Monday, 27 September 2021

RMK12 TAMBAH BAIK SELURUH SISTEM PENDIDIKAN, TANGANI ISU PASARAN PEKERJAAN

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik seluruh sistem pendidikan negara serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.

Antara langkah utama yang akan dilaksana bagi menambah baik sistem pendidikan negara termasuk memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk Revolusi Industri 4.0 (4IR).

“Persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah RM1.6 bilion pada tahun 2021 dan 2022; dan sebanyak empat kompleks sekolah dan lima sekolah baharu akan dibina melibatkan kos RM848 juta.

“Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET. Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET akan dibangunkan,” katanya semasa membentangkan RMK12 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai pendidikan tinggi, Ismail Sabri berkata sistem yang lebih fleksibel akan diwujudkan selain meningkatkan kerjasama dengan industri bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri.

Katanya naik taraf kemudahan beberapa universiti awam akan dilaksanakan, antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

RMK12 juga akan memperkenalkan pelan pendidikan digital di peringkat sekolah dan pengajian tinggi bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti.

Sementara itu perdana menteri berkata kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif seperti menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi.

Inisiatif lain termasuk menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi; mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah; dan memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia.

“Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh. Selain itu Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Friday, 24 September 2021

PENGOPERASIAN INSTITUSI PENDIDIKAN ALAMI PERALIHAN FASA BERKUAT KUASA SELEPAS DUA MINGGU - KPM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi negeri-negeri yang mengalami peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan berkenaan.

Menurut KPM dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter hari ini, keputusan itu terpakai untuk negeri-negeri seperti Johor, Pahang dan Negeri Sembilan yang mengalami peralihan fasa PPN berkuat kuasa hari ini.

Di Johor, pembukaan institusi pendidikan bermula pada 10 Okt mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Dua PPN, sebaliknya di Pahang pembukaan kekal pada 4 Okt mengikut ketetapan Fasa Dua, namun akan berubah mengikut ketetapan Fasa Tiga bermula 11 Okt.

Pembukaan institusi pendidikan di Negeri Sembilan kekal pada 4 Okt mengikut ketetapan Fasa Tiga sebelum pengoperasian berubah mengikut ketetapan Fasa Empat bermula 18 Okt.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara memberi kebenaran untuk pelajar Tingkatan Enam Semester Dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa Satu untuk hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Okt untuk kumpulan pelajar berkenaan manakala pelajar lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Pengoperasian institusi pendidikan di Pulau Langkawi bermula 3 Okt mengikut ketetapan Fasa Empat susulan pengumumannya sebagai kawasan gelembung pelancongan.

Menurut KPM, pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri-negeri yang tidak terlibat dengan peralihan fasa hari ini adalah kekal berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti diumumkan pada 12 Sept.

Institusi pendidikan di bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru, serta institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

Ketetapan berkenaan turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

BERNAMA ONLINE

Monday, 20 September 2021

KEBERKESANAN KAEDAH PDPR PADA TAHAP SEDERHANA - KPM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.

“Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar. Bagi RPT pula 46.2 peratus guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1 peratus guru di luar bandar.

“51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah… daripada kumpulan itu 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia hari ini.

Jawapan oleh KPT itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh Pandemik COVID-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.

Menurut kementerian itu 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

Pada suku pertama tahun ini, KPM turut menjalankan Tinjauan Pelaksanaan PdPR melibatkan 500 sekolah melalui pemerhatian terhadap PdPR yang dilaksanakan dalam talian atau gabungan dalam dan luar talian.

Sebanyak 1,053 pemerhatian terhdap Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru melalui kehadiran Nazir Sekolah dalam kelas PdPR mendapati 97.4 peratus berjaya membimbing murid memahami isi, konsep dan fakta yang diajar.

BERNAMA ONLINE

Sunday, 12 September 2021

PENGGILIRAN MURID HADIR SEKOLAH SECARA MINGGUAN - RADZI


PUTRAJAYA: Pembukaan semula sesi persekolahan tahun ini yang akan dilanjutkan sehingga Februari tahun depan, akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan, bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan COVID-19.

Katanya, langkah itu juga bagi pengawalan murid dan guru akan memastikan murid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Dengan penggiliran itu, murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus," katanya dalam sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Radzi berkata, enam kategori pelajar dikecualikan daripada penggiliran dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Murid yang dikecualikan itu adalah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK)/Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional(SMPKV)/Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas(SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Turut disenarai pelajar Tingkatan Enam Semester 2 dan The International Baccalaureate®️ Diploma (IBD) Tahun 2, murid sekolah asrama sepenuhnya, pelajar peperiksaan antarabangsa, murid prasekolah, tadika swasta dan pusat perkembangan minda (4-6 tahun).

Sekolah kurang murid iaitu di bawah 150 orang juga dikecualikan penggiliran.

Radzi berkata, sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan sehingga Februari tahun depan bagi membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan semua pelajar, khususnya yang ketinggalan, bersedia untuk masuk ke kelas berikutnya.

Beliau berkata, lanjutan itu bermakna semua pelajar akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan, sebelum dibenarkan naik ke peringkat seterusnya bermula Mac 2022.

Katanya, bagi sesi persekolahan secara bersemuka akan kekal dilaksanakan mulai 3 Oktober hingga Mac tahun depan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dilakukan secara penggiliran.

Beliau turut menjelaskan semua sekolah di negeri fasa satu, iaitu Kedah dan Johor akan kekal ditutup buat masa ini, sekali gus semua pelajar di dua negeri berkenaan akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi negeri di Fasa Dua PPN, semua institusi pendidikan ditutup dan dilaksanakan sesi PdPR tetapi hanya kelas peperiksaan boleh kembali ke sekolah.

"Bagi Fasa Tiga, semua institusi pendidikan dibuka secara berperingkat tertakluk kepada ketetapan Kementerian Pendidikan dan penilaian risiko manakala Fasa Empat PPN, semua institusi pendidikan dibuka sepenuhnya tertakluk kepada penilaian risiko semasa, " katanya.

Bagi sekolah yang termasuk dalam Program Gelembung Pelancongan seperti Langkawi semua sekolah akan dibuka mengikut fasa empat PPN walaupun Kedah kini berada di Fasa Satu.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media pengoperasian sekolah, hari ini. 

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 3 September 2021

DASAR PENDIDIKAN BAGI KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS PERLU DITAMBAH BAIK

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Dasar pendidikan khas nasional perlu ditambah baik dalam usaha menangani aspek pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas, yang merupakan antara kumpulan rentan dalam komuniti.

Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Hasnah Toran, berkata seharusnya terdapat hubungan kait yang baik kepada pasca pendidikan sekolah menengah yang akan membolehkan kanak-kanak meneruskan pembelajaran selepas menamatkan alam persekolahan.

"Ia menuntut usaha menghubungkan anak-anak ini dengan latihan vokasional dan pekerjaan," katanya pada simposium maya baru-baru ini bagi menangani keperluan masyarakat di Malaysia semasa pandemik COVID-19.

"Kita perlu melakukan intervensi awal yang komprehensif," katanya ketika mengulas topik "Pendidikan: Cabaran Pembelajaran Dalam Talian untuk Kanak-kanak Berkeperluan Khas," pada simposium yang dianjurkan oleh Yayasan RYTHM - inisiatif impak sosial Kumpulan QI.

Dr Hasnah dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Perancangan dan Dasar Pendidikan Universiti Malaya Dr. Donnie Adams Paramasivam yang bercakap mengenai pendidikan berkeperluan khas, bersetuju bahawa "kesedaran mengenai sains dan ciri-ciri pendidikan khas sangat diperlukan terutama bagi ibu bapa."

Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Sri Umayal Eswaran berkata ibubapa, guru dan pelajar belum bersedia berhadapan dengan cabaran pandemik, tidak ada komunikasi bersemuka, apa lagi berurusan dengan isu-isu tingkah laku dan dan keperluan khas.

"Kanak-kanak ini tercicir daripada pembelajaran selama lebih dari setahun, dan mereka juga tidak dapat menghadiri terapi, sekolah, dan struktur pembelajaran yang sempurna.

Katanya beberapa guru dan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman seperti di Sabah tidak dapat berurusan dalam talian kerana masalah kelemahan liputan internet.

“Pihak berkuasa perlu melihat semua kelemahan bagi komuniti segmen rentan ini untuk kebaikan Malaysia dalam pembentangan belanjawan 2022, dan juga Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Beliau berkata simposium hari ini diadakan bagi melihat keperluan komuniti di Malaysia semasa pandemik, menggesa pemegang taruh untuk memberi tumpuan kepada komuniti rentan, terutama kumpulan B40 yahg kini dikenali sebagai kumpulan B60, berhubung cara yang lebih baik dan berkesan dalam menghadapi krisis yang belum pernah diharungi sebelum ini yang menimbulkan kebimbangan ramai.

Fokus utama simposium itu adalah untuk menggariskan posisi Yayasan berkenaan - yang termasuk berkaitan isu-isu ekonomi, untuk dibawa kepada pembuat dasar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ia bertujuan membantu usaha-usaha kerajaan menangani kesan terus dan tidak langsung pandemik terhadap kumpulan rentan seperti kanak-kanak berkeperluan khas, dan juga kemuniti secara keseluruhan, menerusi penjanaan idea-idea serta cadangan bernas oleh pemegang taruh, dangan penyelesaian jangka panjang dan sederhana.

“Kanak-kanak berhadapan dengan risiko menjadi mangsa secara tersembunyi. Krisi yang kita hadapi bukan hanya melibatkan mereka yang menjadi mangsa serangan atau kumpulan rentan yang tidak mampu mempertahankan diri, tetapi juga keatas seluruh negara,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Monday, 30 August 2021

KPM TERUS PERKASA EKOSISTEM PENDIDIKAN NEGARA - RADZI JIDIN

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin akan terus ikhtiarkan yang terbaik dan berusaha gigih dalam memperkasa ekosistem pendidikan negara.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, katanya dalam tempoh 18 bulan berada di Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini, banyak perkara yang telah dicapai dalam usaha menambahbaik pendidikan negara.

"Amanah yang diberi akan kami junjung sehabis baik,” katanya.

Selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini, Radzi terus mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah Pendidikan serta pengurusan tertinggi KPM.

Seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

BERNAMA ONLINE

Sunday, 22 August 2021

TMJ TITAH PENGARAH PENDIDIKAN JOHOR, GURU TOLAK VAKSIN MENGHADAP

JOHOR BAHRU, 22 Ogos (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menitahkan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan seramai 779 guru di negeri ini yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin COVID-19 menghadap baginda dalam masa terdekat.

Tunku Ismail menerusi hantaran dalam laman Twitter bertitah ini kerana keutamaan adalah untuk mengatasi pandemik itu secepat mungkin supaya rakyat dan negeri boleh kembali serta meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan guru-guru tersebut dalam masa terdekat. Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa," titah baginda.

Untuk rekod, jawatan Pengarah JPNJ kini dipangku Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembelajaran) Shahilon Abd Halim.

Baginda berkata demikian ketika mengulas lapoean berita mengenai seramai 779 guru di negeri itu telah menolak pemberian vaksin COVID-19.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terdapat golongan guru yang menolak pemberian vaksin.

Bagaimanapun, usaha kini dilakukan menerusi JPNJ dan Jabatan Agama Islam untuk memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin supaya golongan guru itu bersetuju menerima vaksin berkenaan.

Sehingga 19 Ogos, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor telah menerima dos pertama dan seramai 23,746 guru sudah lengkap menerima kedua-dua dos suntikan vaksin, kata ADUN Puteri Wangsa itu.

Anggota kumpulan pelaksana (AKP) seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan 2,816 atau 39.37 peratus telah lengkap dua dos vaksin.

Staf sokongan operasi pula seramai 9,236 atau 71.49 peratus telah menerima satu dos vaksin dan 7,030 atau 54.42 peratus telah menerima dua dos suntikan vaksin.

BERNAMA ONLINE