Wednesday 22 November 2023

KPM JAMIN KESELAMATAN DI SEMUA INSTITUSI PENDIDIKAN


KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius ancaman keselamatan di beberapa sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat seperti yang dilaporkan oleh media.

Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya dan bekerjasama erat dengan polis untuk tujuan berkenaan.

Semua institusi pendidikan di bawah KPM juga diminta mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan.

“Sebarang ancaman keselamatan perlu dilaporkan segera kepada polis dan KPM. Institusi pendidikan juga perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

KPM komited memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya terpelihara.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa sekolah swasta dan kerajaan iaitu tujuh di Selangor, Kuala Lumpur (lima), Johor (tiga), Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.

Hari ini, dua laporan polis diterima melibatkan sebuah sekolah antarabangsa di Kajang, Selangor dan Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

BERNAMA ONLINE

BERI PELUANG ANAK DIDIK BERFIKIRAN KREATIF, PENDIDIKAN BERTERASKAN REALITI - TUANKU ZARA

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bertitah pada majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-25 2023

TANJUNG MALIM, 22 Nov (Bernama) -- Golongan pendidik perlu memberi peluang kepada anak didik berfikiran kreatif bagi membolehkan mereka mencabar kelaziman serta diserlahkan dengan pelbagai realiti kehidupan termasuk dipersiap dengan pendidikan berteraskan realiti kehidupan.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim bertitah guru yang sejati mempunyai roh, semangat dan jati diri yang ikhlas dalam mendidik anak didiknya, bukan sahaja hebat dalam kaedah pengajaran malah memiliki sifat pendidik semula jadi lagi berhemah serta disanjung, dihormati selain dikasihi murid dan masyarakat.

Dalam masa sama, Tuanku Zara bertitah pendidik perlu menjadi warga yang berharga, sedia berkhidmat serta berbakti untuk negara dan masyarakat.

“Perlihatkan sifat-sifat insan berilmu yang tertib, beradab, bersopan dan berbudi bahasa dalam tutur dan perbuatan. Semaikan dan amalkan semangat kenegaraan yang tinggi dengan menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara,” titah Tuanku Zara pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-25 di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam sembah ucapannya berkata konvokesyen kali ini menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,616 graduan merangkumi 121 Ijazah Doktor Falsafah, 1,487 Ijazah Sarjana, 4,240 Ijazah Sarjana Muda, 852 diploma serta 916 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

Konvokesyen kali ini turut menganugerahkan ijazah secara anumerta kepada waris seorang pelajar pada 29 Nov.

Sempena majlis istiadat sesi pertama juga, Tuanku Zara berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti kepada bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Ismail yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Universiti Malaya, kemudiannya menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti of Hull, United Kingdom dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada 1995 dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Federalisme Fiskal pada 2004 di universiti yang sama.

Sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 36 tahun, Ismail pernah memegang beberapa portfolio penting antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan.

Yang terakhir, beliau dilantik sebagai KSN bermula Ogos 2018 sehingga Disember 2019.

Tuanku Zara turut menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja serta beberapa anugerah termasuk Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti (Kepimpinan), Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah dan Anugerah Buku, serta beberapa anugerah daripada tokoh dan pemain industri.

Anugerah Pelajaran Diraja dianugerahkan kepada dua pelajar cemerlang iaitu Rossalini Ramzi, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan Khoo Shu Yin, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian.

BERNAMA ONLINE

Saturday 18 November 2023

GURU BESAR TINGGAL DALAM STOR SEKOLAH LEBIH TIGA TAHUN DEMI PENDIDIKAN ANAK MURIDNYA

Imej dari tiktok @mr.george_odol


TELUPID, 18 Nov (Bernama) -- ‘Guru umpama lilin membakar diri menerangi orang lain,’ kata-kata yang amat cocok bagi mencerminkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan George Odol, yang berkorban demi memberikan pendidikan untuk anak muridnya di kawasan pedalaman, di sini.

Masakan tidak, George sanggup tinggal di sebuah stor sekolah sejak dipindahkan ke sekolah tersebut lebih tiga tahun lalu pada pada Jun 2020, namun beliau tidak pernah kesal ke kawasan pedalaman walaupun berdepan pelbagai kesukaran, kerana mahu memberikan pendidikan terbaik untuk anak bangsanya.

George, yang akan bersara wajib pada 27 Nov ini, berkata beliau tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru walaupun berada jauh di pedalaman.

“Saya juga terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi untuk kelas pra-sekolah. Agak sedih juga lah seorang guru besar tinggal di rumah begini sahaja, sudah tiga tahun lebih. Apa boleh buat kami guru-guru terpaksa korbankan keselesaan datang ke sekolah pedalaman untuk anak (murid) kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian platform media sosial Tik Tok yang ditonton lebih 68,000 penonton sehingga berita ini ditulis dan perkongsian itu kini tular terutama dalam kalangan warganet di https://www.tiktok.com/@mr.george_odol/video/7301702844569128193

Telupid merupakan sebuah daerah di kawasan pedalaman Sabah dan SK Ulu Ansuan itu terletak kira-kira 230 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan perjalanan antara lain menelusuri kaki Gunung Kinabalu serta jalan raya yang kurang baik dan jalan tanah merah.

Menceritakan tentang sekolah itu, George berkata SK Ulu Ansuan mula dibina pada 1999 dan siap pada sekitar 2000 tanpa rumah guru, malah guru yang mula-mula dihantar ke sekolah ini tinggal di rumah orang kampung dan selepas itu kelas yang telah diubah suai.

“Enam tahun selepas itu PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) membina dua rumah untuk guru tinggal, tetapi ala kadar sahaja. Penghujung perkhidmatan saya, telah diluluskan pembinaan rumah panjang tujuh pintu untuk guru tetapi saya utamakan guru luar Telupid, tidak apa saya tinggal dalam stor ini,” katanya.

Beliau yang daripada etnik Kadazandusun berkata kebanyakkan murid di kawasan pedalaman itu dari etnik yang sama, justeru ia memberikan semangat untuk dirinya meneruskan usaha mendidik anak bangsanya sendiri.

“Jika bukan kami guru (etnik) Kadazandusun datang ke sini untuk mendidik anak-anak ini di sekolah pedalaman, siapa lagi yang diharapkan. Inilah pengorbanan kami guru bertugas di kawasan pedalaman Sabah,” katanya yang menambah tidak membawa keluarganya tinggal di sekolah itu kerana isterinya juga seorang guru bertugas di SK Menanam, Telupid.

Sehingga berita ini ditulis, Bernama menghadapi kesukaran untuk menghubungi George kerana liputan telekomunikasi yang agak terhad di kawasan tersebut.

BERNAMA ONLINE

Friday 10 November 2023

PENDIDIKAN PELABURAN MASA DEPAN, IBU BAPA PASTIKAN ANAK HADIR KE SEKOLAH

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun beramah mesra bersama murid sekolah pada Program Intervensi Kehadiran Murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Tekir di Labu, hari ini

SEREMBAN, 10 Nov (Bernama) -- Pendidikan merupakan satu pelaburan penting bagi masa depan dan ibu bapa memainkan peranan memastikan anak-anak mereka hadir serta mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran ditetapkan di sekolah, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ibu bapa khususnya di negeri ini perlu sedar sekiranya anak-anak ketinggalan dalam bidang pendidikan, impaknya turut terkesan dalam bidang sosial dan ekonomi.

Aminuddin berkata isu keciciran murid terutamanya dalam kalangan Orang Asli juga perlu mendapat perhatian semua pihak supaya mereka menerima pendidikan sama seperti pelajar lain.

“Sebenarnya kegagalan pelajar disebabkan kehadiran, mereka kurang hadir ke sekolah. Pelbagai usaha dilakukan terutamanya mengatasi masalah pelajar lemah dalam pelajaran, tetapi kalau pelajar tidak ke sekolah agak sukar kelas tambahan atau pemulihan dijalankan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program intervensi kehadiran murid Orang Asli bersama Kelloggs di Sekolah Kebangsaan Tekir, Labu, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNNS) Dr Roslan Hussin, Pengarah Kilang Kellogg Asia Products Sdn Bhd Matan Raj.


Aminuddin berkata dalam usaha menggalakkan pelajar ke sekolah, kerjasama sektor swasta bagi program intervensi dapat menggalakkan kehadiran murid ke sekolah dan mengelakkan gejala ponteng.

Beliau berkata JPNNS dan NS invest (Negeri Sembilan) dicadangkan memperbanyak program intervensi kehadiran pelajar ke sekolah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai usaha melahirkan lebih ramai masyarakat menjadi pemangkin pembangunan negeri pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Roslan berkata tahap keciciran dan ketidakhadiran pelajar di negeri ini merekodkan peratusan rendah iaitu lapan peratus berbanding di peringkat nasional dalam lingkungan 10 peratus.

“Kita mengambil tindakan yang berfokus bagi masalah keciciran ini. Namun, ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak ke sekolah antaranya terpaksa membantu keluarga, ada juga pelajar yang sudah bekerja,” katanya.

Bagi program intervensi kehadiran murid hari ini, Kellogg menyediakan bijirin sarapan pagi iaitu ‘Better Days Promise’ setiap minggu kepada 100 pelajar di sekolah berkenaan bagi tempoh setahun serta pelbagai aktiviti bagi menggalakkan pelajar ke sekolah.


BERNAMA ONLINE


Tuesday 7 November 2023

KPM, KPT PERLU TUMPU TINGKAT MUTU PENDIDIKAN NEGARA SELARAS PENAMBAHBAIKAN FASILITI - ANWAR

Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama murid sekolah pada majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan bandar Baru Bangi

BANGI, 7 Nov (Bernama) -- Usaha Kerajaan Perpaduan menambah baik fasiliti pembelajaran di seluruh negara perlu diterjemahkan dengan peningkatan mutu pendidikan murid dan pelajar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memberi penumpuan kepada meningkatkan mutu pendidikan negara seawal tahun hadapan sejajar dengan penambaikan fasiliti itu.

“Tahun ini kita banyak beri perincian, penumpuan kepada keperluan murid dan pelajar selain meningkatkan fasiliti pendidikan di seluruh negara. Tandas dah elok, pembinaan sekolah baharu (menggantikan yang daif) dah siap, prasarana kemudahan semua dah cukup.

“Nak bantuan pun kita bagi, jadi (tahun hadapan) prestasi tak boleh sama macam tahun lepas (2023), kena ada peningkatan, kalau prestasi anak murid tak berubah, kita tidak mahu. Saya dah bagi tahu Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Khaled Nordin (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi) tumpuan lepas ini angkat dan tingkat mutu pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata Malaysia tidak boleh maju dan membangun sekiranya mutu pendidikannya tidak meningkat.

Beliau berkata penekanan berkaitan keperluan dan kepentingan meningkatkan mutu pendidikan negara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri yang akan dipengerusikannya Jumaat ini.

Katanya ikhtiar meningkatkan mutu pendidikan negara bagaimanapun tidak hanya bersandar kepada usaha kementerian sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ya betul, kementerian kena fokus untuk bangunkan penguasaan anak-anak dalam bahasa, matematik, angka, sains dan komputer, tapi juga saya minta PIBG bincang bagaimana penglibatan ibu bapa ini.

“Di rumah pula kita galak ibu bapa beri perhatian kepada anak-anak mereka, setiap malam, pastikan bagaimana anak-anak ini sekurang-kurangnya setengah jam, atau satu jam mereka ulang kaji pelajaran,” katanya.

Anwar berkata guru-guru bagi setiap mata pelajaran juga perlu memperincikan cadangan baharu dalam usaha meningkatkan kefahaman murid dan pelajar dalam setiap subjek.

BERNAMA ONLINE