KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini di seluruh negara hanya membabitkan calon peperiksaan utama bagi 2020.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan di sini menjelaskan, pendekatan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sehubungan itu, mereka yang perlu ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran bersemuka ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.
Turut tersenarai, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.
"Semua murid sekolah rendah dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)
"Pendekatan mengikut kesesuaian guru dan murid ini, akan mula dilaksanakan mulai Rabu depan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berhubung pelajar yang mula mendaftar masuk ke asrama mulai hari ini susulan arahan terdahulu, KPM mengambil keputusan untuk membuat beberapa ketetapan.
Katanya, pelajar Tingkatan 4 dan 5 di sekolah berasrama penuh boleh kekal berada di institusi masing-masing serta mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP), secara dalam talian di sekolah.
"Mereka juga boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.
"Pelajar Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6, sama ada di sekolah berasrama penuh atau asrama sekolah harian akan mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah hingga selesai peperiksaan.
"Bagi pelajar Tingkatan 1, 4 dan 5 di asrama sekolah harian, mereka boleh kekal berada di institusi masing-masing serta mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah.
"Mereka dibenarkan pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya.
KPM menjelaskan mana-mana pelajar yang perlu berada di asrama atau mengambil keputusan berada di institusi berkenaan akan diberi keperluan makan dan minum oleh pengurusan sekolah.
Bagi tujuan pengoperasian sekolah, arahan terdahulu oleh KPM masih terpakai yang memerlukan semua guru untuk kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari.
"Guru yang terbabit dengan kelas peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM, DVM 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka.
"Guru lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan ditetapkan ketua jabatan.
"Pelajar kolej matrikulasi perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid," katanya.
Sementara itu, KPM menjelaskan semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus, manakala yang belum mendaftar boleh memilih untuk masuk ke asrama atau kekal berada di rumah masing-masing.
PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai esok dan perincian berkaitan pelaksanaan praktikum serta tempoh pelatih IPG akan dimaklumkan kelak.
"Pada masa sama, semua tadika swasta yang berdaftar dengan kementerian boleh terus beroperasi secara bersemuka.
"Semua ketetapan ini turut disaran untuk diikuti oleh sekolah yang tidak berdaftar dengan kementerian, termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment