Tuesday, 12 January 2021

KAJI SEMULA PEMBUKAAN SEKOLAH, UNIVERSITI


KERAJAAN disaran mengkaji arahan pembukaan semula sekolah dan universiti yang dijadualkan tidak beberapa lama lagi.

KERAJAAN disaran mengkaji arahan pembukaan semula sekolah dan universiti yang dijadualkan tidak beberapa lama lagi.

Kita tidak tahu sampai bila jumlah kes COVID-19 yang tinggi akan terus dilaporkan berlaku di negara ini.

Justeru, wajarkah sekolah dan universiti dibuka memandangkan senario ini?

Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini mengumumkan semua sekolah, termasuk swasta dan antarabangsa dibuka semula mengikut kalendar akademik 2021.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula mengumumkan untuk membenarkan pelajar tempatan institusi pendidikan tinggi (IPT) kembali ke kampus secara berfasa seawal 1 Mac ini.

Bagaimanapun, KPM dan KPT perlu wujudkan pelan B jika jumlah kes masih tidak menunjukkan penurunan yang mewajarkan pembukaan sekolah serta universiti.

Pelan B ini perlu dihebahkan kepada masyarakat dengan segera supaya mereka dapat mengambil langkah awal melakukan persediaan.

Pembukaan sekolah boleh mengundang implikasi besar kepada pelajar dan ibu bapa, terutama aspek kewangan seperti pembelian peralatan dan pakaian persekolahan.

Begitu juga pembukaan universiti kerana penuntut, terutama yang jauh dari tempat pengajian. Jika sekolah dan universiti terpaksa ditutup kelak selepas segala perbelanjaan, pembelian dan perjalanan pulang dilakukan, ia menyusahkan ramai serta menyebabkan keadaan kelam-kabut.

Adalah penting aspek keselamatan dan kesihatan pelajar diberi keutamaan. Semua pihak harus bersiap sedia dari segi mental dan emosi jika diarah terus menggunakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian.

Kerajaan khususnya KPM dan KPT perlu merangka polisi jangka panjang untuk menjadikan PdP dalam talian sebagai dasar sistem pendidikan negara dan digunakan berterusan.

Walaupun sudah terdapat sedikit usaha diambil kerajaan sejak beberapa tahun lalu, tidak semua pihak menggunakannya.

Hanya apabila terpaksa akibat penularan COVID-19, baru semua pihak menggunakan pelbagai kemudahan aplikasi serta teknologi untuk menjalankan aktiviti harian termasuk PdP dalam talian.

PdP dalam talian perlu dilaksana sepenuhnya bukan sahaja bagi membendung penularan COVID-19 atau sebarang virus pada masa depan, malah ia banyak memberi faedah kepada semua terutama pelajar.

Proses PdP dalam talian boleh memberi banyak kemudahan kepada pelajar untuk melakukan proses pembelajaran secara fleksibel tanpa perlu bergerak ke banyak tempat untuk mengikuti sesi pengajaran daripada guru ataupun pensyarah.

Kurangnya aktiviti bergerak secara fizikal dapat meringankan beban pelajar. Ia juga dapat menjamin aspek keselamatan dan kesihatan pelajar.

Ibu bapa ataupun penjaga juga tidak perlu risau terhadap tahap keselamatan dan kesihatan diri anak ke sekolah atau kampus setiap hari. Ia juga dapat menjimatkan wang saku.

Proses PdP dalam talian juga dapat mengurangkan penggunaan bahan seperti kertas kerana tugasan diberi dilaksanakan melalui alam maya.

Ini dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran. Pada masa sama, pelajar dapat didedahkan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi terkini yang boleh mengasah bakat serta kemahiran untuk menghadapi dunia moden.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan dikesan sepanjang PdP dalam talian seperti kekurangan akses internet dan ketiadaan kemudahan atau aplikasi, ia tidak seharusnya dijadikan batu penghalang.

Kerajaan terutama kementerian berkaitan perlu mengkaji segala rungutan guru, pensyarah dan pelajar serta melakukan penambahbaikan segera bagi menjayakan PdP moden ini.

Dr Muzaffar Syah Mallow
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment