Friday 24 February 2023

BELANJAWAN 2023 TELUS, DENGAR PANDANGAN RAKYAT UNTUK SEKTOR PENDIDIKAN


NUTP berharap peruntukan RM2.3 bilion untuk penyediaan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah dapat menyelesaikan segala isu berkaitan yang dihadapi ketika ini.

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat disifatkan sebagai telus serta mengambil pandangan rakyat terutamanya dari sektor pendidikan negara.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, peruntukan sebanyak RM2.3 bilion untuk penyediaan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah, diharap dapat menyelesaikan segala isu berkaitan yang dihadapi ketika ini.

"(Bagaimanapun), NUTP amat berharap pemilihan kontraktor haruslah dalam kalangan syarikat yang kompeten. Selain daripada itu, pemantauan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan juga harus dititikberatkan.

"Pemilihan kontraktor juga harus dibuat secara telus dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada masa yang sama, NUTP turut mengucapkan terima kasih di atas peruntukan naik taraf infrastruktur di 380 buah sekolah-sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk disegerakan serta berharap ia dapat menyelesaikan segala isu yang dihadapi.

Selain itu, beliau juga berharap agar kerajaan dapat mempertingkatkan kapasiti dan melihat kepada nisbah murid dan kelas keperluan khas kerana didapati terdapat kelas di sesetengah sekolah tidak mengikut nisbah murid yang ditetapkan.

Keadaan itu, katanya, berkemungkinan disebabkan permintaan yang tinggi daripada ibu bapa atau disebabkan kelas berkeperluan khas amatlah terhad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat memaklumkan KPM terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada 2022.

SINAR HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment