Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan institusi pendidikan swasta (IPS) berdaftar dengan kementerian itu, termasuk sekolah antarabangsa, akan dibuka berdasarkan takwim penggal persekolahan serta institusi pendidikan bagi 2021.
Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini, takwim berkenaan boleh dirujuk dalam laman sesawang: www.moe.gov.my/takwim, manakala takwim bagi IPS pula adalah berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing.
"Pembukaan ini membabitkan institusi pendidikan di seluruh negara, termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.
KPM menegaskan, pengoperasian semua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu serta Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu.
Katanya, KPM akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi pendidikan bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment