Thursday, 28 January 2021

PdPR JAMIN KELANGSUNGAN PENDIDIKAN - GPMS

Guru Sekolah Agama Rakyat KAFA Integrasi Impian Indah di Sungai Buloh, Hasanah Saad, mengajar menerusi ‘Google Meet’ bagi memastikan sukatan pelajaran kelas al-Quran dapat diteruskan. 

KUALA LUMPUR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang memanfaatkan guru dan murid.

Presiden GPMS, Mohd Anas Md Noor, berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari lalu, PdPR adalah antara isu yang mencetuskan gelombang perbincangan hangat di seluruh negara.

"Pembelajaran dan pengajaran secara langsung menerusi pelbagai aplikasi dalam talian atau menerusi sistem penggunaan modul dilihat sebagai keperluan supaya proses pendidikan terus berjalan walaupun dunia masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

"Justeru, kami menyokong penuh kepelbagaian kaedah yang diguna pakai untuk proses PdPR selagi ia memenuhi aspirasi pendidikan untuk semua," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, menerusi dilaporkan berkata, pelbagai kaedah boleh dilaksanakan dan dijalankan sepanjang proses PdPR tanpa dihadkan kepada kaedah tertentu.

Mohd Anas berkata, pihaknya menyokong kenyataan itu demi menjaga kredibiliti profesion keguruan, di samping memenuhi keperluan pelajar untuk mendapat ilmu secara formal.

"GPMS menghargai segala usaha guru untuk meneruskan proses pengajaran walaupun terpaksa melakukannya di luar norma biasa.

"Kita turut merakamkan penghargaan atas toleransi dan kerjasama ibu bapa kepada guru dan anak masing-masing," katanya.

GPMS berharap semua pihak dapat berganding bahu untuk memastikan proses PdPR dilaksanakan sebaik mungkin dan diikuti sepenuhnya oleh pelajar sepanjang tempoh PKP supaya proses pendidikan yang berterusan tidak terganggu.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment