Monday 8 May 2023

CUACA PANAS: SEKOLAH DIARAH UTAMAKAN PENYELENGGARAAN KIPAS

Pkharuddin bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian MOU antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Yayasan Bank Rakyat di Kementerian Pendidikan, Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA- Semua pengarah pendidikan negeri dan daerah diarah supaya memberi keutamaan terhadap kerja penyelenggaraan kipas di sekolah menerusi bajet disalurkan susulan fenomena cuaca panas serta kering berpanjangan yang melanda negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat diadakan secara berkala di mana yang terbaharu pada Rabu lepas iaitu melalui sesi libat urus memastikan tindakan segera diambil berkaitan cuaca panas.

“Apabila semua berada dalam bangunan sudah tentu pengudaraan dalam kelas perlu kita beri perhatian. Kita di KPM (Kementerian Pendidikan) sentiasa agihkan peruntukan khusus untuk penyelenggaraan ke peringkat negeri dan daerah.

“Pesan kita kepada pengarah pendidikan negeri dan daerah supaya membelanjakan peruntukan terbabit untuk sebarang kerja penyelenggaraan secepat mungkin.

“Beri keutamaan kepada keperluan, kalau hari ini kita berhadapan dengan situasi cuaca panas tentu aktiviti selenggara kipas adalah lebih penting dan diutamakan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman. (MoU) antara KPM dengan Yayasan Bank Rakyat (YBR) di sini hari ini.

Terdahulu, keadaan cuaca panas yang melanda negara terutama di Kelantan mendorong murid-murid untuk membawa kipas mini elektrik ke sekolah.

Perkara itu dilakukan bagi membolehkan mereka selesa sepanjang berada di dalam kelas memandangkan setiap kelas hanya mempunyai dua kipas siling.

KOSMO ONLINE

No comments:

Post a Comment