Wednesday 13 September 2023

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KOMITED TANGANI ISU KECICIRAN SEKOLAH

KUNAK, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam menyelesaikan isu kanak-kanak keciciran pendidikan bagi memastikan semua penduduk negara ini memperoleh kesaksamaan pendidikan.

Untuk tujuan itu, KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Sabah, Jabatan Imigresen Cawangan Sabah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi isu itu, sekali gus mencapai sasaran sifar keciciran persekolahan.

Di Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri melaksanakan pelbagai program bagi membantu menjayakan penyelesaian sifar keciciran, antaranya Operasi Sifar Cicir Sabah (OPSCIS) yang bermula 2018 di 24 Pejabat Pendidikan Daerah bagi meningkatkan enrolmen murid warganegara, murid warganegara tanpa dokumen dan kanak-kanak bukan warganegara yang layak bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Program OPSCIS melestarikan permuafakatan strategik iaitu penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (PIBKS) serta sejajar dengan hala tuju pelan strategik organisasi (PSO) Sepakat Sabah Hebat iaitu teras ketujuh - peratus kehadiran murid; menterjemahkan tujuh teras KPM iaitu yang keempat - keciciran murid serta program yang bersifat pusat sehenti serta berimpak tinggi dengan kos rendah.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kunak Ab Malek Abdul Rahim berkata pihaknya giat turun padang bagi meninjau dan membantu menyelesaikan isu kanak-kanak dan murid cicir pendidikan di daerah itu akibat rantaian masalah termasuk isu dokumentasi.

"Baru-baru ini pihak kita turun padang buat program OPSCIS ini di Padang Pekan Kunak, kita buat untuk jumpa para ibu bapa atau penjaga, untuk melihat dari segi dokumentasi mereka, kerana kebanyakan mereka ini menghadapi masalah dokumen pengenalan diri.

"Kita berusaha supaya anak-anak mereka ini boleh dibantu, untuk bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Hasil OPSCIS ini kita berjaya membantu lima anak-anak untuk memasuki persekolahan," katanya kepada Bernama.

Sebagai rekod, kejayaan OPSCIS iaitu pada tahun 2020 hingga 2023 telah berjaya mengembalikan kanak-kanak dan murid cicir ke sekolah iaitu seramai 297 murid warganegara, warganegara tanpa dokumen (510) dan bukan warganegara (435).

Ab Malek berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta jabatan lain yang berkaitan untuk memeriksa dokumentasi berkenaan.

“Kesimpulannya, KPM dan JPN Sabah sangat komited untuk memberikan peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak yang layak bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan mengikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),” katanya.

Selain usaha menangani isu keciciran kanak-kanak warganegara dan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen, KPM turut mengambil berat masalah akses pendidikan kanak-kanak bukan warganegara dan tidak bernegara yang terpinggir daripada mendapat pendidikan, susulan masalah kemiskinan, kecelaruan status, tiada halatuju dan terdedah kepada masalah sosial.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mengadakan lawatan ke negeri ini menerusi Program Tindak Susul (PTS) Parlimen bagi akses pendidikan kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara Ogos lepas, berkata KPM menjalankan beberapa pendekatan supaya anak-anak bermasalah dokumentasi tidak terpinggir daripada ekosistem pendidikan.

Fadhlina turut meluangkan masa ke Pusat Pembangunan Modal Insan (PPMI) di Kampung Kabog yang diusahakan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Sabah, yang kini memberi pendidikan kepada 179 anak-anak bukan warganegara serta tiada kewarganegaraan.

Penyelaras PPMI Kunak Lajamuddi Lajahidi berkata selain di kampung berkenaan, sebuah lagi pusat pendidikan di bawah NGO itu telah dibuka di Kampung Kunak Laut yang memberi bimbingan kepada 69 pelajar yang rata-rata daripada komuniti Pala'u.

"Di PPMI, kita mengadakan pembelajaran akademik dan juga agama, akademik ini kita guna pakai kurikulum yang KPM gunakan sekarang, cuma kita rendahkan aras subjek sedikit bersesuian dengan tahap minda pelajar kita yang tidak boleh memasuki sekolah aliran perdana, manakala bagi subjek agama, kita menggunakan kurikulum Kafa (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) sepenuhnya diajarkan kepada pelajar tahun satu hingga enam dan mereka menduduki ujian penilaian khas Kafa pada tahun lima serta menduduki peperiksaan Sijil Rendah Ugama Kerajaan Negeri pada tahun enam.

"Kita terpanggil untuk membuat kelas ini bagi menangani isu kanak-kanak tercicir pelajaran, memandangkan mereka tidak boleh bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan kerana masalah dokumen, di PPMI Kabog kita hanya ada tiga kelas (pagi) untuk murid tahun satu sehingga tahun tiga manakala tiga kelas lagi sebelah petang (gabungan tahun satu hingga enam)," katanya.

Menurut Lajamuddi, pihaknya hanya berniat untuk membantu masyarakat, selain membantu kerajaan menangani isu keciciran persekolahan.

Katanya terdapat permintaan tinggi untuk memasuki pusat itu namun pengambilan yang diadakan setiap tahun, terpaksa dihadkan berikutan keadaan kelas sempit.

“Misalnya, kelas di PPMI Kabog ini sebenarnya hanya boleh menampung 25 pelajar tetapi ketika ini ada kelas menampung sehingga 40 pelajar," katanya.

PPMI dibuka pada 2011 bertujuan memberi pendidikan kepada komuniti Pala'u sekali gus menangani isu peminta sedekah dalam kalangan mereka.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kunak Norazlinah Arif berkata kolaborasi Pejabat Pendidikan Daerah bersama Haluan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak bukan warganegara atau tiada kewarganegaraan, membantu golongan itu menjalani kehidupan yang lebih baik.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment