Monday 29 April 2019

PESARA GURU BANGUNKAN MODUL KUASAI BAHASA INGGERIS

KOTA BHARU, 28 April (Bernama) -- Pesara guru, Tengku Fathillah Tengku Zainal tidak pernah berhenti menjadi pendidik walaupun telah bersara lima tahun lepas.
Malah Tengku Fathillah, 58, terus aktif membangunkan pelbagai modul bahasa Inggeris bagi membantu anak bangsa menguasai bahasa antarabangsa itu.
Selepas setahun bersara, ibu kepada tiga anak itu, telah mencipta modul pertamanya yang diberi nama Learning Kit telah dikongsikan kepada beberapa sekolah.
Katanya modul yang mengandungi pelbagai teknik penguasaan bahasa Inggeris itu dihasilkan melalui pengalamannya sebagai guru subjek itu selama 30 tahun.
"Selepas mendapat maklum balas yang amat memberangsangkan, saya bersemangat untuk terus menambah baik modul tersebut dengan membangunkan modul baharu yang diberi nama Guidance to Help Develop for Good Writing pada 2015," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis perasmian English Proficiency Program For Rural Secondary Schools Students di sini, hari ini.
Tengku Fathillah berkata sehingga kini modul tersebut telah diguna pakai oleh lebih 50 sekolah termasuk 30 sekolah di sekitar negeri Kedah, dua sekolah di Sarawak dan selebihnya di Kelantan.
"Seramai 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim memperoleh keputusan A bagi subjek bahasa Inggeris dalam SPM pada 2015.
"Dua sekolah di Sarawak iaitu SMK Bakun dan SMK Belaga mencatat Lonjakan Saujana selepas masing-masing 19 dan sembilan pelajarnya mendapat A bagi subjek bahasa Inggeris pada tahun 2017," katanya.
Katanya modul tersebut juga mendapat perhatian Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia (YSPM) untuk digunakan sebagai bahan pengajaran dan pemudah cara tambahan bagi menjayakan program amal pendidikan di dua sekolah luar bandar di Kelantan.
Beliau berkata sekolah tersebut adalah SMK Badang dan SMK Penambang bagi kegunaan 554 pelajar tingkatan tiga dan lima sekolah berkenaan.
Pemegang Diploma Teaching English as a Second Language (TESL) itu kini mengorak satu lagi langkah ke hadapan apabila telah mengemukakan proposal modul yang dibangunkan itu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk diaplikasikan dalam sistem pendidikan negara.
"Saya harap modul yang saya bangunkan ini akan diterima pakai oleh pihak kementerian bagi membantu lebih ramai pelajar di negara ini khususnya pelajar luar bandar menguasai bahasa Inggeris," katanya.
Tengku Fathillah memberitahu 'jiwa mendidik' yang telah sebati dalam dirinya sentiasa mendorong beliau untuk terus memberi sumbangan dalam pendidikan.
Katanya, bukan wang ringgit yang menjadi keutamaan namun kejayaan yang dicapai setiap pelajar memberi kepuasan baginya sekali gus menguatkan semangatnya untuk terus berbakti kepada anak bangsa.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment