Monday 14 November 2022

AGENDA PENDIDIKAN DALAM 'PADU' PASTIKAN TIADA KANAK-KANAK TERCICIR - NORAINI

Menteri Pengajian Tinggi itu turut melihat inisiatif PADU sebagai tidak terhad kepada golongan B40 atau sesetengah kaum sahaja sebaliknya untuk kebaikan semua kanak-kanak


BATU PAHAT, 14 Nov (Bernama) -- Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan agenda pendidikan dalam manifesto gabungan itu, Perancangan Amal dan Usaha BN atau PADU, sebagai terbaik untuk memastikan tiada kanak-kanak di negara ini yang tercicir.

Penyandang kerusi Parlimen Parit Sulong itu berkata memandangkan pendidikan adalah pelaburan yang amat penting dalam pembinaan generasi akan datang, sistem persekolahan di Malaysia telah dijadikan khidmat bakti secara percuma dan ia merupakan agenda utama BN sejak sekian lama.

“PADU juga ditubuhkan (dirangka) sebagai usaha membantu mengurangkan bebanan keluarga dan memastikan setiap kanak-kanak diberikan pendidikan asas.

“Di dalam Fokus 5 PADU, pendidikan awal dan asuhan nasional percuma akan diberikan untuk semua kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah serta mereka diberi makanan berkhasiat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi itu turut melihat inisiatif PADU sebagai tidak terhad kepada golongan B40 atau sesetengah kaum sahaja sebaliknya untuk kebaikan semua kanak-kanak.

“Ia juga dapat meringankan beban ibu bapa yang baru membina keluarga dan hasil penjimatan daripada saraan kanak-kanak itu nanti dapat disalurkan oleh ibu bapa untuk peningkatan kualiti hidup mereka,” katanya sambil menambah melalui Fokus 5 PADU, semua kanak-kanak di Malaysia dapat belajar hingga ke Tingkatan 5 secara percuma yang mampu meningkatkan kualiti hidup mereka dalam jangka panjang.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment