Tuesday, 24 January 2023

TRANSFORMASI PENDIDIKAN KE ARAH LEBIH SAKSAMA, BERDAYA SAING - FADHLINA

Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan hari ini berkongsi komitmen dan visi berkaitan dengan transformasi pendidikan sebagai laluan ke arah sistem pendidikan yang lebih saksama, inklusif, relevan dan berdaya saing.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dalam mesej menerusi video sempena Hari Pendidikan Antarabangsa 2023, berkata kementerian itu menyasarkan untuk pelaburan pelbagai sektor dan memberikan bantuan yang lebih ketara kepada pembelajaran awal dan pembangunan awal kanak-kanak.

“Dengan berbuat demikian, kami mengutamakan pengumpulan bukti, analisis, data ramalan tentang kehilangan pembelajaran pelajar dan sistem data amaran awal untuk membangun dan melaksanakan intervensi yang disasarkan dan mengurangkan kemungkinan pelajar tercicir.

“Ia juga dapat memastikan isu kemiskinan yang memberi kesan langsung pendidikan anak-anak dapat ditangani dengan sewajarnya. Usaha itu terhasil daripada komunikasi yang diselaraskan dengan baik dalam kalangan semua pihak berkepentingan, termasuk sekolah di negara ini,” katanya.

Fadhlina, yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, berkata kementerian turut memberi tumpuan kepada aspek Karamah Insaniah atau Martabat Insan dengan menekankan kemahiran insaniah bagi menyemai akhlak dan integriti dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata kementerian terus membangun dan menaik taraf struktur maklumat dan infrastruktur ICT di semua sekolah memandangkan pengukuhan rangka kerja dasar pendidikan digital kekal diutamakan.

“Bagaimanapun, kami mengambil berat tentang jurang digital apabila merancang pendidikan digital, terutamanya pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik, berpendapatan rendah dan mereka yang berada di kawasan terpencil.

“Justeru, pembelajaran mereka mesti dipermudahkan untuk mengurangkan jurang ekuiti dan mengelak ketinggalan dalam sistem pendidikan,” katanya.

Menurutnya, pendidikan masa depan memerlukan guru dan pelajar dilengkapi dengan celik digital dan kecekapan untuk menyediakan mereka dengan pendidikan kalis masa hadapan dengan lebih baik.

Dalam hal ini, katanya, adalah penting untuk menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan teknologi dan badan antarabangsa untuk meningkatkan kecekapan digital mereka.

Selain itu, Fadhlina, berkata pada 2013, Kementerian Pendidikan memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, yang menggariskan pelan hala tuju 12 tahun dan rangka kerja komprehensif untuk transformasi sistem pendidikan yang mampan.

Melangkah ke hadapan, katanya, Malaysia menggesa komitmen global dalam meningkatkan perpaduan sosial serta membantu mempercepatkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) – Pendidikan 2030.

“Matlamat itu antara lain menggariskan supaya tumpuan lebih banyak diberikan kepada golongan muda, mengutamakan pelaburan dalam komponen teras pendidikan dan untuk memastikan tiada kanak-kanak tertinggal,” katanya.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment