Wednesday 13 September 2023

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KOMITED TANGANI ISU KECICIRAN SEKOLAH

KUNAK, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam menyelesaikan isu kanak-kanak keciciran pendidikan bagi memastikan semua penduduk negara ini memperoleh kesaksamaan pendidikan.

Untuk tujuan itu, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Sabah, Jabatan Imigresen Cawangan Sabah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi isu itu, sekali gus mencapai sasaran sifar keciciran persekolahan.

Di Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri melaksanakan pelbagai program bagi membantu menjayakan penyelesaian sifar keciciran, antaranya Operasi Sifar Cicir Sabah (OPSCIS) yang bermula 2018 di 24 Pejabat Pendidikan Daerah bagi meningkatkan enrolmen murid warganegara, murid warganegara tanpa dokumen dan kanak-kanak bukan warganegara yang layak bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Program OPSCIS melestarikan permuafakatan strategik iaitu penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (PIBKS) serta sejajar dengan hala tuju pelan strategik organisasi (PSO) Sepakat Sabah Hebat iaitu teras ketujuh - peratus kehadiran murid; menterjemahkan tujuh teras KPM iaitu yang keempat - keciciran murid serta program yang bersifat pusat sehenti serta berimpak tinggi dengan kos rendah.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kunak Ab Malek Abdul Rahim berkata pihaknya giat turun padang bagi meninjau dan membantu menyelesaikan isu kanak-kanak dan murid cicir pendidikan di daerah itu akibat rantaian masalah termasuk isu dokumentasi.

"Baru-baru ini pihak kita turun padang buat program OPSCIS ini di Padang Pekan Kunak, kita buat untuk jumpa para ibu bapa atau penjaga, untuk melihat dari segi dokumentasi mereka, kerana kebanyakan mereka ini menghadapi masalah dokumen pengenalan diri.

"Kita berusaha supaya anak-anak mereka ini boleh dibantu, untuk bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Hasil OPSCIS ini kita berjaya membantu lima anak-anak untuk memasuki persekolahan," katanya kepada Bernama.

Sebagai rekod, kejayaan OPSCIS iaitu pada tahun 2020 hingga 2023 telah berjaya mengembalikan kanak-kanak dan murid cicir ke sekolah iaitu seramai 297 murid warganegara, warganegara tanpa dokumen (510) dan bukan warganegara (435).

Ab Malek berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta jabatan lain yang berkaitan untuk memeriksa dokumentasi berkenaan.

“Kesimpulannya, KPM dan JPN Sabah sangat komited untuk memberikan peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak yang layak bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan mengikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),” katanya.

Selain usaha menangani isu keciciran kanak-kanak warganegara dan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen, KPM turut mengambil berat masalah akses pendidikan kanak-kanak bukan warganegara dan tidak bernegara yang terpinggir daripada mendapat pendidikan, susulan masalah kemiskinan, kecelaruan status, tiada halatuju dan terdedah kepada masalah sosial.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mengadakan lawatan ke negeri ini menerusi Program Tindak Susul (PTS) Parlimen bagi akses pendidikan kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara Ogos lepas, berkata KPM menjalankan beberapa pendekatan supaya anak-anak bermasalah dokumentasi tidak terpinggir daripada ekosistem pendidikan.

Fadhlina turut meluangkan masa ke Pusat Pembangunan Modal Insan (PPMI) di Kampung Kabog yang diusahakan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Sabah, yang kini memberi pendidikan kepada 179 anak-anak bukan warganegara serta tiada kewarganegaraan.

Penyelaras PPMI Kunak Lajamuddi Lajahidi berkata selain di kampung berkenaan, sebuah lagi pusat pendidikan di bawah NGO itu telah dibuka di Kampung Kunak Laut yang memberi bimbingan kepada 69 pelajar yang rata-rata daripada komuniti Pala'u.

"Di PPMI, kita mengadakan pembelajaran akademik dan juga agama, akademik ini kita guna pakai kurikulum yang KPM gunakan sekarang, cuma kita rendahkan aras subjek sedikit bersesuian dengan tahap minda pelajar kita yang tidak boleh memasuki sekolah aliran perdana, manakala bagi subjek agama, kita menggunakan kurikulum Kafa (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) sepenuhnya diajarkan kepada pelajar tahun satu hingga enam dan mereka menduduki ujian penilaian khas Kafa pada tahun lima serta menduduki peperiksaan Sijil Rendah Ugama Kerajaan Negeri pada tahun enam.

"Kita terpanggil untuk membuat kelas ini bagi menangani isu kanak-kanak tercicir pelajaran, memandangkan mereka tidak boleh bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan kerana masalah dokumen, di PPMI Kabog kita hanya ada tiga kelas (pagi) untuk murid tahun satu sehingga tahun tiga manakala tiga kelas lagi sebelah petang (gabungan tahun satu hingga enam)," katanya.

Menurut Lajamuddi, pihaknya hanya berniat untuk membantu masyarakat, selain membantu kerajaan menangani isu keciciran persekolahan.

Katanya terdapat permintaan tinggi untuk memasuki pusat itu namun pengambilan yang diadakan setiap tahun, terpaksa dihadkan berikutan keadaan kelas sempit.

“Misalnya, kelas di PPMI Kabog ini sebenarnya hanya boleh menampung 25 pelajar tetapi ketika ini ada kelas menampung sehingga 40 pelajar," katanya.

PPMI dibuka pada 2011 bertujuan memberi pendidikan kepada komuniti Pala'u sekali gus menangani isu peminta sedekah dalam kalangan mereka.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kunak Norazlinah Arif berkata kolaborasi Pejabat Pendidikan Daerah bersama Haluan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak bukan warganegara atau tiada kewarganegaraan, membantu golongan itu menjalani kehidupan yang lebih baik.

BERNAMA ONLINE

Monday 11 September 2023

KERAJAAN CAKNA ISU KECICIRAN MURID DALAM PENDIDIKAN, AKAN DITANGANI SECARA TUNTAS - PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan cakna dengan isu keciciran murid dalam sistem pendidikan dan ia akan ditangani secara tuntas melalui pembangunan Sistem Pengesanan Murid Cicir Bersepadu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11) akan diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada anak-anak dalam kalangan peribumi dan Orang Asli serta dari kawasan pedalaman dan pulau terpencil mendapat akses kepada pendidikan.

"Inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) untuk kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tiada dokumen pengenalan diri juga akan diperluas," katanya ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata pendidikan karakter yang menyokong konsep karamah insaniah akan diperkenalkan melalui pendekatan sistemik dan holistik, yang diharapkan dapat membangunkan jati diri murid ke arah menjadi bakat global yang dilengkapi dengan ilmu, beretika dan berakhlak mulia.

Beliau berkata kerajaan beriltizam untuk mengislahkan sistem pendidikan bagi melahirkan bakat tersedia negara di masa hadapan, dengan konsep karamah insaniah akan memberi penekanan kepada aspek pembentukan akhlak dan pembangunan sahsiah bagi membentuk jati diri dan melahirkan generasi yang berdaya tahan serta berdaya saing.

Bagi meningkatkan mutu pendidikan negara, Perdana Menteri berkata Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan dilancarkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.

"Matlamat DPD adalah untuk melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital," katanya.

Beliau berkata pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik akan disokong dengan pembentukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), manakala pendidikan Tingkatan 6 akan terus diperkasa melalui penjenamaan semula kepada Kolej Pra-Universiti.

“Kerajaan akan terus memastikan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dalam sistem pendidikan sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping mempertingkatkan penguasaan bahasa asing sebagai wahana pembinaan tamadun,” katanya.

Anwar berkata kerajaan juga komited untuk memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan tenaga pengajar bidang berkenaan akan digalakkan menjalani latihan kemahiran dan latihan kemahiran semula sekali gus melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang seiring dengan perkembangan teknologi baru muncul.

"Bagi meningkatkan kerjasama antara kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta dalam transformasi program TVET, inisiatif menggalakkan penglibatan industri dalam pelaksanaan program TVET telah diberikan keutamaan," katanya.

Beliau berkata sehingga Julai lepas sebanyak 43 memorandum persefahaman telah dimeterai antara kerajaan dengan 14 GLC dan 29 syarikat swasta melibatkan 12 kementerian berkaitan TVET, merangkumi skop kerjasama seperti sumbangan kepakaran, peralatan, pembangunan kurikulum dan penajaan latihan.

Di samping itu, kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi Program Bina Kerjaya iaitu program peningkatan kemahiran (upskilling) untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.

"Kerajaan percaya keputusan untuk mengkaji peningkatan gaji lepasan TVET mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET sebagai laluan kerjaya," katanya.

Menyedari hampir 50 peratus lepasan SPM tidak menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi, kerajaan turut membuka ruang kepada anak muda untuk mula menceburkan diri lebih awal dalam sektor pembuatan sebagai pekerja berkemahiran dengan gaji berpatutan.

"Melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI), kerajaan akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta bagi melaksanakan usaha ini termasuk penyediaan insentif elaun penempatan. Seramai 50,000 anak muda kita disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12," katanya.

BERNAMA ONLINE

Saturday 9 September 2023

KERJASAMA KESATUAN GURU PENTING SALUR AGENDA PENDIDIKAN NEGARA

NILAI, 9 Sept (Bernama) -- Kerjasama kesatuan guru penting bagi memastikan agenda pendidikan negara dapat disampaikan lebih menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata ini kerana Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menggunakan saluran kesatuan khususnya melalui Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyampaikan maklumat dan dasar KPM.

“Kesatuan guru juga sentiasa komited memperjuangkan isu pendidikan khususnya menyokong serta membantu kementerian dalam melaksanakan agenda pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan MADANI Memartabatkan 'Karamah Insani' Membangun Generasi MADANI di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.

Mengenai seminar itu, Fadhlina berkata Karamah Insani adalah konsep yang menyatukan segmen Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara holistik dan bersepadu.

"Citra peribadi keunggulan guru itu harus bermula dengan mempunyai sifat insani untuk melaksanakan agenda pendidikan manusiawi Malaysia MADANI," katanya.

Katanya nilai insani perlu diterapkan dalam kalangan pelajar seperti empati, rahmah, adil dan ihsan antara satu sama lain.

Seminar itu disertai 350 peserta terdiri daripada ahli kesatuan gabungan Kongres, pensyarah USIM, Pensyarah Kolej PERMATA Insan serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam dan IPG Kampus Pendidikan Teknik Nilai.

Sementara itu, Fadhlina sekali lagi mengulangi bahawa kementerian perlu memberi perhatian terhadap cabaran dalam sektor pendidikan terutama isu buli, jenayah seksual dan perkauman.

Justeru, menurutnya nilai cinta perlu diterapkan untuk menghakis segala perkara negatif yang wujud sama ada di luar atau dalam sektor pendidikan negara.

BERNAMA ONLINE