Saturday, 31 October 2020

KPT PERUNTUK RM24 JUTA BANTUAN PELAN DATA UNTUK PELAJAR IPT B40

Bantuan Pelan Data kepada pelajar membolehkan mereka mendapat persekitaran pembelajaran kondusif dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP)

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM24 juta bagi Bantuan Pelan Data kepada 320,396 pelajar dari kategori B40 bagi memastikan mereka mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian susulan pandemik COVID-19.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata melalui pelan data itu sebanyak 225,784 unit kad SIM diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, Yayasan YTL dan Lembaga Tabung Haji.

"Baki seramai 94,612 pelajar pula akan mendapat pemberian tunai bagi tujuan pembelian pelan data," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di KPT di sini, semalam.

Noraini berkata, sebanyak 8,965 unit peranti komputer riba khusus diperuntukkan kepada pelajar (IPT) di bawah kategori B40 secara bersasar.

Beliau berkata, 5,965 pelajar bakal menerima bantuan komputer riba secara percuma. Selain itu, seramai 2,700 pelajar pula akan menerima bantuan dalam bentuk pemberian tunai bagi tujuan yang sama manakala seramai 300 pelajar akan menikmati bantuan pinjaman kewangan bagi memiliki komputer riba yang diperlukan pada harga istimewa.

"Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan bagi membiayai bantuan pemberian peranti ini adalah dianggarkan sebanyak RM13 juta," katanya.

Kata Noraini, dalam usaha meringankan beban pelajar untuk menanggung kos bagi mengikuti PdP secara dalam talian, KPT menawarkan pemberian bantuan tunai RM50 kepada semua pelajar baharu sesi 2020/2021 yang keseluruhannya bernilai RM3.8 juta.

Melalui bantuan tunai ini, seramai 76,153 pelajar bakal menikmati faedah yang diharap dapat membantu mereka mengikuti PdP secara dalam talian, katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kelangsungan atau kemampuan untuk pelajar meneruskan PdP secara dalam talian, KPT dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melancarkan inisiatif crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa.

Katanya, inisiatif ini dilihat sebagai satu platform bagi mengajak pihak luar bersama-sama dengan KPT dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan PdP tanpa kekangan.

"KPT berharap bantuan dan inisiatif yang ditawarkan akan dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar dalam situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19 dan dimanfaatkan sebaiknya," katanya. 

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 20 October 2020

DEMONSTRASI u-PUSTAKA

Semuanya percuma! Buku atau e-buku boleh dicapai dengan mudah di u-Pustaka. Demonstrasi menggunakan u-Pustaka anjuran Bahagian Gerakan Literasi Maklumat, Perpustakaan Negara Malaysia ini boleh diakses di https://buff.ly/3dDXZVw



SUMBER : PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA




Monday, 12 October 2020

INSTITUSI PENDIDIKAN DI SABAH, KL, SELANGOR DAN PUTRAJAYA DITUTUP - KPM

(Gambar hiasan) Sekolah di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup mulai esok dan lusa

KUALA LUMPUR: Lebih 2,700 institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah akan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Institusi pendidikan di Sabah ditutup mulai esok hingga 26 Oktober ini, manakala di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pula bermula Rabu hingga 27 Oktober.

Menurut KPM dalam satu kenyataan, hari ini, penutupan membabitkan kira-kira 1.7 juta murid dan pelajar itu meliputi TADIKA, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional, kolej matrikulasi serta institut pendidikan guru (IPG).

"Keputusan ini akan membabitkan sebanyak 1,336 institusi dengan 511,349 murid dan pelajar di Sabah, termasuk institusi yang sudah ditutup di daerah dikenakan PKPB sebelum ini.

"Selain itu, 1,088 institusi pendidikan membabitkan 935,984 murid dan pelajar di Selangor, termasuk sekolah di mukim Klang serta Petaling yang telah ditutup lebih awal.

"Penutupan ini juga membabitkan 344 institusi pendidikan dengan 254,639 murid dan pelajar di Kuala Lumpur; serta 29 institusi pendidikan bersama 31,917 murid dan pelajar di Putrajaya," katanya.

Berikutan penutupan itu turut membabitkan institusi pendidikan yang mempunyai asrama, menurut kenyataan berkenaan, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil murid atau pelajar terbabit untuk pulang.

Bagaimanapun, katanya, murid atau pelajar yang menunggu diambil ibu bapa atau yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan itu, akan berada bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh berkenaan akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan.

"Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil murid atau pelajar dari asrama ketika tempoh PKPB, mereka perlu memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya, pentadbir akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa atau penjaga berkenaan.

"Ini adalah sebagai rujukan kepada pihak berkuasa jika mereka perlu merentas daerah untuk mengambil murid atau pelajar pulang dari asrama," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh PKPB pula hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

"Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian.

"Justeru, pentadbir institusi pendidikan diarah memastikan guru atau pensyarah serta murid atau pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM: www.moe.gov.my," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

5 TONGGAK STRATEGI KESELAMATAN SIBER MALAYSIA 2020-2024


SUMBER : BERNAMA 

 

STRATEGI KESELAMATAN SIBER MALAYSIA 2020-2024


 SUMBER : BERNAMA

Sunday, 11 October 2020

SEKOLAH TUTUP: CALON SPM GUNA e-BUKU


CALON SPM di Sabah menggunakan bahan ulang kaji e-buku sepanjang penutupan sekolah, berikutan penularan COVID-19.

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Sabah menyediakan modul pembelajaran dalam bentuk e-buku untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat persediaan sepanjang penutupan sekolah, berikutan penularan COVID-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Mistirine Radin, berkata modul berkenaan boleh dimuat turun dalam gajet dan diakses secara luar talian untuk memudahkan pembelajaran di rumah.

Katanya, e-buku yang dihasilkan Majlis Guru Cemerlang dan guru berpengalaman dari Sabah itu sebagai antara langkah memastikan calon SPM di Sabah tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Jabatan Pendidikan Sabah dengan kerjasama Majlis Guru Cemerlang dan guru berpengalaman Sabah ada menyediakan modul SPM mengikut subjek," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah yang diambil bagi memastikan calon SPM di Sabah dapat membuat persediaan, walaupun tidak dapat ke sekolah.

Ia termasuk menangani masalah ketiadaan liputan internet di sesetengah kawasan yang menyukarkan pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Semua sekolah di Sabah ditutup mulai esok sehingga 25 Oktober ini, selaras keputusan Kementerian Pendidikan pada 9 Oktober lalu berhubung penutupan semua sekolah di negeri ini, berikutan peningkatan kes COVID-19.

Mistirine berkata, modul pembelajaran e-buku itu dapat memastikan calon SPM di negeri ini dilengkapi bahan sesuai dan membantu mereka membuat persiapan menduduki peperiksaan berkenaan.

"Saya berharap guru dan pelajar dapat menggunakan sepenuhnya modul terbitan jabatan agar cukup bersedia menghadapi SPM," katanya.

SPM tahun ini dijadualkan semula pada Januari depan, berikutan perubahan jadual persekolahan ekoran sekolah ditutup awal tahun ini kerana penularan COVID-19.

Mistirine berkata, sebanyak 1,296 sekolah rendah dan menengah dengan seramai kira-kira 500,000 murid dan pelajar terbabit dengan penutupan sekolah di Sabah mulai esok.

Sekolah di Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau sudah ditutup sejak akhir bulan lalu, manakala sekolah di sekitar ibu negeri, Penampang dan Putatan ditutup sejak awal minggu ini, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 10 October 2020