Beberapa isu perlu diambil kira pendidik dan pelajar ialah kekangan dihadapi ketika mengendalikan kelas dalam talian.
COVID-19 mengubah landskap pendidikan pada semua peringkat pengajian. Guru dan pelajar menggunakan sepenuhnya pembelajaran dengan pelbagai aplikasi digunakan.
Beberapa isu perlu diambil kira pendidik dan pelajar ialah kekangan dihadapi ketika mengendalikan kelas seperti ini. Ia seperti mudah dan ringkas, tetapi hakikatnya bebanan baharu yang mencengkam kedua-dua belah pihak - pendidik dan pelajar.
Tiga perkara utama perlu ditangani iaitu keperluan asas, liputan dan kos data internet.
Tidak semua pelajar memiliki komputer peribadi yang sesuai keperluan pendidikan semasa. Ia halangan utama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Kita tidak pasti berapa ramai pelajar tidak memiliki alatan asas komputer mahupun telefon pintar bagi tujuan pembelajaran.
Dalam sebuah rumah, bukan hanya seorang yang belajar, mungkin dua dan tiga. Semuanya memerlukan komputer peribadi, memerlukan data dan alatan asas internet.
Bayangkan kepayahan berebut menggunakan sebuah komputer yang termampu disediakan dalam sesebuah keluarga. Bagaimana agaknya sesi pembelajaran dapat berjalan dengan baik?
Ia belum dikira jika ibu bapa juga bekerja secara dalam talian. Bagaimana keupayaan mereka menangani masalah seperti ini.
Keupayaan pelajar melanggan data internet juga perlu diambil kira. Berapakah data minimum diperlukan seorang murid sekolah rendah atau menengah yang menghadapi peperiksaan utama, atau siswa siswi universiti yang tentunya memerlukan data lebih besar dan konsisten.
Minimum kos diperlukan RM100 sebulan bagi pelajar di institusi pengajian tinggi, malah ada yang lebih berdasarkan kursus mereka ambil. Golongan B40 tentunya lebih terkesan dengan kos internet yang meningkat kepenggunaannya.
Masalah liputan menjadi isu utama pembelajaran dalam talian. Tidak semua pelajar mendapat laluan mudah melayari internet. Ramai menumpang di kedai makan dan pusat komersial bagi mendapat laluan konsisten.
Ia belum dikira yang terpaksa mendaki bukit, memanjat pokok dan berpindah randah dari satu tempat ke tempat lain.
Di sini kita lihat pentingnya pendidik lebih prihatin kepada pelajar. Tidak semua pelajar sudi berkongsi kesusahan mereka menjayakan pembelajaran dalam talian.
Oleh itu, pendidik perlu merancang proses pembelajaran supaya tidak terlalu lama. Kelas diperuntukkan dua jam, tidak semestinya dikendalikan sepenuhnya dalam talian kerana ia mungkin menjejaskan kemampuan mereka yang tidak mampu.
Ada subjek tertentu memadai menggunakan Telegram dan WhatsApp sebagai medium pembelajaran. Rakaman suara, biarpun tidak secanggih bersemuka, mampu mengurangkan penggunaan kos data peribadi pelajar.
Kementerian Pendidikan, pihak universiti mahupun komuniti setempat perlu menyediakan prasarana asas pembelajaran kepada pelajar. Agensi kerajaan yang ada kemudahan internet seharusnya membuka ruang kepada anak-anak B40.
Ia tidak semudah A, B, C, tetapi perancangan jangka panjang boleh dilakarkan bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan pelajar.
Dasar kita ialah pendidikan untuk semua dan semua berhak mendapat pendidikan sama.
Berupayakah kita menangani jurang pendidikan era Revolusi Industri Keempat (IR4.0) jika keperluan asas masih dipersoalkan?
Ahmad Nawawi Yaakob
Profesor Madya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Segamat, Johor
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment