERNAMA ONLINE