Tuesday, 24 January 2023

TRANSFORMASI PENDIDIKAN KE ARAH LEBIH SAKSAMA, BERDAYA SAING - FADHLINA

Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan hari ini berkongsi komitmen dan visi berkaitan dengan transformasi pendidikan sebagai laluan ke arah sistem pendidikan yang lebih saksama, inklusif, relevan dan berdaya saing.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dalam mesej menerusi video sempena Hari Pendidikan Antarabangsa 2023, berkata kementerian itu menyasarkan untuk pelaburan pelbagai sektor dan memberikan bantuan yang lebih ketara kepada pembelajaran awal dan pembangunan awal kanak-kanak.

“Dengan berbuat demikian, kami mengutamakan pengumpulan bukti, analisis, data ramalan tentang kehilangan pembelajaran pelajar dan sistem data amaran awal untuk membangun dan melaksanakan intervensi yang disasarkan dan mengurangkan kemungkinan pelajar tercicir.

“Ia juga dapat memastikan isu kemiskinan yang memberi kesan langsung pendidikan anak-anak dapat ditangani dengan sewajarnya. Usaha itu terhasil daripada komunikasi yang diselaraskan dengan baik dalam kalangan semua pihak berkepentingan, termasuk sekolah di negara ini,” katanya.

Fadhlina, yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, berkata kementerian turut memberi tumpuan kepada aspek Karamah Insaniah atau Martabat Insan dengan menekankan kemahiran insaniah bagi menyemai akhlak dan integriti dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata kementerian terus membangun dan menaik taraf struktur maklumat dan infrastruktur ICT di semua sekolah memandangkan pengukuhan rangka kerja dasar pendidikan digital kekal diutamakan.

“Bagaimanapun, kami mengambil berat tentang jurang digital apabila merancang pendidikan digital, terutamanya pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik, berpendapatan rendah dan mereka yang berada di kawasan terpencil.

“Justeru, pembelajaran mereka mesti dipermudahkan untuk mengurangkan jurang ekuiti dan mengelak ketinggalan dalam sistem pendidikan,” katanya.

Menurutnya, pendidikan masa depan memerlukan guru dan pelajar dilengkapi dengan celik digital dan kecekapan untuk menyediakan mereka dengan pendidikan kalis masa hadapan dengan lebih baik.

Dalam hal ini, katanya, adalah penting untuk menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan teknologi dan badan antarabangsa untuk meningkatkan kecekapan digital mereka.

Selain itu, Fadhlina, berkata pada 2013, Kementerian Pendidikan memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, yang menggariskan pelan hala tuju 12 tahun dan rangka kerja komprehensif untuk transformasi sistem pendidikan yang mampan.

Melangkah ke hadapan, katanya, Malaysia menggesa komitmen global dalam meningkatkan perpaduan sosial serta membantu mempercepatkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) – Pendidikan 2030.

“Matlamat itu antara lain menggariskan supaya tumpuan lebih banyak diberikan kepada golongan muda, mengutamakan pelaburan dalam komponen teras pendidikan dan untuk memastikan tiada kanak-kanak tertinggal,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 21 January 2023

ELEMEN PENDIDIKAN DALAM MALAYSIA MADANI ANGKAT MARTABAT RAKYAT, NEGARA

Pelaksanaan konsep Malaysia Madani yang turut menyentuh keperluan meneroka aspek pendidikan adalah usaha untuk meningkatkan martabat rakyat dan negara ini. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan konsep Malaysia Madani yang turut menyentuh keperluan meneroka aspek pendidikan adalah usaha untuk meningkatkan martabat rakyat dan negara ini.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Ahmad Farhan Rosli berkata elemen pendidikan itu diberikan perhatian bagi memastikan ilmu menjadi keutamaan sekali gus melahirkan masyarakat Malaysia yang tinggi dengan budaya ilmu.

“Konsep Malaysia Madani ini tidak cukup dengan hanya memahami enam rukun yang menjadi tonggak dasar ini tetapi juga lapan instrumen lain antaranya ekonomi, kewangan, undang-undang, institusi dan pendidikan.

“Saya rasa ini memang satu kerangka ‘reset’ besar yang ingin dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab kita bukan hanya berhadapan dengan masalah ekonomi dan pendidikan tetapi juga berhadapan permasalahan sistem yang harus diperbaiki,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Membangun Malaysia Madani’ malam ini.

Ahmad Farhan berkata pasak kepada enam tonggak konsep Madani adalah rukun kelima iaitu keyakinan yang bakal menyaksikan Malaysia lebih unggul sekiranya keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan keyakinan kerajaan sendiri terhadap potensi rakyat dapat diperkukuh.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil pula berkata kayu pengukur bagi melihat keberkesanan konsep Madani adalah sama ada kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dapat diperbaiki sekali gus mengembalikan semula keyakinan negara luar dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Bila bercakap soal keyakinan, apabila kedudukan negara terus jatuh dalam CPI maka masalah yang akan berlaku pada negara adalah apa yang disebut Perdana Menteri iaitu tentang ketirisan.

Semalam, Anwar memperkenal ‘Malaysia Madani’ yang diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani disasar untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka dalam usaha memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.

BERNAMA ONLINE

Wednesday, 18 January 2023

FADHLINA BERI JAMINAN PELAJAR OKU, GURU PENDIDIKAN KHAS DIBERI PERHATIAN

Ras Adiba berkata antara perkara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat itu ialah mengenai pembinaan Sekolah Sukan OKU dan menambah baik fasiliti di sekolah pendidikan khas

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan untuk memastikan pelajar orang kurang upaya (OKU) dan guru pendidikan khas diberi perhatian sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Perkara itu dinyatakan menteri pendidikan kepada Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi ketika Presiden Persatuan OKU Sentral itu mengadakan kunjungan hormat terhadap Fadhlina di KPM di sini hari ini.

Ras Adiba berkata antara perkara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat itu ialah mengenai pembinaan Sekolah Sukan OKU, menambah baik fasiliti di sekolah pendidikan khas, menambah bilangan ahli terapi cara kerja dan ahli terapi pertuturan di KPM.

“Alhamdulillah menteri (Fadhlina) berbesar hati menerima kunjungan saya untuk mendengar beberapa cadangan berkaitan komuniti OKU. Beliau mengalu-alukan kunjungan ini dan akan sentiasa mengikuti perkembangan OKU,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan hormat itu.

Ras Adiba berkata beliau secara peribadi yakin Fadhlina mampu melaksanakan pelbagai pendekatan serta inisiatif terhadap pendidikan OKU di negara ini.

“Saya lihat banyak yang dilakukan untuk perkasa pelajar termasuk golongan OKU dan tenaga pengajar di sekolah pendidikan khas," katanya.

Fadhlina yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Disember lepas telah mengadakan lawatan ke institusi pendidikan OKU seperti Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy di Johor.

BERNAMA ONLINE