Friday, 26 November 2021

ELAK KLUSTER PENDIDIKAN, MURID SEKOLAH RENDAH JALANI UJIAN SARINGAN COVID-19 MULAI ISNIN INI

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan bermula Isnin ini (29 Nov), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan (NTS) selain bertujuan untuk mengelakkan penularan kluster pendidikan di sekolah.

“Antara perkara di bawah strategi ini adalah keperluan untuk sekolah rendah, di mana muridnya adalah di bawah usia kelayakan untuk menerima vaksin, perlu menjalani ujian saringan.

“Ujian ini perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya pada 10 peratus sampel (murid) daripada populasi murid sekolah secara bergilir-gilir, dan pada sampel yang berbeza setiap minggu,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Khairy berkata ujian saringan berkenaan perlu dilaksanakan kepada murid tanpa mengira sama ada mereka bergejala atau tidak.

Dokumen NTS juga boleh didapati di https://covid-19.moh.gov.my/reopeningsafely/nts sebagai rujukan.

Menurut dokumen berkenaan, saringan perlu dilakukan dengan kit ujian kendiri RTK-Ag dengan pemantauan daripada pihak sekolah.

Dalam perkembangan lain mengenai harga siling vaksin Sinovac di pasaran swasta, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), akan menetapkan harga siling bagi vaksin berkenaan dan akan diumumkan minggu hadapan.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 20 November 2021

PENDIDIKAN MASYARAKAT ORANG ASLI SENTIASA DIBELA - PM

BERA, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan sentiasa menekankan pembelaan terhadap masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk dalam aspek pendidikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara inisiatif yang dilaksanakan untuk kemajuan pendidikan mereka ialah Program Laluan Khas Kemasukan Pelajar Orang Asli ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang bakal dilaksanakan tahun depan.

"Ruang dan peluang sebegini dapat membuka peluang lebih cerah kepada anak Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran, dan kita yakin dapat menyaksikan lebih ramai anak Orang Asli berjaya sebagai profesional daripada UPNM.

"Atas paksi falsafah Keluarga Malaysia juga, keberkesanan dan keterangkuman masyarakat Orang Asli menjadi agenda penting agar mereka dapat bersama-sama memikul tanggungjawab membangunkan negara menerusi perkongsian semangat satu tanah air tercinta," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap dalam majlis tinjauan mesra sempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Sekolah Kebangsaan Bukit Rok di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Pengarah JAKOA Sapiah Mohd Nor dan Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Perdana menteri berkata bantuan pendidikan, yang dihentikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, telah disambung semula dengan peruntukan tambahan untuk membantu pendidikan anak Orang Asli.

"Kita juga mempermudahkan pembelajaran anak Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman dengan menyediakan kemudahan asrama... dahulu kita ada sekolah K9 (Sekolah Model Khas Komprehensif) namun, peluang itu ditambah dengan sekolah K11 (Sekolah Model Khas Komprehensif 11).

"Kita mahu melihat lebih ramai anak Orang Asli belajar sehingga ke peringkat luar negara, bukan hanya mempunyai ijazah sarjana namun sehingga dapat mengenggam ijazah doktor falsafah (PhD)," kata beliau.

Ismail Sabri berkata pembelaan untuk Orang Asli juga dapat dilihat menerusi peruntukan bagi golongan tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022.

Perdana menteri berkata semasa menerajui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah pada 2018, beliau melantik Ketua Pengarah JAKOA daripada kalangan masyarakat Orang Asli iaitu Datuk Ajis Sitin.

Mengenai Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu, Ismail Sabri berkata program khidmat komuniti berkonsepkan Service-Learning Malaysia University for Society atau SULAM itu bersifat serampang dua mata iaitu membantu masyarakat setempat dan membentuk sahsiah serta peribadi mahasiswa terlibat.

"Program sebegini juga mendedahkan mahasiswa dengan kemahiran memahami budaya setempat yang amat diperlukan kerana mereka bakal menjadi pemimpin selain pencetus perubahan masa depan setelah menamatkan pengajian dan berkhidmat dalam sektor kerajaan mahupun swasta," katanya.

Program itu, yang berlangsung sejak seminggu lepas, disertai 50 penuntut perubatan dan 15 pensyarah Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan UPNM bertujuan memberi pendedahan berkaitan tahap kesedaran kesihatan wanita dan kanak-kanak.

Ismail Sabri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman kerjasama strategik antara UPNM dan JAKOA serta penyerahan replika cek bernilai RM90,840 daripada JAKOA kepada universiti itu bagi menaja empat pelajar Orang Asli.

JAKOA membiayai 983 pelajar Orang Asli dalam pelbagai bidang dan peringkat pendidikan dengan kos lebih RM4.2 juta.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 16 November 2021

COVID-19 :5,413 KES BAHARU HARI INI, KLUSTER TEMPAT KERJA DAN PENDIDIKAN TUNJUK PENINGKATAN

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Kes baharu COVID-19 hari ini mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 5,413 kes, berbanding 5,143 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu sebanyak 98.1 peratus atau 5,311 kes adalah daripada kategori satu dan dua, manakala 102 kes atau 1.9 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.

Kes sembuh pula mencatatkan 6,013 kes, menjadikan kumulatif kes yang pulih kini berjumlah 2,461,780, dan tujuh kluster baharu dikenal pasti dengan menjadikan kluster aktif kini 252 kes.

“Sebanyak 545 kes sedang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara 264 kes pula memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga 13 Nov lepas iaitu Minggu Epidemiologi (ME) ke-45, sebanyak 2,541,147 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan, dengan 64,047 kes aktif dan 29,631 kes kumulatif kematian.

Beliau berkata kebanyakan indikator utama seperti purata kes aktif, kes kematian, dan kadar kes yang memerlukan rawatan di ICU sedang menunjukkan tren penurunan, namun, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt telah mencatatkan peningkatan harian semenjak 6 Nov lepas.

“Situasi ini kekal membimbangkan kerana peningkatan kes baharu dan nilai Rt daripada minggu sebelumnya menggambarkan potensi penularan jangkitan COVID-19 kepada masyarakat, dan seterusnya risiko pendedahan yang lebih tinggi untuk dijangkiti oleh virus tersebut,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata kluster di tempat kerja yang sebelum ini menunjukkan penurunan semenjak ME ke-37k kini mulai meningkat semula pada ME ke-45 selari dengan pergerakan rentas negeri dan pembukaan sektor ekonomi sepenuhnya oleh kerajaan, pada Pelan Pemulihan Negara Fasa Empat (PPN).

Selain itu, katanya kluster pendidikan turut menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding minggu sebelumnya, berikutan penambahan negeri-negeri yang telah memasuki Fasa Empat PPN yang membolehkan sesi persekolahan dilaksanakan secara bersemuka di kelas.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

BERNAMA ONLINE

Monday, 8 November 2021

PENJAWAT AWAM KEMENTERIAN PENDIDIKAN PALING RAMAI BELUM TERIMA VAKSIN COVID-19

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Penjawat awam di Kementerian Pendidikan dipercayai paling ramai belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika ini masih mengemas kini data penjawat awam yang masih belum divaksinasi dan proses itu dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Katanya JPA sedang memadankan data-data mereka yang belum divaksinasi menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) dan aplikasi MySejahtera daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat hari ini, data sedang dikemas kini dan JPA akan padankan balik apakah alasan-alasan yang diberikan untuk mereka dikecualikan daripada vaksinasi.

“Alasan yang diberikan ini kemudiannya akan dirujuk oleh setiap ketua jabatan… jadi ketua jabatan perlu turun ke bawah melihat dan memahami apa alasan yang diberikan untuk tidak divaksinasi,” katanya ketika ditemui selepas Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di sini hari ini.

JPA dalam pekeliling sebelum ini mewajibkan penjawat awam termasuk guru untuk mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum 1 Nov, atau mereka boleh berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Pada 1 Nov lepas, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pengurusan sekolah dibenar memeriksa sijil vaksinasi guru serta merta bagi memastikan tiada guru yang culas dalam mematuhi pekeliling dikeluarkan JPA yang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

Mohd Khairul Adib berkata setakat ini, tiada tindakan tatatertib dikenakan terhadap penjawat awam yang enggan menerima vaksin COVID-19.

“Kita faham, ada yang khuatir, takut terima vaksin, dan ada yang tak boleh terima kerana mereka pesakit kanser, baru lepas bersalin dan dijangkiti COVID-19. Kumpulan ini diberi pengecualian,” katanya.

Beliau berkata ketua jabatan juga perlu membuat keputusan yang baik berhubung isu berkenaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terhadap masyarakat tidak terjejas.

“Kadang-kadang ketua jabatan terpaksa bertegas kerana perlu perkhidmatan yang ada, tidak terjejas,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Friday, 29 October 2021

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TERIMA PERUNTUKAN TERBESAR BERJUMLAH RM52.6 BILION

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) – Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagi tahun 2022, kerajaan bersetuju menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150, meningkat berbanding RM100 sebelum ini bagi membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

Beliau berkata sejumlah RM450 juta diperuntukkan bagi tujuan itu yang dijangka memanfaat tiga juta murid yang layak.

“Tidak ada yang lebih menggembirakan buat anak-anak apabila dapat kembali semula ke sekolah secara bersemuka bersama rakan. Setiap awal tahun, tentunya ibu bapalah yang paling sibuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid semasa pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR), kerajaan buat kali pertama menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru di bawah KPM.

Beliau berkata sejumlah RM1 bilion pula disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah termasuk RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar iaitu meningkat berbanding RM100 juta yang diperuntukkan pada tahun ini.

“Peruntukan penyelenggaraan kepada lebih 10,000 sekolah di bawah KPM akan diagihkan mengikut jenis sekolah berdasarkan kadar yang seragam,” katanya.

Katanya RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil bagi tahun 2022.

Di samping itu, kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada RM746 juta pada tahun hadapan dengan sebilangan besar peruntukan adalah untuk 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

Bagi memperkasa agenda pendidikan khas, kerajaan menyediakan RM50 juta antaranya untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas selain lapan blok baharu dibina termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen di Perlis dan SMK Agama Alor Gajah, Melaka.

Selain itu, RM400 juta diperuntukkan bagi penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 23 October 2021

WARGA PENDIDIK HARUS BIJAK BERADAPTASI PASTIKAN PERKEMBANGAN PENDIDIKAN SEMAKIN RELEVAN

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Warga pendidikan yang menjunjung falsafah pendidikan Kebangsaan harus bijak beradaptasi bagi memastikan perkembangan pendidikan sentiasa berada di landasan yang betul dan semakin relevan dengan kehendak semasa.

Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid berkata situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara telah menuntut untuk para guru agar sentiasa berfikiran kreatif dan proaktif agar tidak mudah mengalah dengan bencana yang melanda.

"Sehubungan dengan itu, kita seharusnya melangkah sederap bagi memastikan segala apa yang telah dirancang dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin. Pelbagai pendekatan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) seharusnya dapat meningkatkan nilai tambah serta disesuaikan dengan situasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Usaha ini dapat dijelmakan dari semasa ke semasa melalui penggabungjalinan aplikasi yang menekankan aspek pelibatan murid secara aktif dan menyeluruh agar selari dengan Aspek 4.6 iaitu murid sebagai pembelajar aktif dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang-2 (SKPMg2)," katanya dalam majlis penutupan Konvensyen Pendidikan Putrajaya 2021 yang berlangsung secara dalam talian, di sini hari ini.

Nor Zamani berkata tema konvensyen tahun ini iaitu "Perkongsian Amalan Terbaik PdP dalam Memperkasakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Melalui Norma Baharu" seharusnya dijana secara efektif bagi memastikan kualiti para guru dapat ditingkatkan dan kemenjadian murid secara holistik berjaya direalisasikan.

Beliau berkata usaha itu juga selari dengan enam aspirasi murid seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu setiap murid akan mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

"Dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21, aspek pedagogi merupakan salah satu disiplin ilmu yang penting bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan bermakna," katanya.

Beliau berkata perkongsian segala bentuk pengetahuan, kemahiran, penyelidikan, dapatan dan inovasi oleh para guru di Konvensyen Pendidikan Putrajaya seharusnya dapat dimanfaatkan secara optimum dengan menyebarluaskan dalam pelbagai medium dan aplikasi serta memberi manfaat kepada murid-murid dan dunia pendidikan secara umumnya.

Konvensyen anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dengan kerjasama Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) itu bertujuan mewujudkan kerjasama organisasi secara optimum dalam meningkatkan profesionalisme keguruan khususnya dari aspek pedagogi dan amalan terbaik PdPR para guru.

Konvensyen Pendidikan Putrajaya 2021 merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangan para pendidik yang bertugas di Putrajaya serta membuka ruang kepada mereka untuk meningkatan pengetahuan dalam amalan pedagogi pengajaran bagi menghadapi cabaran abad ke-21.

Ia juga adalah platform bagi para pendidik memperoleh idea dan pengetahuan baharu tentang amalan terbaik pedagogi yang mutakhir serta memupuk dan membudayakan amalan penyelidikan dalam kalangan guru serta berkongsi hasil kajian secara lisan dan bertulis.

BERNAMA ONLINE