Sunday 17 January 2021

LOMPANG PdP BOLEH WUJUDKAN 'GENERASI KETINGGALAN'

Ibu bapa perlu mencabar fikiran masing-masing supaya lebih kreatif dan kritikal dalam membentuk anak yang berdaya saing walaupun terpaksa menjalani pembelajaran secara PdPR

KUALA LUMPUR: Anak golongan kurang berkemampuan berdepan risiko menjadi 'generasi ketinggalan' atau 'lost generation' jika kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

Pakar psikologi, Prof Datin Dr Mariani Mohd Noor, berkata keadaan itu didorong faktor kemudahan pembelajaran terhad dan kurang pemantauan daripada ibu bapa.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (Majlis ECCE), berkata kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan murid penting untuk mewujudkan titik pertemuan bagi menjayakan kaedah PdP digunakan dalam keadaan pandemik.

"Kita tak boleh kata semua murid akan tergolong sebagai 'lost generation' kerana sistem pendidikan kita tetap berlaku secara PdP di Rumah (PdPR) dan imbangan kekal ada.

Pakar psikologi, Prof Datin Dr Mariani Mohd Noor.

"Bagaimanapun, perlu diakui ada segelintir murid akan keciciran jika tidak dipantau, berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan mempunyai kemudahan terhad," katanya kepada BH, hari ini.

Mariani berkata, ibu bapa perlu mencabar fikiran masing-masing supaya lebih kreatif dan kritikal dalam membentuk anak yang berdaya saing walaupun terpaksa menjalani pembelajaran secara PdPR.

Selain itu, katanya, daya saing murid mampu diwujudkan menerusi platform pendidikan disediakan guru dan dipadankan dengan sokongan padu ibu bapa, di samping penyediaan prasarana pembelajaran kondusif.

"Ibu bapa perlu kerap mengadakan aktiviti bersama anak dalam usaha mewujudkan keseimbangan antara akademik dan sahsiah.

"Ia memadai dengan memperhebat kualiti pergaulan adik-beradik atau sering solat berjemaah.

"Kemahiran insaniah perlu digarap melalui aktiviti bersama dan inilah peranan ibu bapa ketika berdepan pandemik," katanya.

Mengenai kekangan dihadapi pasangan bekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, peranan perlu dialih kepada pembantu rumah atau ahli keluarga paling berusia.

"Mereka ini perlu diberi panduan supaya elemen berkenaan dapat diterapkan kepada murid.

"Peranan keibubapaan sekarang semakin mencabar tetapi semua pihak perlu bertolak ansur demi memastikan anak masing-masing tidak tergolong sebagai 'lost generation'," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment