Monday 4 January 2021

USAH LAGI PERTIKAI BILANGAN PENJAWAT AWAM

Komitmen tidak berbelah bahagi penjawat awam terhadap negara dan rakyat perlu dihargai.

Isu bilangan penjawat awam kembali diperdebatkan apabila seorang bekas diplomat mencadangkan kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Alasan diberi urusan pentadbiran negara masih dapat dilaksanakan dengan hanya 30 peratus kakitangan bekerja di pejabat.

Ironinya pandangan ini seolah-olah tidak menyedari sumbangan dan peranan 70 peratus lagi kakitangan awam yang bekerja dari rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Hakikatnya kita dapat memastikan semua urusan pentadbiran negara dan agensi kerajaan lancar dan efisien hasil gabungan kerja kakitangan di pejabat dan dari rumah.

Apa yang pasti bilangan penjawat awam kita tidak berlebihan. Jangan dilupa fakta satu pertiga daripada 1.58 juta penjawat atau 540,000 adalah guru. Kira-kira 130,000 lagi anggota keselamatan dengan jumlah sama membabitkan anggota tentera.

Penting untuk kita fahami data ini kerana perkhidmatan awam turut membabitkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara lain.

Ringkasnya, pada ketika ini nisbah penjawat awam dengan penduduk Malaysia ialah 1:21 yang dilihat ideal dan bersesuaian untuk menyampaikan perkhidmatan efisien kepada rakyat.

Justeru, pandangan bahawa kita mempunyai penjawat awam berlebihan adalah kurang tepat.

Dalam konteks ini kita perlu berfikir lebih rasional dan matang dengan mengambil kira peranan dimainkan semua penjawat awam sejak PKP dalam persekitaran kerja norma baharu.

Hakikatnya, operasi perkhidmatan awam adalah pada kadar 100 peratus di mana kakitangan awam bertugas secara bergilir, sama ada di pejabat secara fizikal (30 peratus) mahupun bekerja dari rumah (70 peratus).

Jadi tidak timbul soal bilangan penjawat awam berlebihan, mereka dicutikan atau tidak bekerja sepanjang tempoh PKP, mahupun PKPB.

Percayalah, 70 peratus kakitangan awam bekerja dari rumah mempamerkan sikap tanggungjawab dan amalan integriti cukup tinggi.

Ini dapat dilihat ketika negara diancam wabak dan kerajaan terpaksa menguatkuasakan PKP, penjawat awam terus bekerja dari rumah dengan amanah dan disiplin tinggi sehingga semua perkhidmatan kerajaan berjalan lancar.

Hasilnya, rakyat tidak merungut, sebaliknya terus mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan baik secara fizikal mahupun dalam talian.

Kita akui PKP membuka lebih banyak peluang kepada perkhidmatan awam memperkenalkan perkhidmatan dalam talian, di mana kerajaan juga berusaha keras mendigitalkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Namun, itu bukan bermaksud kita perlu mengurangkan bilangan penjawat awam kerana harus diingat masih banyak tugasan memerlukan sentuhan fizikal seperti semakan dokumen dan borang permohonan pelbagai perkhidmatan yang perlu ditentukan kesahihan.

Malah, perkhidmatan sosial seperti pegawai kebajikan masyarakat juga masih perlu turun padang secara fizikal membuat pemeriksaan dan menghulurkan bantuan kepada rakyat ditimpa pelbagai musibah.

Tegasnya, penjawat awam terus berkhidmat cemerlang dengan memberikan komitmen tidak berbelah bahagi selaras nilai 'Kepercayaan Untuk Berkhidmat' dan dipacu prinsip F.A.S.T.E.R atau flat, agile, streamlined, tech-enabled, efficient and resilient seperti sering dianjurkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Harapannya, jangan ada lagi pihak membangkitkan soal bilangan penjawat awam, sebaliknya hargai segala inisiatif dan kerja keras golongan ini yang membantu memastikan perkhidmatan awam beroperasi seperti biasa walaupun ketika krisis.

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment