Friday, 18 March 2022

HAMPIR 14,000 GURU ONE-OFF TELAH DITEMPATKAN

KUALA LANGAT, 18 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan hampir 14,000 guru telah ditempatkan setakat ini menerusi pengambilan secara one-off yang dilaksanakan kementerian itu bagi mengatasi masalah kekurangan guru.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata kira-kira lebih 4,000 guru lagi sedang dalam proses untuk ditempatkan, berdasarkan 18,702 jumlah guru yang diperuntukkan bagi pengambilan tersebut.

“Dengan pengambilan baharu (one-off) ini, kami akan beri keutamaan pergerakan kepada guru-guru yang telah lama (untuk dipindahkan) sebelum kami bawa masuk guru-guru baharu di kawasan yang mana permohonan untuk pertukaran itu tinggi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sekolah Menengah (SMK) Bandar Saujana Putra, di sini hari ini.

Radzi berkata susulan pengambilan guru baharu tersebut, permohonan pertukaran guru adalah antara yang tertinggi pernah diluluskan dalam sejarah iaitu lebih daripada 55 peratus.

Mengulas berhubung takwim pembelajaran akademik bagi penggal 2022/2023, Radzi berkata setakat ini kalendar tersebut masih dikekalkan walaupun negara bakal memasuki fasa endemik 1 April ini.

Mengulas berhubung pengoperasian SMK Bandar Saujana Putra, Radzi berkata seramai 988 pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dijadualkan memulakan persekolahan di sekolah tersebut pada 21 Mac depan.

Media sebelum ini melaporkan SMK Bandar Saujana Putra yang pembinaannya diteruskan pada 2020 selepas terbengkalai sejak 2019, telah siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada Mac ini.

Radzi berkata sejak dua tahun lepas, kementerian telah memberi keutamaan untuk konteks infrastruktur pendidikan, termasuk usaha menyiapkan pembangunan sekolah terbengkalai.

BERNAMA ONLINE

Wednesday, 16 March 2022

8,120 GURU BAHARU LAPOR DIRI MULAI 1 MAC

Putrajaya: Seramai 8,120 guru baharu pengambilan khas secara one-off yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga, boleh mula membuat semakan penempatan bermula kelmarin.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata guru terbabit bakal melapor diri di sekolah masing-masing mulai 1 Mac ini.

Beliau yang berkongsi khabar berkenaan melalui akaun Facebook semalam, berkata pengambilan khas guru secara one-off yang membabitkan keseluruhan 18,702 guru itu, bertujuan menyelesaikan isu kekurangan tenaga pengajar yang berlarutan sekian lama.

“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), iaitu pihak berkuasa melantik, untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru secara one-off itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata, ia amat penting bagi menampung keperluan guru, khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.

“Insya-Allah, KPM berusaha menyelesaikan perkara yang lama berlarutan satu persatu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” katanya.

Pada 20 Jun tahun lalu, media melaporkan, KPM akan membuat pengambilan khas guru secara one-off bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara, terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Radzi dilaporkan berkata, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 dan beliau pada bulan lalu, meminta SPP segera menyelesaikan pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi membolehkan penempatan 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang.

BERITA HARIAN HARIAN ONLINE

Monday, 14 March 2022

HAMPIR 1,000 KANAK-KANAK TANPA DOKUMEN DINAFIKAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN - SUHAKAM

SIBU, 14 Mac (Bernama) -- Hampir 1,000 kanak-kanak di Sarawak dinafikan akses kepada pendidikan kerana masalah dokumentasi, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata angka yang disediakan oleh Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) itu adalah daripada kes berlaku di kawasan bandar dan luar bandar.

Joseph dalam sidang media dijalankan secara bersemuka dan maya sempena lawatan kerja Suhakam berkata angka berkenaan adalah anggaran daripada kes terkumpul dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Sarawak.

Kanak-kanak tanpa dokumen adalah satu daripada tiga isu yang menjadi perhatian utama Suhakam di Sarawak, dengan dua lagi adalah tanah hak adat bumiputera dan penggunaan 'bin' dan 'binti' oleh bukan Islam.

“Isu ini berkaitan dengan pendidikan kerana tanpa dokumen kanak-kanak terbabit tidak boleh mendaftar persekolahan,” kata Datuk Dr Madeline Berma sambil menambah ada dalam kalangan dewasa juga tidak memiliki dokumen.

Beliau berkata isu tanah hak ada bumiputera (NRC) yang rumit banyak dilaporkan selain isu bukan Islam yang menggunakan ‘bin’ dan ‘binti’ secara automatik dinyatakan sebagai orang Islam dalam MyKad sedangkan mereka tidak mengamalkan agama berkenaan.

Ditanya mengenai usaha dilakukan mengenai pendidikan kanak-kanak tanpa dokumen memandangkan ia bukan isu baharu, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata sebagai penyelesaian sementara, suruhanjaya menulis surat kepada Kementerian Pendidikan bagi membolehkan kanak-kanak terbabit hadir ke sekolah.

“Kita tahu kedua-dua ibu bapa mereka atau seorang daripadanya adalah rakyat Malaysia dan sebagai warganegara, anak-anak mereka berhak mendapat akses kepada pendidikan di semua sekolah di Malaysia,” katanya dan menambah Suhakam juga akan menghubungi jabatan pendidikan negeri dan sekolah jika mereka enggan menerima kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, Datuk Mah Weng Kwai mencadangkan sudah sampai masanya untuk mewujudkan mahkamah khusus bagi menangani kes tanah NCR yang tertunggak sama seperti mahkamah khas mengendalikan jenayah seksual kanak-kanak dan alam sekitar di Semenanjung Malaysia.

“Saya rasa masalah atau isu NCR menjamin mahkamah yang berdedikasi untuk menangani kes tertunggak. Banyak keputusan dibuat di mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan, mungkin sudah tiba pada masanya untuk mempunyai undang-undang khusus untuk menangani keadaan yang berlaku,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Wednesday, 2 March 2022

SEMUA KANAK-KANAK PUNYA HAK TERHADAP PENDIDIKAN

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pendidikan adalah satu aset yang dapat memberi peluang kepada kanak-kanak dan keluarga mereka untuk keluar daripada kemiskinan yang bukan hanya merupakan belenggu seumur hidup dan sukar dibebaskan tetapi memberi kesan mendalam ke atas mereka.

Menurut kenyataan yang ditandatangani 105 organisasi dan individu hari ini, menafikan pendidikan untuk kanak-kanak adalah seperti memenjarakan mereka dan masa depan mereka secara efektif dalam kemiskinan kerana mereka bukannya angka atau perangkaan tetapi mereka yang benar-benar hidup dan dirosakkan oleh tindak balas serta kelakuan tertentu.

“Perhatikan sementara kami bercakap mengenai pendidikan, hak yang sama juga harus diberikan kepada akses kesihatan untuk semua kanak-kanak. Kami merayu kepada Kementerian Pendidikan untuk menguatkuasakan aspirasi dan dasar negara bagi menyediakan pendidikan bermutu kepada semua kanak-kanak di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Antara mereka yang menurunkan tanda tangan ialah Perunding Pediatrik Datuk Dr Amar-Singh HSS, Presiden Medico Legal Society Datuk Dr Venugopal Balchand, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Prof Noor Aziah Mohd Awal, Timbalan Presiden OKU Sentral Ahmad Daniel Sharani, Asia Community Service, Childline Foundation dan Yayasan Chow Kit.

Menurut kenyataan itu bahawa mana-mana negara yang tidak menyediakan makanan, perlindungan, pendidikan dan kesihatan kepada semua kanak-kanak sebagai hak asasi tanpa mengira status dokumentasi mereka, adalah negara yang gagal.

Ia berkata satu insiden baru-baru ini melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Sarawak yang dinafikan akses kepada pendidikan kerana status dokumentasinya, adalah amat menyedihkan kerana dia merupakan sebahagian besar daripada kanak-kanak di Malaysia yang dinafikan hak asasi mereka kepada pendidikan, ada antaranya mempunyai ibu bapa rakyat Malaysia.

Menurut anggaran kasar terdapat lebih 300,000 kanak-kanak di Malaysia pada masa ini dinafikan pendidikan sama ada kerana mereka tidak mempunyai kerakyatan, pelarian, pencari suaka atau tidak mempunyai dokumen.

“Apa yang mengelirukan ialah penafian kepada akses pendidikan berlaku di tengah-tengah kewujudan dasar negara yang menyokong pendidikan untuk semua kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira status dokumentasi mereka,” katanya.

Pada 24 Feb sebuah portal berita melaporkan ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun menerima satu teks pesanan ringkas menyatakan anaknya tidak lagi dibenarkan hadir ke sekolah kerana tiada dokumen pengenalan diri.

BERNAMA ONLINE

Thursday, 10 February 2022

PEMERIKSAAN SUHU BADAN TIDAK DIWAJIBKAN DI PREMIS INSTITUSI PENDIDIKAN KPM BERMULA ESOK

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Pemeriksaan suhu badan di premis institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak diwajibkan berkuat kuasa esok.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagaimanapun, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.

"Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon supaya memastikan anak atau anak jagaan mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah," menurut kenyataan itu.

Ketetapan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis bermula esok.

KPM berkata murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif serta tinggal serumah, tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

Menurutnya tahap kesihatan murid di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.

"KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM," katanya.

BERNAMA ONLINE

Thursday, 3 February 2022

SYOR LAKSANA SEMULA PdPR ELAK PENINGKATAN KLUSTER PENDIDIKAN

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diharap dapat menilai semula pembelajaran secara bersemuka. Ini susulan penularan COVID-19 yang masih belum menunjukkan tanda ia sudah stabil atau berada dalam keadaan ‘memuaskan’.

Sebaliknya, kemunculan varian baharu seperti Omicron menyebabkan seluruh dunia kelam kabut. Justeru, berdasarkan perkembangan itu, amat molek sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan semula bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pelajar.

Malah, kini kita melihat peningkatan jumlah jangkitan dan kemunculan kluster pendidikan. Berdasarkan perkembangan ini, adalah wajar pihak kerajaan memberi pertimbangan untuk melaksanakan semula PdPR sehingga satu tempoh sehingga keadaan benar-benar sesuai dan selamat.

Kita tidak boleh terus membiarkan pelajar menghadapi risiko jangkitan sama ada dengan berada di kawasan sekolah, asrama, kampus atau ketika bergerak ke tempat mereka belajar. Apa yang penting kini adalah keselamatan dan kesihatan pelajar.

Paling penting, mereka perlu berasa selamat dan selesa ketika berada di sekolah dan universiti bagi memudahkan untuk fokus sepenuhnya pada pembelajaran.

Tidak menjadi satu masalah yang besar untuk melaksanakan semula PdPR memandangkan kita sudah pun berbuat demikian beberapa kali sebelum ini. Walaupun terdapat beberapa kelemahan dan rungutan berhubung PdPR, keadaan itu masih boleh ditambah baik.

Selain itu KPM dan KPT juga perlu wujudkan pelan B sekiranya jumlah jangkitan di sekolah dan universiti semakin meningkat. Pelan B ini perlu dihebahkan kepada semua pelajar dan ibu bapa dengan segera supaya mereka dapat mengambil segala langkah awal untuk melakukan proses persediaan.

Perlu diketahui, setiap kali sesi pembukaan sekolah ia mengundang implikasi besar kepada pelajar dan ibu bapa terutama dari aspek kewangan seperti membeli peralatan serta pakaian sekolah. Begitu juga ketika pembukaan universiti. Beban kewangan ini akan menekan pelajar daripada keluarga kurang mampu.

Sekiranya sekolah dan universiti terpaksa ditutup selepas semua persiapan dibuat atau selepas pelajar tiba di kampus, ia akan menimbulkan rasa kecewa dan keadaan kelam kabut terutama membabitkan pelajar yang datang dari jauh.

Apapun keputusan yang perlu diambil, aspek keselamatan dan kesihatan pelajar seharusnya diberikan keutamaan. Hal ini termasuk persiapan emosi dan mental.

Varian baharu akan sentiasa muncul dalam kehidupan kita. Justeru KPM dan KPT perlu merangka polisi jangka panjang berhubung dasar pendidikan. Misalnya menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian sebagai dasar utama sistem pendidikan negara kita.

Walaupun sudah terdapat sedikit usaha yang diambil oleh pihak kerajaan sejak beberapa tahun yang lalu, namun tidak semua benar-benar menggunakannya. Hanya apabila keadaan sudah menjadi ‘terpaksa’ akibat penularan virus COVID-19 bermula pada awal tahun 2020, barulah pelbagai aplikasi dan teknologi sedia ada berhubung PdPR dilakukan.

Dari sudut positifnya, PdPR memberi banyak faedah dan manfaat kepada semua pihak terutama dalam aspek penjimatan kos, masa dan tenaga.

Walaupun ada beberapa kelemahan dari sudut proses pengajaran dan pembelajaran misalnya kekurangan capaian internet serta ketiadaan kemudahan atau aplikasi bersesuaian, namun ia tidak seharusnya dijadikan sebagai batu penghalang.

Kementerian berkaitan perlu bertindak menyiasat rungutan yang diterima mereka sama ada daripada guru, pensyarah dan pelajar. Semua itu diambil perhatian dan diberi penambaikan bagi membolehkan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan dengan jayanya dalam negara kita.

Dr Muzaffar Syah Mallow,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BERITA HARIAN ONLINE